Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, April 18, 2010

LAMAN TOPIARI

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu 18 April 2010


TEKNIK memangkas pokok kepada arca haiwan atau corak geometri seperti silang pangkah, bersegi, bebola dan piramid, menjadi antara kaedah penyeri laman yang terus digemari peminat seni landskap. Malah, hiasan topiari sejak zaman ini menjadi hiasan wajib sempena acara persidangan atau sukan antarabangsa, serta pameran hiasan landskap.

TOPIARI adalah cabang seni memangkas dan membentuk pokok menjadi arca hidup yang sudah wujud sejak zaman Roman iaitu pada abad ke-16 lagi.


Seni topiari mendapat namanya daripada perkataan latin yang bermaksud tukang penghias landskap atau perkataan ‘topiarius’ (pencipta) dan ‘topia’ bermaksud tempat. Pada zaman Rennaisance pula, kediaman raja seperti istana serta rumah bangsawan dan villa yang dilengkapi laman luas dihiasi dengan topiari dengan corak geometri seperti silang pangkah, bersegi, bebola dan piramid. Taman topiari yang wujud pada zaman itu biasanya berbentuk simetri yang mana pola sisi kanan dan kiri taman adalah sama.

Biarpun zaman berubah, seni hiasan topiari tidak pernah tenggelam. Ia sebaliknya terus diminati dan jika dulu terhad di laman orang kaya, kini ia menghiasi laman golongan pertengahan.

Antara pokok yang serasi dengan seni hiasan topiari ini ialah jenis berdaun kecil yang boleh dibentuk seperti kemuning, beringin kuning (Ficus Benjamina), pokok Ara (F Nitida variegata) dan daun teh. Pokok seperti bunga kertas, bunga raya dan melur juga dikatakan sesuai membentuk topiari.

Beberapa jenis tumbuhan lain yang digunakan dalam seni hiasan bonsai juga sesuai digunakan dalam topiari. Biasanya tumbuhan renek dan sederhana serta kekal hijau adalah pilihan utama dalam hiasan topiari.


Pada asalnya, bentuk yang dihasilkan untuk tumbuhan dalam seni topiari dibentuk menggunakan kepakaran dan kesabaran tukang penghias landskap membentuk arca hidup berkenaan. Namun, pada zaman moden, asas bentuk dihasilkan melalui kerangka besi atau dawai mata punai, serta plastik dan bahan sintetik.

Pokok pagaran yang menjadi pemisah ruang dan penghadang adalah contoh topiari yang ringkas dan mudah dibina. Seni topiari sebenarnya berubah mengikut zaman dan pernah dilupakan pada satu ketika dan kembali mewarnai seni hiasan taman pada abad ke 19.

Seni hiasan topiari terkini juga bentuknya lebih bebas dan artistik. Pada suatu ketika, hiasan topiari menjadi aliran semasa yang mana ia dibentuk menyerupai haiwan dan karektor kartun.

Pada awal 1960-an, Walt Disney membawa era baru dalam hiasan topiari apabila meminta pakar seni hias landskap membentuk watak koleksi kartunnya menjadi topiari di taman temanya di Disneyland. Malah, topiari menjadi hiasan kekal untuk seluruh taman tema yang dibangunkan syarikat berkenaan di seluruh dunia. Aliran itu kemudian seakan-akan sinonim dengan mana-mana taman tema lain yang ada di dunia.

Seterusnya, hiasan topiari menjadi seakan-akan hiasan wajib bagi lambang korporat syarikat besar yang menghiasi ibu pejabat dan cawangannya.

Malah, di Malaysia sejak 1980-an apabila bertambahnya kewujudan majlis daerah dan perbandaran, seni hiasan topiari terus mendapat sambutan. Sehingga kini, hiasan topiari seperti wajib jika ada acara besar seperti sukan antarabangsa, pameran hiasan landskap dan persidangan antarabangsa selain turut menghiasi taman awam.

Kini, wujud hiasan topiari tiruan yang mengambil konsep pokok krismas, yang mana pokok sementara dengan hiasan topiari menjadi penghias landskap untuk acara atau upacara tertentu seperti promosi untuk sambutan hari raya dan festival beli belah.

Seni memangkas pokok ini tidak akan ditelan zaman, sebaliknya akan terus kekal tetapi disesuaikan dengan aliran semasa seni hiasan landskap.

INFO: Laman topiari

Tumbuhan lain yang sering dipilih untuk hiasan topiari Buxus sempervirens, arborvitae (Thuja spp.), bay laurel (Laurus nobilis), holly (Ilex spp.), myrtle (Eugenia or Myrtus species), yew (Taxus species), and privet (Ligustrum species.)

INFO: Antara cara membuat topiari

  • Sebelum pokok ditanam, biasanya kerangka bentuk dibina terlebih dulu menggunakan dawai mata punai. Kemudian tanam pokok berhampiran bentuk yang telah dibuat. Biasanya apabila pokok sudah matang dan mampu mengikut acuan dawai berkenaan baru pokok dipangkas mengikut bentuk acuan.
  • Jika tidak sabar pokok membesar, kini ada cara mudah untuk membuat hiasan topiari. Tidak sampai satu hari topiari dapat terbentuk indah. Caranya dengan meletakkan tanaman dalam pasu dalam kerangka dawai hiasan topiari. Biasanya usia tanaman untuk topiari mudah ini perlu berusia 10 minggu dan lebih daripada itu.
  • Satu lagi cara dengan meletakkan tanah dalam kerangka dawai dan pindahkan pokok daripada beg semaian ke kerangka besi yang dipenuhi tanah berkenaan. Cara ini lebih mudah tetapi pastikan pokok yang ditanam berusia 10 minggu dan tidak ada masalah untuk tumbuh selepas dipindahkan.

No comments:

Post a Comment