Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, January 25, 2015

SEJARAH PELAKSANAAN MPV LANDSKAP DAN NURSERI DI SMK TELOK KERANG

PELAKSANAAN MATA PELJARAN VOKASIONAL (MPV)
LANDSKAP DAN NURSERI
DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TELOK KERANG


1. Mata Pelajaran Vokasional (MPV) Di SMK Telok Kerang 

Pelaksanaan MPV di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang bermula pada tahun 2002. Seramai 34 orang pelajar perintis mengambil mata pelajaran ini iaitu 20 orang pelajar lelaki dan 14 orang pelajar perempuan. Kesemuanya adalah Melayu. Seramai 15 orang pelajar lelaki mengambil MPV Landskap dan Nurseri manakala bakinya iaitu seramai 5 orang mengambil MPV Katering dan Penyajian. Kesemua 14 pelajar perempuan mengambil MPV Katering dan Penyajian. Pelajar-pelajar ini mengambil mata pelajaran MPV berdasarkan keputusan PMR tahun 2001. 

Pelajar-pelajar MPV ini mengambil lapan mata pelajaran iaitu enam mata pelajaran teras dan dua mata pelajaran pilihan. Mereka belajar Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni dan MPV sama ada MPV Landskap dan Nurseri atau MPV Katering dan Penyajian.

Sebagai di antara sekolah perintis MPV di Malaysia pada tahun 2002, SMK Telok Kerang menawarkan dua MPV iaitu MPV Landskap dan Nurseri dan MPV Katering dan Penyajian. Pada permulaannya, guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran itu ialah En. Hasan Bin Kasmuri (MPV Landskap dan Nurseri) dan Pn. Tan Yong Hock (MPV Katering dan Penyajian). Kedua-dua orang guru ini telah mengikutu kursus intensif mengenai MPV yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. 

2. Mata Pelajaran Vokasional Yang Ditawarkan 

SMK Telok Kerang telah dipilih sebagai sekolah perintis bagi pelaksanaan mata pelajaran baru iaitu Mata pelajaran Vokasional (dahulu dikenali sebagai Kemahiran Asas Industri). Pada 28 Ogos 2001, Pn. Kong Meow San, seorang pegawai Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia datang ke sekolah ini untuk memantau situasi, kemudahan dan kesedian sekolah ini untuk melaksanakan mata pelajaran ini iaitu Landskap dan Nurseri dan Katering dan Penyajian.

Pada 26 September 2001, mesyuarat penyelarasan program kemahiran asas industri sekolah-sekolah negeri Johor 2001 telah diadakan di SMK Parit Bunga, Muar, Johor. En. Hasan Bin Kasmuri dan Pn. Tan Yong Hock guru yang dipilih untuk mengajar mata pelajaran ini telah menghadiri mesyuarat tersebut. Dalam masyuarat itu, guru-guru telah diminta oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk menyenaraikan peralatan yang diperlukan oleh sekolah bagi melaksanakan MPV berdasarkan senarai harga yang telah diberikan.
 
Pada bulan September 2001 En. Hasan Bin Kasmuri telah menghadiri Kursus Landskap dan Nurseri di Institut Latihan MARDI, Serdang, Selangor selama 3 minggu. Manakala Pn. Tan Yong Hock pula menghadiri Kursus Katering dan Penyajian di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur.

Pada permulaan sesi persekolahan pada tahun 2002, dua mata pelajaran vokasional iaitu Landskap dan Nurseri dan Katering dan Penyajian secara rasminya ditawarkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 di SMK Telok Kerang.  

3. Kemudahan Bengkel, Bahan dan Peralatan 

SMK Telok Kerang menyedari bahawa banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan untuk membeli peralatan, bahan dan mengubahsuai bangunan serta membina rumah tumbuhan. Pengetua pada masa itu Tn. Hj. Mahiyar Bin Kasmoin menyarankan agar menggunakan wang peruntukan mata pelajaran Sains Pertanian untuk menampung sedikit kos bagi pelaksanaan MPV di sekolah ini di samping mengharapkan peruntukan dari Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Pada bulan November 2001, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pejabat Pelajaran Daerah Pontian memberi peruntukan untuk mengubahsuai bengkel Sains Pertanian dan membina rumah tumbuhan yang dijangka siap pada akhir bulan Disember. Pada bulan itu juga, kerja-kerja mengubahsuai dan membina rumah tumbuhan telah dimulakan. Kerja-kerja tersebut dapat disiapkan pada bulan Februari 2002.

Segala peralatan dan bahan mata pelajaran Landskap dan Nurseri dibeli dengan menggunakan peruntukan mata pelajaran Sains Pertanian. Pembelian ini merupakan penambahan kepada bahan dan peralatan sedia ada bagi mata pelajaran Sains Pertanian. Satu peruntukan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor telah diterima pada bulan Disember 2001 yang terdiri daripada jentera dan peralatan melukis yang nilainya sebanyak RM5,000.00.
Pada akhir bulan September 2002 MPV Landskap dan Nurseri dapat peruntukkan untuk membina dan menambahbaikan kemudahan yang telah sedia ada. Pembinaan yang dijalankan ialah sebuah setor, ruang penyediaan medium, sebuah pondok jualan, sebuah tapak penyemaian berukuran 10 kaki X 90 kaki.

Pada bulan Disember 2002 MPV landskap dan Nurseri telah mendapat bekalan peralatan dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada ketika ini semua perbelanjaan yang berjumlah RM3,500.00 untuk penubuhan MPV Landskap dan Nurseri dikeluarkan daripada peruntukkan mata pelajaran Sains Pertanian. Perbelanjaan itu merangkumi pembelian peralatan, pasu bunga, bahan-bahan medium, baja, racun kimia, dan lain-lain keperluan. Sokongan daripada Tuan Pengetua dan pentadbir SMK Telok Kerang amat memuaskan.

Walaupun dengan peruntukkan mata pelajaran MPV Landskap dan Nurseri yang terhad, saya rasa mata pelajaran ini masih boleh berjalan dengan baik. Kami menggunakan kemudahan yang minima. Kemudahan-kemudahan pembelajaran akan ditambah dan ditingkatkan dari masa ke semasa. Masalah yang timbul boleh diatasi kerana kemudahan bengkel Landskap dan Nurseri sama dengan kemudahan bengkel Sains Pertanian dan Kemahiran Hidup Pertanian. Semua kemudahan ini boleh digunakan oleh ketiga-tiga mata pelajaran ini. Semoga dengan siapnya pembinaan penambahbaikan yang sedang dijalankan sekarang, ianya akan dapat meningkatkan prestasi pelajar Landskap dan Nurseri. 

4. Prestasi Peperiksaan Pelajar MPV Landskap dan Nurseri 

Pencapaian dan prestasi pelajar MPV Landskap dan Nurseri dalam peperiksaan dan kerja kursus adalah berbeza. Semua pelajar kompeten dalam latihan amali kerja kursus dan mutu kerjanya adalah sangat baik. Dalam peperiksaan bertulis, mereka masih pada tahap sederhana. Kami faham dan sedar bahawa mereka adalah pelajar terpilih yang datang bersama beberapa masalah pembelajaran. Kesemua pelajar ini boleh membaca tetapi tidak gemar membaca buku. Namun demikian mereka amat menyukai, positif dan bersedia khususnya dalam kerja amali mata pelajaran Landskap dan Nurseri. Kami harap dengan adanya MPV ini dan dengan disokong oleh mata pelajaran lain, pelajar-pelajar ini akan bersedia melangkah ke alam kerjaya dengan yakin berbekalkan kemahiran yang diperolehi oleh mereka. 

5. Pengajaran dan Pembelajaran 

Selepas diumumkan keputusan PMR tahun 2001, pihak sekolah telah mengenal pasti pelajar-pelajar yang dipilih dan layak untuk mengambil MPV Landskap dan Nurseri dan MPV Katering dan Penyajian.

Mulai sesi persekolahan tahun 2002, dalam program suai kenal untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4, telah diadakan satu taklimat mengenai Mata Pelajaran Vokasional. Tugas memberi taklimat ini diberi kepada En. Hasan Bin Kasmuri dan Pn. Tan Yong Hock. Satu taklimat kepada ibu dan bapa yang anaknya dipilih telah diadakan. Ibu bapa bersetuju dengan langkah sekolah ini menawarkan MPV kepada anak-anak mereka. Ibu bapa berharap anak-anak mereka boleh mengikuti mata pelajaran ini kerana mereka tidak perlu menghantar jauh anak-anak mereka ke SMT/V.

Pada awalnya, proses pengajaran dan pembelajaran MPV yang diperuntukkan 12 waktu seminggu dengan pelaksanaannya 4 waktu sehari selama 3 hari. Pada ketika itu pelajar-pelajar mengambil 7 mata pelajaran sahaja. Guru mengajar dengan menggunakan Modul Pembelajaran yang dibekalkan semasa berkursus. Proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan menumpang di Makmal Elektrik Kemahiran Hidup.

Pada pertengahan bulan Mac 2002 apabila pengubahsuaian bengkel Sains Pertanian yang dijadikan bengkel Landskap dan Nurseri siap sepenuhnya, guru-guru dan pelajar-pelajar berpindah ke bengkel baru. Kerja-kerja mengemas, membersih dan menyusun atur dijalankan sewaktu pembelajaran.

Proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan mengikut modul percubaan yang diterima daripada Kementerian Pelajaran Malaysia melalui pos. Malangnya hanya satu modul yang diterima. Guru terpaksa membuat beberapa salinan untuk diberi kepada pelajar secara berkongsi. Satu set Sukatan Pelajar dan Huraian Sukatan Pelajaran telah diterima daripada Pusat perkembangan Kurikulum.

Atas persetujuan Tuan Pengetua, kawasan rumah tumbuhan asal telah disimenkan. Kemudian dibuat pula teres-teres konkrit untuk tujuan mempamerkan produk tanaman yang telah sedia untuk pameran dan jualan.

Pada 8 Februari 2002, Jabatan Pelajaran negeri Johor memanggil guru-guru MPV bermesyuarat di SMK Parit Bunga, Muar, Johor. Dalam taklimatnya, semua pelajar MPV mesti mengambil minima 8 mata pelajaran untuk layak masuk ke universiti, tidak 7 mata pelajaran.

Dengan jadual waktu baru yang siap pada 23 April 2002, pelajar-pelajar MPV sekolah ini mengambil 8 mata pelajaran iaitu enam mata pelajaran teras, satu mata pelajaran MPV dan satu mata pelajaran lagi ialah Pendidikan Seni. Jadual waktu baru juga memperuntukan 6 waktu sehari kepada MPV atas pertimbangan MPV Katering dan Penyajian tidak dapat menyiapkan amali dalam 4 waktu sehari. Pelajar-pelajar MPV juga dibenarkan oleh Tuan Pengetua memakai kemeja-t semasa belajar mata pelajaran ini supaya mereka selesa semasa melakukan kerja amali.

Pada bulan Julai 2002, guru-guru MPV telah menghadiri kursus kaedah mentaksir kerja-kerja pelajar. Kursus ini sememangnya amat diperlukan kerana guru-guru MPV masih dalam kekaburan untuk menilai dan mentaksir kompetensi pelajar-pelajar. Daripada kursus tersebut, penskoran pelajar dapat dibuat dengan lebih adil berdasarkan standard yang telah ditetapkan. Ianya bersifat terbuka. Pengajaran dan pembelajaran, teguran, perbincangan dan saranan dijalankan secara dua hala. Dengan itu pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih baik. 

6. Harapan dan Perkara-perkara Lain Yang Berkaitan
  1. Sebenarnya mata pelajaran ini bagus untuk pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik. Pada pandangan saya, walaupun pelajar-pelajar ini lemah dalam akademik tetapi mereka amat baik dalam 'hands on'. Mereka boleh menyiapkan kerja amali dalam waktu yang ditetapkan dan hasil kerja mereka memuaskan.
  2. Mata pelajaran ini berupaya dan mampu memberi keseronokan dalam pendidikan sekolah khususnya bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik. Mereka juga suka datang ke sekolah terutamanya semasa ada MPV.
  3. Walaupun mata pelajaran ini berbentuk modular, adalah lebih baik jika Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan buku teks atau buku rujukan. Kebanyakan buku-buku rujukan yang berkaitan landskap dan nurseri sama ada tempatan atau yang diimport adalah mahal harganya.
  4. Penambahan peruntukan kewangan bagi mata pelajaran ini bagi membeli bahan dan peralatan dan juga bagi membawa pelajar-pelajar melawat ke tapak-tapak nurseri dan kawasan-kawasan taman dan landskap bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.
  5. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu meningkatkan prasarana bengkel Landskap dan Nurseri kerana ia boleh memberi persepsi baik masayarakat dan pasaran kerja terhadap MPV Landskap dan Nurseri. Alat-alat seperti komputer, pengimbas, kamera, pencetak dan LCD projector sememangnya diperlukan dan boleh diguna pakai untuk menyimpan dan memaparkan bahan bukti (eviden).
  6. Kami memohon agar Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menyediakan seorang pembantu guru untuk menyediakan peralatan dan bahan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
  7. Diharap dan diminta agar Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengadakan siri kursus kepada guru-guru untuk meningkatkan kemahiran guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini.

7. Penutup
 
Semoga MPV Landskap dan Nurseri ini mampu memberi satu kelainan pembelajaran kepada pelajar-pelajar yang datang ke sekolah dan kepada pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran ini. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berlainan dan kaedah pentaksiran kompetensi berdasarkan sesuatu standard mampu menarik minat pelajar. Harapan saya, setelah menamatkan pembelajaran MPV Landskap dan Nurseri selama dua tahun, pelajar-pelajar ini boleh menggunakan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki untuk membina masa hadapan dan kerjaya mereka dengan lebih yakin.

Disediakan oleh,
Hasan bin Kasmuri
Guru MPV Landskap dan Nurseri
SMK Telok Kerang, Pontian, Johor
April 2003

No comments:

Post a Comment