Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, September 4, 2011

LAMAN SYAWAL

Penghargaan untuk Berita Minggu 4 September 2011

TIBA musim perayaan, lazimnya ramai yang menghias kediaman dengan gubahan bunga segar untuk kawasan dalam kediaman tetapi melupakan kawasan luar rumah. Bagi memeriahkan lagi kehadiran Syawal selama sebulan, ingin saya cadangkan anda menghiasi laman di kediaman anda itu dengan pelbagai tanaman hiasan hidup yang digubah cantik dan menarik.


Berikut saya kongsi teknik membuat satu gubahan tanaman hiasan yang mudah, ringkas dan segera tetapi menarik.

Ruang sesuai:
Idea gubahan seperti ini sesuai untuk menghiasi ruang seperti tempat letak kereta, patio, balkoni dan ruang taman dalam kediaman atau di kenali sebagai ‘courtyard garden.’

Persediaan tempat:
Tetapkan lokasi di mana gubahan ingin dilakukan dan kemudian bersihkannya.

Bahan untuk gubahan:
  1. Pokok hiasan: Pokok yang digunakan itu biarlah dari beberapa peringkat seperti berikut; a) Pokok paling tinggi: Ia akan menjadi titik tumpuan kepada gubahan. b) Pokok rendah: Ia digunakan bagi menghiasi bahagian hadapan gubahan. c) Pokok gantung: Untuk digantung di bahagian atas gubahan. Sebagai contoh, saya gunakan semua pokok berdaun. Walaupun tidak menggunakan pokok berbunga, ada di antara pokok itu juga berdaun cantik berwarna warni seperti pokok ati-ati. Pokok aluminium atau pilea cadierei pula berdaun unik iaitu bercorak warna perak seakan aluminium di permukaan atasnya. Bagi pokok gantung, saya menggunakan pokok paku Boston dan pokok duit-duit. Jika anda ingin menggunakan pokok berbunga pula, pilihlah pelbagai pokok berbunga semusim seperti tagetes, impatiens, petunia dan sebagainya untuk mencantikkan lagi gubahan. Pokok boleh dibiarkan dalam polibeg masing masing atau diubah dan ditanam dalam pasu yang sama saiznya agar senang kerja-kerja membuat gubahannya.
  2. Pagar buatan: Sebaiknya gunakan pagar yang diperbuat daripada kayu untuk kelihatan lebih semula jadi, cantik dan menarik.
  3. Batu: Gunakan batu dalam pelbagai bentuk, warna dan saiz sebagai hiasan dan penambah seri gubahan.
  4. Tali: Digunakan bagi membendung batu supaya tidak berselerak di merata tempat.

Teknik gubahan:
  • Langkah 1: Letakkan pokok yang paling tinggi di belakang sekali. Jika pokok tidak mencapai ketinggian yang dikehendaki, sila gunakan pelapik atau alas pasu.
  • Langkah 2: Letakkan pokok yang rendah iaitu pokok ati-ati dan pokok aluminium di hadapannya sehingga menutupi sekelilingnya.
  • Langkah 3: Kemudian letakkan pula pagar buatan di bahagian depan susunan pokok tadi agar nampak lebih cantik dan menyerlah.
  • Langkah 4: Seterusnya taburkan batu pelbagai saiz dan warna di hadapan pagar buatan agar gubahan nampak lebih cantik dan menarik. Mulakan dengan batu bersaiz besar dan diakhiri dengan yang bersaiz kecil sekali.
  • Langkah 5: Gantung juga beberapa pokok gantung yang cantik di bahagian atasnya agar gubahan nampak lebih padat, beraneka dan cantik.

Tip:
  • Bagi menghalang batu agar tidak berselerak di merata tempat yang mungkin mengundang bahaya kepada tetamu yang bertandang letakkan pula tali rami di bahagian luar gubahan.
  • Pelapik atau alas pasu boleh digunakan untuk menambah ketinggian pokok.
  • Trellis atau pembahagi ruang cantik sekali untuk dijadikan tempat menggantung pokok menjalar.
  • Cangkuk pula boleh digunakan untuk menggantung pokok gantung pilihan anda itu di trellis.
Lihatlah hasilnya. Cantik bukan? Ianya mudah, ringkas tetapi tetap cantik dan menarik. Oleh itu cubalah membuatnya dan lihatlah hasilnya nanti. Mana tahu anda boleh membuatnya lebih cantik lagi daripada apa yang dipaparkan di sini.

Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment