Tuesday, April 9, 2013

TAMAN MENEGAK TERBESAR DI DUNIA DI PUSAT BELI-BELAH FIORDALISO, MILAN, ITALI

Bergelar taman menegak terbesar di dunia membuatkan pusat beli-belah Fiordaliso di Rozzano, Milan, Itali menjadi perbualan hangat. Apabila siap sepenuh­nya pada 2010, taman yang meliputi permukaan seluas 13,600 kaki persegi itu berlatarkan 44,000 tanaman dan pokok hiasan. Kewujudannya juga memberi saingan kepada taman menegak di Mad­rid yang sebelum ini terkenal sebagai taman menegak terbesar di dunia. Ini kerana taman di Madrid itu hanyalah berkeluasan meliputi 9,085 kaki persegi saja berbanding taman di pusat beli-belah Fiordaliso berkenaan.

Menurut arkiteknya, Francesco Bollani, rekaan taman itu memberikan pengalaman luar biasa dengan panorama indah tumbuh-tumbuhan bagaikan dalam rumah hijau. Ternyata Francesco tidak berseorangan apabila proses pembinaan taman itu turut dibantu pasukan daripada firma arkitek Perancis.

Proses membina struktur penyokong taman mengambil masa tiga bulan untuk disiap­kan. Ia membabitkan peng­gunaan bekas logam sebagai struktur binaan yang berfungsi sebagai asas atau pegangan semua tanaman di situ. Sementara tempoh setahun diambil untuk membesarkan ribuan tanaman hijau dan berbunga yang dipilih khas dalam menyerlahkan suasana persekitaran.

Taman itu secara tidak langsung memperlihat­kan idea penanaman dalam konsep menegak dan pada masa sama berfungsi sebagai latar dinding pusat beli-belah itu. Malah Francesco tidak menafikan, proses pembinaan taman itu turut disamakan dengan membuat reka bentuk lego gergasi dengan cabaran tersendiri.

“Apabila ia siap, anda bagaikan berada di sebuah taman ‘tergantung’ yang diserikan dengan latar dinding penuh kehijauan,” katanya.

Bagi pengarah pusat beli-belah itu, Simone Rao, taman berkenaan antara seni bina lestari yang unik dan cukup luar biasa. Ia turut menjimatkan tenaga dengan mengurangkan jumlah pantulan terus cahaya matahari ke bangunan itu. Binaan taman itu juga berjaya mengurangkan karbon dioksida dan menjadi penampan kepada bunyi bising di dalam pusat beli-belah itu.

Kedudukannya di luar pusat beli-belah itu semestinya menjadi tarikan kepada pengunjung untuk bersantai dalam suasana hijau ketika membeli-belah.

Sumber:  myMetro

Saturday, April 6, 2013

TAMAN BOTANI CURITIBA: RUMAH HIJAU IMBANGI LANDSKAP

Keunikan Taman Botani Curitiba, Brazil antara taman hijau yang luar biasa dan menjadi sebutan. Dibina pada 1991, ia dilihat menyamai gaya taman Perancis dengan reka bentuk semula jadi dan menarik perhatian. Keindahan dinikmati sepenuhnya apabila bu–nga-bungaan segar ditanam sebagai latar laluan ke taman itu. Pada masa sama, bunga-bungaan segar itu turut menjadi titik fokal utama sepanjang laluan memasuki pintu rumah hijau.

Kewujudan rumah hijau itu sendiri adalah kemuncak taman dan tersergam indah berlatar- belakangkan ‘langit Curitiba.’Panorama yang mendamaikan itu membuktikan Taman Botani Curitiba benar-benar dijaga rapi dengan latar seni bina tersendiri. Seni bina rumah hijau umpamanya dibina dengan idea reka bentuk yang mengimbangi keadaan alam sekitar dan mendekatkan pengunjung dengan kehijauan landskap.

Malah ia membabitkan pembinaan seni ‘nouveau’ yang menggabungkan logam dan kaca dalam membentuk tiga puncak monumen dengan terjemahan keindahan semula jadi. Setiap strukturnya pula disalut logam putih dengan ukiran yang boleh dianggap rumit dengan binaan bangunan di tengah suasana hijau. Di dalam rumah hijau juga anda boleh temui pelbagai spesies tanaman botani dengan kewujudan mata air.

Keadaan itulah yang membezakan Taman Botani Curitiba dengan taman lain. Walaupun tidak tersenarai antara taman terluas, namun ia menjadi mercu tanda di Bandar Curitiba dengan tarikan panorama landskapnya itu. Persekitaran yang sejuk dengan iklim sesuai menyebabkan pelbagai tanaman tempatan boleh ditemui di taman itu. Tidak hairanlah ada penyelidik dari seluruh negara yang sering membuat kajian berkenaan keunikan Taman Botani Curitiba.

Dibuka setiap hari kepada umum membuatkan taman itu sering menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan pelancong tanpa mengira musim. Diuruskan Gert Hatschbach, taman berkenaan turut menawarkan tempat untuk pameran, perpustakaan dan auditorium. Sementara di belakang rumah hijau pula terdapat pameran tetap Frans Kraycberg dengan 114 ukiran.

Muzium Botani pula menyediakan koleksi bunga-bungaan asli yang sesuai untuk rujukan pe–nyelidik dalam dan luar negara. Menariknya muzium berkenaan antara bangunan kayu yang dibina di taman itu dan turut dihubungkan dengan jambatan kayu.

Sumber:  Harian Metro

Wednesday, April 3, 2013

TAMAN MINI PANCAWARNA DI BELAKANG DAPUR RUMAH CIKGU HASAN KASMURI

Taman mini ini dibina oleh Cikgu Hasan Kasmuri guru Landskap kami di SMK Telok Kerang. Ia dibina di belakang dapur rumah beliau. Daripada apa yang beliau katakan, sebenarnya tapak asal taman ini ialah batas sayur-sayuran (taman dapur). Memandangkan sayur-sayuran yang beliau tanam tak habis dimakan walaupun setelah diberikan kepada jiran tetangga, maka beliau dan isterinya menanam beberapa spesies bunga-bunga berwarna-warni di tapak itu. Beliau pilih tanaman landskap yang mudah tumbuh dari jenis pokok renek. Tidak ada pelan landskap dan tidak ada perancangan teliti. Main tanam saje... Tak sangka pula apabila sampai masa berbunga, kawasan itu nampak meriah dengan warna-warni bunga. Pada waktu petang beliau berdua bersama isterinya berehat-berehat di pangkin belakang dapur sambil menikmati warna-warni bunga.















Tuesday, April 2, 2013

KEINDAHAN TAMAN HIJAU MARQUEYSSAC

Keindahan Taman Marqueyssac di Perancis antara kehijauan luar biasa dan landskap paling indah di dunia. Ia dibangunkan pada 1861 oleh Julien De Cerval yang mengambil masa 30 tahun untuk menyiapkan taman itu. Taman itu mempunyai identiti tersendiri apabila dihiasi dengan tanaman hijau dengan tektur tahan lasak selain pemandangan semula jadi.

Berada di taman ini juga anda berpeluang menemui tanaman yang dibentuk unik hasil rekaan Julien sendiri dengan maksud tertentu. Julien juga mengharapkan taman itu dikunjungi sepanjang masa. Justeru, suasana siang berbeza dengan pemandangan malam apabila taman itu dilimpahi cahaya lampu.

Kehijauan tanamannya juga membuatkan keunikan malam lebih indah. Reka bentuk landskap sebegitu dicipta bagi mengekalkan keadaan semula jadi dan persekitaran yang sedikit berbukit dan berbatu.

Bagaimanapun pada abad ke-20 menyaksikan pemilik seterusnya taman itu tidak memberi tumpuan seperti yang dilakukan Julien hingga sebahagiannya mengalami kerosakan. Hingga pada 1996, pemilik barunya iaitu Kleber Rossilon mengambil inisiatif membangunkan semula taman itu. Menjelang 1996, Taman Marqueyssac dibuka kepada umum dan kerajaan menjadikan ia warisan negara.

Taman seluas 22 hektar itu turut dilitupi kawasan berbatu mengadap Lembah Dordogne antara La Roque-Gageac dan Beynac. Keadaan itu sedikit pun tidak menghalang panorama semula jadi taman berkenaan untuk dinikmati.

Di antara kawasan lembah itu, wujud sungai yang berliku sejauh 130 meter ke bawah. Lebih menarik apabila taman itu mempunyai laluan pejalan kaki hingga lima kilometer (km) dan lorong berteduh sejauh 6 km. Kawasan taman turut dihiasi hamparan rumput hijau dan taman permainan kanak-kanak.

Sumber:  Harian Metro

Monday, April 1, 2013

YUYUAN GARDEN TAMAN 400 TAHUN

Terkenal sebagai taman yang melambangkan kebahagiaan dan kasih sayang, Yuyuan Garden di Anren Jie, Shanghai, China menyingkap sejarah tersendiri. Yu membawa maksud menyenangkan, memuaskan atau memberikan kesenangan sementara Yuan bermaksud kebun atau taman.

Ia terletak tidak jauh dari Sungai Huangpu di kota Shanghai. Asalnya ia dibina Bendahari Dinasti Ming (1368-1644), Pan Yunduan kira-kira 400 tahun lalu. Pan membina taman itu bagi menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada ibu bapanya.
Ia menjadi lokasi paling sesuai buat ibu bapa Pan berehat dan bersantai dalam suasana tenang khususnya ketika usia tua. Apabila dibina, taman itu mengalami banyak perubahan dan sebaik Dinasti Ming berakhir, ia mengalami kerosakan.

Pada 1760, beberapa pedagang kaya membeli Yuyuan Garden dan mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk membangunkan semula taman itu. Bagaimanapun, ia sekali lagi mengalami kerosakan apabila berlakunya Perang Candu sekitar abad ke-19. Pada September 1961, taman itu dibuka kepada umum. Lebih membanggakan apabila Yuyuan atau Yu Garden itu dikelilingi Yu Fashion Garden, iaitu kawasan membeli-belah yang diwarnai bangunan tradisional.

Kini, taman berkeluasan kira-kira lima hektar itu antara lokasi pelancongan popular di Shanghai. Ia mempunyai dua pintu masuk iaitu pintu utama di hadapan sebuah danau dengan binaan jambatan bengkang-bengkok. Sementara pintu kedua pula dari arah yang berbeza.
Bersantai di taman itu bermakna kerana anda pasti merentasi laluan bengkang-bengkok yang terpisah. Ia ada laluan khusus untuk lelaki dan wanita. Malah, anda pasti tidak melepaskan peluang meninjau batu jade bersaiz besar yang diletak pada tembok besar dalam taman itu. Batuan itu menjadi hiasan dinding terbesar dan masih kekal utuh di situ. Di sisinya ada ruang santai bagi orang ramai menikmati keindahan batu jade itu. Perabot di ruang itu diperbuat daripada kayu kukuh dan berada bersebelahan Yuhua Hall.
Taman berkenaan mempunyai enam bahagian utama iaitu Sansui Hall, Wanhua Tower, Dianchun Hall, Huijing Hall, Yuhua Hall dan Inner Garden. Uniknya Inner Garden adalah taman terpisah yang dibangunkan pada 1709. Sebuah kolam ikan dengan jambatan unik turut menarik perhatian di taman itu kerana menempatkan ribuan ikan emas yang memberikan keuntungan menurut kepercayaan masyarakat Cina.
Sumber:  Harian Metro