Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, December 4, 2011

LAMAN MODULAR

Mereka yang mempunyai kediaman berbumbung yang rata tetapi tidak tahu memanfaatkannya kini boleh menarik nafas lega kerana ruang itu boleh dihias menjadi laman dengan pokok dan bunga-bungaan.

Terkini di pasaran, bekas tanaman yang mempunyai sistem perairan dan saliran sendiri sangat sesuai dijadikan tempat tanaman bagi menghias bumbung kediaman.

Dikenali sebagai Modular Garden atau Laman Modular, kotak tanaman laman ini diperbuat daripada bahan mesra alam High Density Poly Ethelane (HDPE) didapati dalam satu set yang mengandungi empat kotak bersaiz 50 sentimeter x 50 sentimeter dengan ketebalan 19 sentimeter sesuai untuk pelbagai jenis tanaman renek dan sederhana besar.

Pengeluar produk yang diimport daripada Thailand ini, Teknologi Bina Hijau Sdn Bhd kini sedang giat memasarkannya untuk pasaran tempatan dan menjual setiap satu set pada harga RM450 berserta medium tanaman (tanah) dan pokok bunga yang kurang penyelenggaraan.

Pengarah Teknologi Bina Hijau, Fuzi Hanim, berkata setiap satu set Modular Garden juga disertakan alat sistem siraman yang juga diperbuat daripada HDPE.

Katanya, Modular Garden menjanjikan penanaman pokok yang mudah, menjimatkan dan kurang penyelenggaraan kerana ia mampu mengawal sendiri kandungan air yang sesuai untuk setiap pokok yang ditanam.

“Sekali pandang, Modular Garden ini nampak seperti acuan membuat waffle, namun di dasarnya ada satu takungan air yang mana jika kandungan airnya berlebihan ia akan dikeluarkan sendiri melalui lubang khas. Kotak ini sesuai untuk tanaman renek dan sederhana bekas seperti Portulaca Grandiflofa atau bunga Jepun; Brazil Nut; bunga matahari Thai, Tradescantia Pallida atau pokok hati ungu dan banyak lagi.

“Kotak tanaman ini juga sesuai untuk penanaman pokok jenis kaktus, pokok Lidah Mentua, Agave dan pokok nanas renek yang sememangnya tidak memerlukan air yang banyak,” katanya.

Selain digunakan untuk kawasan bumbung, katanya kotak tanaman itu juga sesuai menggantikan pasu atau bekas tanaman untuk kawasan balkoni atau diletakkan di atas tanah atau bawah teduhan dan anjung kediaman.

Fuzi menjelaskan kotak tanaman berkenaan juga kukuh dan tidak mudah rosak dan mampu menampung tanah dan air sehingga 2.7 kilogram.

“Oleh kerana kotak ini bersaiz sederhana ia juga mudah dialihkan mengikut kesesuaian ruang dan pilihan pengguna. Walaupun didatangkan dalam satu set ia boleh diasingkan kepada empat bahagian kotak. Terpulang kepada pengguna menggunakannya mengikut cita rasa masing-masing. Modular Garden juga boleh disesuaikan dengan mana-mana cuaca dan suhu. Namun, bagi memastikan pokok mahu pun rumput yang ditanam lebih tahan lama elakkan kawasan terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari. Berikan sungkupan untuk ketahanan pokok. Namun, Modular Garden memang sesuai untuk apa juga tanaman tropika,” katanya.

Bagi mengelakkan kebocoran di kawasan bumbung, katanya Teknologi Bina Hijau turut menyediakan perkhidmatan untuk meletakkan sistem kalis air tetapi caj pemasangan berbeza mengikut keluasan ruang bumbung.

Selain Modular Garden, Teknologi Bina Hijau turut menjual hiasan landskap seperti papan dan batu pemijak kaki yang diperbuat daripada bahan mesra alam.

Beliau menjelaskan kos pemasangan Modular Garden adalah percuma dan sebagai permulaan tiada caj dikenakan untuk sebarang pokok atau tanah yang diberikan percuma bagi setiap set.

Orang ramai yang berminat mendapatkan Modular Garden boleh menghubungi Teknologi Bina Hijau di 03-77255752 atau melayari laman web http://www.binahijau.com/.


Penghargaan untuk Berita Minggu

No comments:

Post a Comment