Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Monday, October 24, 2011

HUTAN BANDAR MAJLIS PERBANDARAN JOHOR BAHRU TENGAH

Jangan silap faham mengenai hutan bandar ni... Hutan bandar di Johor bukanlah hutan sebagaimana yang kita tahu mengenai hutan di negara kita Malaysia. Hutan bandar adalah sebuah taman rekreasi yang dibina dan berada di kawasan bandar. Banyak tumbuh-tumbuhan saka ditanam dalam taman (hutan) ini.

Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang terletak di Taman Mutiara Rini ini berkeluasan 25 hektar dan mempunyai 3,200 pokok hutan tropika. Hutan bandar yang menghimpunkan pokok hutan tropika (arboretum), kini mempunyai 200 spesies berbeza kini menjadi tumpuan orang ramai apabila menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana untuk riadah.

Hutan di dalam bandar ini merupakan projek pembangunan landskap bertujuan menjadikan hutan bandar sebagai tempat beriadah serta tarikan pelancong. Pengunjung bukan sahaja boleh beriadah tetapi mengenali jenis pokok menerusi tanda nama tempatan dan nama botani yang diletakkan di pokok tersebut. Antara pokok yang ada adalah asam gelugur, keranji, tampoi, tongkat ali, jelutong, kempas, keruing bulu, bachang, johor, gelam, giam jantan, ipoh dan gaharu.

Komponen lain yang ada di situ seperti bangunan serbaguna, tempat letak kereta, wakaf, menara pandang, taman bunga dan taman herba.

Bagi memenuhi konsep hutan bandar seperti yang diharapkan oleh warga kota, antara kemudahan yang disediakan termasuk taman permainan kanak-kanak berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar yang boleh menampung 100 kanak-kanak pada satu-satu masa. Hutan bandar tersebut turut menyediakan tasik untuk aktiviti memancing dan bagi memenuhi minat golongan remaja, MPJBT kini sedang menyiapkan pembinaan tiga gelanggang futsal dan satu kawasan untuk sukan lasak.

Bagi jabatan dan agensi yang ingin mengadakan sesuatu acara, Hutan Bandar MPJBT ini turut membina Dataran Sekapur Sirih dengan kos RM24 juta yang sesuai untuk program keramaian termasuk sambutan Hari Kemerdekaan. Pembangunan landskap yang diterapkan di dataran itu mengenengahkan konsep gambir dan tepak sirih yang merupakan elemen penting dalam adat Melayu ketika meraikan sesuatu upacara keramaian seperti meminang, adat ketika bertandang dan sebagainya.

Pusat riadah tersebut juga diserikan dengan pembinaan 24 rumah limas yang menjadi identiti Johor bagi mewakili 24 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terdapat di negeri ini dan boleh digunakan bagi pihak yang ingin mengadakan seminar, kursus, bengkel ataupun majlis keramaian.

Reka bentuk dan konsep hutan bandar mesra alam itu mengutama dan menyediakan kemudahan sosial yang lengkap serta mengamalkan pengurusan mesra rakyat kepada warga dan penduduk negeri ini.

Hutan Bandar MPJBT itu dibuka pada 2009 yang mempunyai 3,027 jenis pokok, pelbagai herba dan bunga tropika sekali gus menjadikannya unik dengan daya tarikan tersendiri di tengah bandar. Usaha membangun, mengindah dan melengkapkan prasarana di hutan ini melibatkan peruntukan RM5.7 juta ditanggung oleh MBJBT sebanyak RM3.2 juta manakala bakinya oleh Jabatan Landskap Negara.

MPJBT komited dalam menguruskan hutan bandar ini dengan menempatkan Jabatan Landskap di bawah Unit Pengurusan Taman yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan yang sistematik. Sebagai menghargai khazanah alam, MPJBT memperuntukkan kos penyelenggaraan hutan bandar sebanyak RM200,000 kerana mahu hutan itu bukan untuk kegunaan hari ini sahaja malah diwarisi untuk generasi akan datang.

Di Johor selatan terdapat beberapa hutan bandar yang dibina di kawasan bandar.  Antara taman terlibat adalah 25 hektar di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) di Taman Mutiara Rini, 240 hektar di Nusajaya dan 36 hektar lagi di Kota Iskandar selain Taman Bunga Istana yang diwujudkan sekitar 1930-an seluas 52 hektar.  Kerajaan negeri juga sedang membangunkan kawasan hutan bandar di Kulaijaya bagi menampung keperluan penduduk kawasan tersebut termasuk Senai yang melibatkan kawasan seluas 80 hektar.
























No comments:

Post a Comment