Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Thursday, August 1, 2013

SENI PANCURAN AIR HIASI TAMAN ISLAM

Di beri gambaran bahawa syurga yang akan menjadi tempat tinggal bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT terdapat satu ciri persamaan yang berulang kali disebut iaitu taman-taman syurga mempunyai sungai atau mata air. Air yang mengalir adalah ciri utama yang menjadi tarikan dalam gambaran syurga di dalam al-Quran. Ia memberi gambaran keindahan dan kedamaian. Gambaran ini telah menjadi inspirasi kepada para pemerintah Islam dalam membina taman-taman yang mempunyai konsep keislaman dalam empayar mereka.


Fungsi taman dalam empayar Islam mungkin berbeza dengan fungsi taman pada hari ini. Taman sewaktu zaman pemerintahan Islam sering dinaungi oleh pemerintah Islam yang mempunyai pelbagai gelaran seperti khalifah, sultan, maharaja dan raja.

Air adalah salah satu sumber alam semulajadi yang penting dalam kehidupan manusia. Air juga sering dikaitkan dengan sifat yang nyaman dan menyejukkan. Dalam seni rekaan taman Islam, elemen air banyak digunakan dalam menghiasi kediaman, istana dan juga taman-taman diraja. Pancuran air mendapat perhatian istimewa dalam rekaan taman dan kediaman masyarakat Islam.


Ayat-ayat al-Quran yang memberi gambaran mengenai syurga juga menjadi inspirasi kepada pereka Islam dalam menyusun atur seni hiasan taman dan mereka seni pancuran air yang menarik dengan mengambil kira keluasan kawasan dan fungsi yang akan dimainkan oleh pancuran air yang akan dibuat. Ia bukan tugas mudah.

Taman dibina bukan semata-mata untuk bersuka ria. Taman dalam empayar Islam adalah tempat koleksi tumbuhan diraja. Sekali gus menjadikannya tempat kajian ahli sains dan botani diraja mengenai sifat dan kegunaan tumbuhan yang ditanam. Selain bunga-bungaan, ia juga mempunyai pohon buah-buahan dan juga herba. Kajian itu kemudiannya akan digunakan dalam beberapa bidang yang lain seperti perubatan.


Oleh itu, elemen air yang ada di dalam taman mempunyai dua fungsi iaitu sebagai hiasan dan sumber air bagi tanaman di dalam taman. Pancuran air dalam taman Islam selalunya berpunca daripada sumber air semula jadi seperti sungai atau mata air. Ini boleh dilihat dengan jelas dalam rekaan taman di bawah pemerintahan empayar Mughal di India, Safavid di Iran, Mamluk di Syria dan Umaiyah di Sepanyol.

Sumber semulajadi seperti mata air penting kerana ia lebih efektif dalam bekalan air berbanding kolam buatan terutamanya sewaktu musim kemarau. Bekalan air daripada sumber semulajadi ini kemudiannya disalurkan di seluruh taman dengan rekaan kolam air yang dilengkapi pancuran air.



Kolam pancuran sering menjadi titik fokus dalam rekaan taman Islam. Ia diletakkan di bahagian tengah taman yang dilihat sebagai pembahagi keseluruhan susun atur taman.

Terdapat beberapa rekaan asas pancuran air yang sering digunakan iaitu rekaan kolam air yang besar bagi taman diraja yang luas dan kolam pancuran yang kecil bagi taman di dalam kediaman dan istana. Bagi kolam dan pancuran air di dalam tempat kediaman seperti di istana ia dapat menyejukkan suasana di dalam kediaman tersebut.

Sewaktu zaman pemerintahan Kerajaan Mughal di India, salah seorang maharajanya iaitu Jahangir telah membina beberapa taman diraja di dalam empayarnya. Salah sebuah taman yang dibina beliau adalah Shalimar Bagh yang terletak di Kashmir. Ia merupakan hadiah buat permaisuri baginda yang amat dikasihi iaitu Nur Jahan.

No comments:

Post a Comment