Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Saturday, February 4, 2012

LAMAN BUMBUNG

RAMAI yang maklum keindahan Taman Tergantung Babylon, salah satu daripada tujuh keajaiban dunia. Namun, bagaimana rupa bentuknya sehingga kini tidak siapa yang tahu walaupun ada artis ilustrasi cuba melakar taman mengikut gambaran yang diberikan.

Mengapa taman itu dipanggil taman tergantung? Ada yang menyatakan ia terletak di atas anjung bukit dan dan apabila dilihat dari kaki bukit ia seakan taman tergantung, sejauh mana kebenarannya masih menjadi misteri. Bolehkah taman tergantung sebegitu dihasilkan dalam zaman moden ini? Jawapannya, mengapa tidak, lebih-lebih lagi dengan pelbagai kemudahan dan teknologi canggih yang ada.

Malah, kini banyak negara mempunyai dasar teknologi hijau yang merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semula jadi serta meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.

Seiring perkembangan itu, penggemar seni laman dan landskap kini turut memperkenalkan pelbagai tanaman dan sistem bersifat ‘hijau’ termasuk memanfaatkan kawasan terbiar seperti kawasan lapang atas bumbung untuk dijadikan taman.

Di negara maju seperti Britain, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat misalnya, teknologi laman di bumbung sudah dipraktikkan lebih 10 tahun lalu yang mana ia bukan saja dapat menghijaukan persekitaran malah menyejukkan kawasan sekitar dan mengurangkan penyerapan haba keseluruhan bangunan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan tenaga.

Di pasaran kini, ada pelbagai bekas tanaman mahu pun pasu bunga atau sistem penanaman di atas bumbung mahu pun di atas bangunan pencakar langit.

Laman atas bangunan atau bumbung ini dikenali sebagai laman bumbung atau tergantung. Selain manfaat hiasan, penanaman tumbuhan di atas bumbung boleh menghasilkan tanaman untuk makanan, mengawal suhu, memberi faedah hidrologi, peningkatan seni bina, habitat atau koridor untuk hidupan liar seperti burung, dan memberi ruang rekreasi kepada penduduk. Laman jenis ini sering dijumpai dalam persekitaran bandar besar dan bangunan pencakar langit serta kawasan kepadatan penduduk yang tinggi.

Tumbuhan yang ditanam pula biasanya mempunyai keupayaan untuk mengurangkan penyerapan haba keseluruhan bangunan yang kemudiannya dapat mengurangkan penggunaan tenaga.

Punca utama peningkatan haba di bandar adalah penyerapan sinaran suria oleh binaan konkrit seperti jalan dan bangunan. Haba disimpan dan kemudian dipantulkan semula.

Kepanasan yang diserapkan itu menyebabkan keadaan di dalam bangunan menjadi panas yang memaksa pejabat menggunakan penghawa dingin untuk mengurangkan kepanasan.

Satu kajian oleh Majlis Penyelidikan Kebangsaan Kanada menunjukkan penanaman pokok pada bumbung bangunan menjadikan ia lebih sejuk dan penggunaan tenaga dapat dikurangkan sehingga 30 peratus.

Di Jepun, penanaman pokok dan pembinaan laman bumbung menyebabkan suhu Tokyo diturunkan sehingga 50 peratus yang menjimatkan kira-kira 100 juta yen sehari untuk bil elektrik di bandar berkenaan.

Singapura juga sangat aktif dalam pembangunan bandar hijau. Malah 80 peratus penduduknya yang kebanyakannya tinggal di apartmen dan kondominium mahu kediaman mereka dihiasi laman.

Jenis Bumbung

Apakah jenis bumbung yang sesuai untuk dibina laman di atasnya? Secara teorinya, mana-mana permukaan bumbung boleh ‘dihijaukan’ walaupun bumbung curam atau melengkung boleh menyokong satu lapisan tanah air atau pokok yang tumbuh. Paling sesuai bumbung konkrit yang rata.

Biasanya, kanvas akan dibentangkan di atas permukaan bumbung sebelum diletakkan medium tanaman atau tanah atau campuran tanah serta pasir juga batu kerikil. Kemudian tanah diratakan dan proses penanaman boleh dimulakan.

Namun, bagi mengelakkan kebocoran, disarankan mereka yang berminat membina laman bumbung ini membina sistem peparitan yang sesuai supaya tidak timbul masalah yang berisiko untuk kediaman.

Adakah ‘roof garden’ meningkatkan risiko bocor atau kerosakan atap? Jawapannya, tidak kerana kanvas atau bekas tanaman serta pasu yang digunakan biasanya dapat melindungi sistem bumbung.

Masalah mungkin timbul jika, bebanan hasil tanaman tidak diambil kira dengan kemampuan dan keutuhan bumbung kediaman.

Sistem perparitan sekali lagi perlu diberikan perhatian, jika tidak banjir pasti berlaku jika longkang tersumbat. Sistem ini sama seperti sistem saliran untuk ke kawasan tinggi atau atas tanah.

Ada juga peralatan yang kalis air dan direka untuk menyerap dan tidak menakung air. Apa yang perlu diberikan perhatian adalah memastikan bumbung dan sistem perparitan mempunyai penutup serta penapis seperti kain tanaman dan batu kelikir untuk menjaga tanah daripada mengalir keluar atau diproses dijadikan sumber air untuk tanaman.

Justeru perlu difikirkan sistem menyimpan air hujan dalam takungan / tangki khas yang boleh digunakan semula bagi menyiram tanaman.

Namun, jika anda benar-benar berminat membina laman di bumbung kediaman disarankan dapatkan nasihat atau perkhidmatan pakar dan kontraktor landskap.

Sumber: Berita Minggu

No comments:

Post a Comment