Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Saturday, January 24, 2015

SEJARAH SEKOLAH KAMI SMK TELOK KERANG

Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang terletak di Jalan Peradin, Kampung Telok Kerang, Mukim Rimba Terjun, Pontian, Johor. Alamatnya yang lengkap ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang, Jalan Peradin, Telok Kerang, 82020 Pontian, Johor. Sekolah ini yang dikategorikan sekolah menengah luar bandar, berjarak 10 kilometer dari bandar Pontian menghala ke Kukup.





Sejarah Kampung Telok Kerang bermula sejak tahun 1864 dengan penghijrahan sekumpulan tujuh orang penduduk dari Sumatera, Indonesia. Kumpulan ini diketuai oleh Haji Ibrahim. Haji Ibrahim telah memilih kawasan satu kilometer dari telok untuk dijadikan kawasan penempatan yang baru. Beliau menamakan kawasan itu dengan nama 'Kampung Lama'. Di kampung itulah beliau menjadi ketua. Setelah 'Kampung Lama' dibuka, lebih ramai penduduk tempatan mula berhijrah ke kawasan ini.
 



Kawasan ini mempunyai pantai bertelok yang menghadap ke Selat Melaka. Di kawasan bertelok ini terdapat banyak kerang membiak. Ini menyebabkan kawasan ini terkenal dengan kerangnya. Lantaran itu lama kelamaan kampung ini dinamakan Kampung Telok Kerang. Seterusnya beberapa kampung telah dibuka berhampiran Kampung Telok kerang sebagai kawasan penempatan baru seperti Kampung Parit Wer dan Kampung Parit Sulaiman.





Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang bermula apabila terdapat pertambahan penduduk yang pesat di sekitar Kampung Telok Kerang terutamanya pada kala zaman kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila penduduk bertambah, pendidikan menjadi salah satu yang amat dikehendaki oleh penduduk. Kebanyakan sekolah menengah pada masa itu terletak di kawasan bandar Pontian. Keadaan ini menyulitkan penduduk di sekitar kampung ini menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah. Salah satu daripada langkah kerajaan ialah menubuhkan sekolah-sekolah menengah di kawasan luar bandar.





Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang diasaskan oleh penghulu Mukim Rimba Terjun pada masa itu iaitu Encik Ahmad Bin Abdul Samad. Tok Penghulu Ahmad adalah anak jati Kampung Telok Kerang. Pada mulanya dicadangkan supaya sekolah ini dibina di Kampung Rambah iaitu sebuah kampung yang terletak kira-kira 5 kilometer dari bandar Pontian dan 4 kilometer dari Kampung Telok Kerang. Namun atas daya usaha Tok Penghulu Ahmad dan beberapa penduduk Kampung Telok Kerang yang sanggup mengembalikan tanah mereka kepada kerajaan untuk tujuan membina sekolah, maka sekolah tersebut telah berjaya dibina di tapaknya pada hari ini. Tapak asal sekolah ini berkeluasan 3.6 hektar.




Pada 10 Januari 1965, Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang secara rasminya telah ditubuhkan. Jumlah murid yang mendaftar pada masa itu seramai 126 orang iaitu 62 orang murid laki-laki dan 64 orang murid perempuan. Bilangan guru hanya 5 orang sahaja. Pelajaran sekolah menengah ditawarkan dalam dua aliran iaitu aliran Inggeris dan aliran Melayu. Bangunan sekolah masih belum ada. Murid-murid ini terpaksa menumpang di sekolah Kebangsaan Telok Kerang yang terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah ini.





Pada 25 April 1965, satu Lembaga Pengelola Sekolah telah ditubuhkan. Lembaga Pengelola Sekolah ini dipengerusikan oleh Tuan Haji Yusof bin Haji Dahlan. Encik Ahmad Bin Mohd Salleh, Encik Loh Hua san (JP), dan En. Karsan bin Haji Rafie mewakili Menteri Besar. YB Encik Abdullah Bin Sudin, Encik Omar bin Buntal, dan Tuan Haji Yusof bin haji Dahlan mewakili kerajaan negeri. Manakala ibu bapa pula diwakili oleh Encik Hamdan bin Rahmat, Encik Ahmad bin Abdul Samad dan Encik Si'in bin Haji Ismail.






Nama sekolah yang digunakan pada masa itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan/Jenis Kebangsaan Telok Kerang. Pada mulanya nama sekolah yang dicadangkan ialah Sekolah Menengah Dato' Ahmad Abdul Samad sempena nama pengasasnya iaitu Penghulu Mukim Rimba Terjun. Akan tetapi nama tersebut tidak mendapat sambutan daripada penduduk-penduduk di sekitarnya. Akhirnya pada taun 1965, Guru Besar dan Lembaga Pengurus Sekolah telah bersetuju untuk menamakan sekolah tersebut sebagai Sekolah Menengah Telok Kerang. 






Dalam penggal persekolahan 1966, jumlah pelajar yang mendaftar telah meningkat. Pada tahun tersebut sekolah telah menerima seramai 111 orang murid Melayu dan 78 orang murid Cina. Murid-murid ini terpaksa menumpang di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pei Hua yang terletak kira-kira 2 kilometer dari tapak sekolah hari ini.





Pada tahun 1967, bilangan murid terus bertambah. Seramai 70 orang murid Melayu telah memasuki kelas Tingkatan 1. Sementera itu seramai 124 murid daripada pelbagai keturunan telah memasuki Kelas Peralihan. Oleh kerana bilangan murid terlalu banyak, mereka terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan Penerok yang terletak kira-kira 5 kilometer dari tapak sekolah hari ini. Pada tahun ini juga keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kali pertama mencatatkan hanya 37 calon sahaja yang lulus daripada sejumlah 111 calon yang mengambil peperiksaan tersebut.





Bangunan sekolah yang pertama siap dibina pada 1 Oktober 1968. Kemudahan seperti air dan elektrik masih belum ada. Aktiviti waktu malam disinari oleh 'lampu pam'. Tahun itu juga memperlihatkan peningkatan pendaftaran murid secara mendadak. Pada tahun tersebut sekolah ini mempunyai seramai 410 orang murid dan 24 orang guru. Murid-murid ini telah dapat menduduki bangunan sekolah sendiri yang baru. Mereka tidak perlu lagi menumpang di sekolah lain sejak tahun tersebut. Pada tahun ini keputusan peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) yang pertama bagi sekolah ini telah diumumkan. Seramai 29 orang murid daripada 68 orang murid yang mengambil peperiksaan telah lulus dan dapat menyambung pelajaran mereka di Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian. Pada tahun ini juga keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang pertama bagi sekolah ini telah diumumkan. Seramai 12 daripada 29 murid telah lulus dengan pangkat tiga.






Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kkerang memainkan peranan untuk memberi peluang pendidikan menengah kepada anak-anak di beberapa kampung yang berhampiran. Antara kampung-kampung tersebut ialah kampung Parit Rambai, Kampung Rambah, Kampung Rimba Terjun, Kampung Belokok, Kampung Parit Sulaiman, Kampung Peradin, Kampung Penerok, Kampung Parit Wer, Kampung Parit Jerman, Kampung Parit Tasrip, dan Kampung Sungai Punai. Sekolah-sekolah yang menjadi sekolah sumber ialah Sekolah Kebangsaan Telok Kerang, Sekolah Kebangsaan Rambah, Sekolah Kebangsaan Rimba Terjun, Sekolah Kebangsaan Parit Rambai, Sekolah Kebangsaan Parit Sulaiman, Sekolah Kebangsaan Belokok, Sekolah Kebangsaan Penerok, Sekolah Jenis Kebangsaan Pei Hua dan Sekolah Jenis Kebangsaan Siew Woon.






Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang mula mendapat kemudahan asas pada tahun 1978. Pada tahun tersebut, kemudahan bekalan elektrik dan air paip mula dinikmati oleh murid-murid dan guru-guru. Selain itu, sekolah ini juga melancarkan program perkembangan struktur seperti membina pondok bacaan dan bangunan baru seperti bengkel.






Pada tahun 1999, jumlah murid adalah seramai 670 orang manakala gurunya pula seramai 37 orang. Daripada 670 murid itu, 85 % adalah murid Melayu. Pada tahun ini (1999) sekolah ini menerima penambahan pembinaan bangunan baru. Bangunan-bangunan baru itu ialah dua blok bangunan tiga tingkat untuk bilik guru, bilik darjah dan makmal, satu bangunan setingkat Bengkel Kemahiran Hidup, satu bangunan setingkat Bengkel Sains Pertanian, tempat letak kereta dan basikal, dan tangki air gergasi. Selain itu di beberapa kawasan (dataran) telah di turap dengan aspal. Bangunan-bangunan ini siap pada tahun 2000 dan mula digunakan pada tahun itu juga. 






Pada masa ini beberapa kemudahan untuk memajukan proses pembelajaran dan pengajaran telah disediakan di sekolah ini selain daripada bilik-bilik darjah dan makmal. Diantaranya ialah makmal komputer, bilik muzik, bilik pendidikan khas, perpustakaan, makmal bahasa, bengkel MPV Landskap dan Nurseri, dan bilik MPV Katering dan Penyajian. Kemudahan-kemudahan lain juga disediakan seperti bilik guru, bilik mesyuarat dan astaka di Dataran Nilam.





Pada tahun 2003 Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang telah menawarkan satu mata pelajaran baru iaitu Mata Pelajaran Vokasional (MPV). MPV di SMK Telok Kerang terdiri dari dua mata pelajaran iaitu MPV Katering dan Penyajian dan MPV Landskap dan Nurseri. Kedua-dua MPV ini adalah untuk memberi peluang kepada murid-murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 mengambil mata pelajaran alternatif selain mata pelajaran teras. Pada tahun 2009 sekolah ini menawarkan kemasukan murid-murid istimewa pendidikan khas di bawah bimbingan dua orang guru dan seorang pembantu. Pada tahun 2009 juga pihak sekolah menawarkan pendidikan muzik kepada murid-murid selepas sekolah ini dibekalkan dengan banyak peralatan muzik.







Sejak ditubuhkan pada tahun 1965, Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang telah diterajui oleh sepuluh orang Guru Besar/Pengetua. Mereka ialah:
  1. Allahyarham Encik Hood bin Fadzil (1965 - 1974), 
  2. Tuan Haji Hashim Bin Kahat (1975 - 1979), 
  3. Tuan Haji Baharaldin bin Samian (1980 - 1988), 
  4. Tuan Haji Embok Ceni bin Haji Turu (1988 - 1995), 
  5. Puan Hajjah Halida Binti Baba (1995 -1996), 
  6. Tuan Haji Mohd Zini bin Abd. Fatah (1996 - 1999), 
  7. Encik Hasnan Bin Jaafar (1999 - 2001), 
  8. Allahyarham Tuan Haji Mahiyar bin Kasmoin (2001 - 2004), 
  9. Encik Hasnan Bin Jaafar (2004 - 2008,
  10. Encik Ahmad Khairi Bin Paimin (2008 - 2010),
  11. Kini SMK Telok Kerang di terajui leh En. Abdul Hamid b Abu Bakar yang memulakan tugasnya bermula pada bulan September 2010. 























No comments:

Post a Comment