Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Wednesday, August 17, 2011

TITI LAMAN

Berita Minggu 14 Ogos 2011

Artikel ini hampir sama dengan artikel yang telah kami buat dalam blog ini yang bertajuk JAMBATAN MINI/TITI DALAM TAMAN.

SEPERTI diketahui, elemen air sangat penting untuk menghasilkan laman indah dan menarik. Malah air memberi nilai estetika kepada laman kerana ia simbolik unsur ketenangan, kedamaian. Untuk itu, ramai memilih meletakkan unsur air di laman mereka dengan membina kolam dan pancuran air. Selain itu, ada juga menggunakan kolam dan pancuran air mini yang boleh diubah mengikut cita rasa masing-masing. Salah satu binaan yang ada kaitan dengan air adalah jambatan mini laman atau titi. Jambatan mini ini sering menjadi hiasan dalam seni hias laman Jepun dan Cina, namun kini ia semakin popular dan jadi pilihan pereka landskap dalam hiasan laman kediaman.


Seperti reka bentuk jambatan biasa yang merentasi sungai, terusan, parit dan longkang, titi juga dibina menggunakan bahan tahan lasak dan kukuh seperti konkrit, kayu, keluli, besi dan batu. Namun biasa dibina di laman adalah jambatan mini kayu dan konkrit atau simenfero, sama ada berpemegang atau tanpanya.

Bagi laman nusantara, biasanya jambatan kayu menjadi pilihan kerana ia melambangkan dekatnya konsep itu dengan alam, begitu juga laman Inggeris, namun warna bagi kedua-dua konsep ini tampil berbeza.

Untuk laman tropika atau nusantara, biasanya kayu yang digunakan menampilkan ciri kayu itu sendiri atau pun urat kayu dengan warna-warna gelap, asli (warna kayu) dan coklat manakala untuk laman Inggeris, biasanya dicat putih atau warna lapuk (rustic).

Untuk gaya terkini, titi dalam laman nusantara dan tropika dihiasi pemegang tali kapal atau tali sabut berwarna coklat, perang dan hitam. Bagi mereka yang ingin membina sendiri titi, jambatan mini ini turut dijual di kedai aksesori laman dan nurseri bunga dengan kos mampu milik.

Jika ingin menggunakan khidmat kontraktor landskap, biasanya kontraktor membina jambatan ini seperti yang direka bentuk pereka laman. Jambatan laman tidak terhad untuk laman yang luas, malah boleh disesuaikan dengan kawasan yang sempit.

Titi kecil ini biasanya hanya berfungsi sebagai hiasan, tidak sesuai digunakan kerana saiznya tidak mampu menampung berat badan manusia. Bagaimanapun titi besar, selain mencantikkan hiasan landskap, memberi nilai estetika kepada laman yang boleh dijadikan tempat mencari ketenangan kerana berdekatan air yang dikaitkan dengan kedamaian.

Bukan saja sesuai untuk kawasan di atas air, titi juga boleh menjadi hiasan kawasan kering, berpaya atau becak selain di kawasan berpasir sebagai laluan pejalan kaki. Elemen ini juga boleh menjadi penghubung antara satu kawasan laman dengan ruang lain, contohnya penyambung ruang laman dengan tempat letak kereta atau anjung rumah.

Cuba letakkan titi taman yang kecil di laman kerana ia memberi impak berbeza dan pasti mencuri tumpuan sesiapa saja yang berkunjung ke laman.




INFO: Tip penjagaan titi kayu
  • Sapu kayu titi dengan varnis untuk mengilatkan, melindungi kayu daripada cuaca dan suhu.
  • Kerap memeriksa titi terutama di bahagian sambungan.
  • Kerap membersihkan titi terutama bahagian sering terkena air supaya tidak reput.
  • Buang rumpai, lumut yang boleh merosakkan kayu.
  • Bersihkan kolam, pancuran air tempat titi kayu supaya tidak jadi beban kepada titi dan boleh merosakkannya.

No comments:

Post a Comment