Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Wednesday, April 9, 2014

KREATIVITI ANDAMAN TOPIARI

Seni topiari sebenarnya sudah lama wujud dalam bidang seni taman terutama di Barat. Seni ini merujuk kepada amalan hortikultur bagi membentuk atau menggubah pokok renek menjadi pelbagai reka bentuk seperti bentuk geometri atau objek unik dan menarik seperti cawan, teko, pelbagai binatang dan pelbagai bentuk lain.

Sebagai seni rekabentuk, ia sebenarnya sejenis seni arca hidup. Sebenarnya perkataan topiari atau ‘topiary’ dalam istilah Inggerisnya ini dikatakan berasal dari perkataan Latin iaitu topiarius yang bermaksud juru landskap taman hiasan.

Bagi masyarakat Barat, sejak zaman dulu lagi mereka sering menggunakan pelbagai tanaman hiasan diandam menjadi pelbagai bentuk bagi mencantikan lagi taman awam dan kediaman mereka.

Kini, seni topiari didapati kian popular dan dapat dilihat menghiasi taman di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Ia sebenarnya boleh memainkan peranan yang penting dalam membentuk struktur dan karakter taman atau ruang dengan kecantikan dan keunikannya yang tersendiri.

Ciri-ciri tanaman topiari

Ada beberapa ciri tanaman yang sesuai untuk ditanam dan diandam menjadi pelbagai objek seni topiari:
  1. Daun pokok sebaiknya bersaiz kecil supaya senang diandam untuk membentuk objek dengan tekstur yang lebih halus, cantik dan bernilai tinggi. 
  2. Ranting dan pucuk baru pokok cepat tumbuh semula selepas dipangkas atau dipotong. 
  3. Pokok yang digunakan perlulah dari jenis yang tahan lasak dan boleh hidup lama serta memerlukan sedikit penjagaan saja. 
  4. Mempunyai bentuk pokok yang padat yang mengandungi banyak ranting pendek. 
  5. Penampilannya biarlah unik, istimewa dan tersendiri.

Jenis tanaman sesuai

Di negara kita tanaman yang sesuai untuk seni topiari ini adalah seperti berikut:

Pokok berdaun
Contohnya Duranta; Ficus; Kesinai; Podocarpus dan Acalypha siamensis atau pokok teh liar yang berdaun kecil. Manakala spesies Syzygium campanulatum pula sangat cantik digunakan sebagai tanaman topiari kerana daunnya sentiasa bertukar warna dari muda hingga ke tua.

Pokok berbunga
Contohnya Melati atau Wrightia religiosa yang berbunga wangi. Manakala pokok bunga kertas pula berbunga pelbagai warna menarik.

Reka bentuk topiari
Seni topiari ini boleh dipelbagaikan reka bentuknya yang menarik di antaranya seperti daun bertingkat-tingkat ala pagoda; satu kanopi atau silara di hujung batang; bentuk kon; banyak ranting dan daun hanya ditemui di hujungnya  serta objek seperti binatang. 

Kaedah bentuk topiari

Dalam membentuk reka bentuk objek topiari ada beberapa tekniknya seperti berikut:

Guntingan bebas
Pokok digunting secara bebas oleh pemotong topiari yang berpengalaman mengikut reka bentuk yang dibayangkan dalam mindanya . Pokok pagaran yang dipotong kemas itu sebenarnya adalah reka bentuk topiari paling mudah dan ringkas menggunakan kaedah ini.

Rekabentuk ’dawai mata punai’ (Chicken net)
Kadangkala diperbuat daripada wayar besi dan diletakkan atas silara atau kanopi pokok supaya ranting dan daun pokok dapat tumbuh memenuhi ruang di dalam rekabentuk berkenaan. Kaedah ini lebih mudah kerana hanya daun yang terkeluar daripada reka bentuk berkenaan perlu dipotong untuk membentuk objek yang dinginkan itu.

Satu lagi kaedah mudah ialah dengan membiarkan pokok menjalar berdaun kecil menjalar dan menutupi bahagian luar reka bentuk dawai atau wayar besi seperti di atas yang akan membentuk objek topiari berkenaan dalam beberapa bulan.

Tip Pokok topiari
  • Pokok topiari juga memerlukan penjagaan yang sempurna seperti siraman, pembajaan dan sebagainya. 
  • Pokok juga perlu dipotong dan diandam kemas sekerap mungkin supaya dapat mengekalkan bentuknya sentiasa. 
  • Seni topiari bukan saja boleh diterapkan untuk pokok yang ditanam di tanah tetapi juga boleh dilakukan untuk pokok yang ditanam dalam pasu atau bekas lain. Pokok topiari dalam pasu sangat sesuai untuk menghiasi premis perniagaan, rumah kediaman dan sebagainya kerana ia boleh diubah tempat pamerannya.

No comments:

Post a Comment