Monday, April 1, 2013

YUYUAN GARDEN TAMAN 400 TAHUN

Terkenal sebagai taman yang melambangkan kebahagiaan dan kasih sayang, Yuyuan Garden di Anren Jie, Shanghai, China menyingkap sejarah tersendiri. Yu membawa maksud menyenangkan, memuaskan atau memberikan kesenangan sementara Yuan bermaksud kebun atau taman.

Ia terletak tidak jauh dari Sungai Huangpu di kota Shanghai. Asalnya ia dibina Bendahari Dinasti Ming (1368-1644), Pan Yunduan kira-kira 400 tahun lalu. Pan membina taman itu bagi menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada ibu bapanya.
Ia menjadi lokasi paling sesuai buat ibu bapa Pan berehat dan bersantai dalam suasana tenang khususnya ketika usia tua. Apabila dibina, taman itu mengalami banyak perubahan dan sebaik Dinasti Ming berakhir, ia mengalami kerosakan.

Pada 1760, beberapa pedagang kaya membeli Yuyuan Garden dan mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk membangunkan semula taman itu. Bagaimanapun, ia sekali lagi mengalami kerosakan apabila berlakunya Perang Candu sekitar abad ke-19. Pada September 1961, taman itu dibuka kepada umum. Lebih membanggakan apabila Yuyuan atau Yu Garden itu dikelilingi Yu Fashion Garden, iaitu kawasan membeli-belah yang diwarnai bangunan tradisional.

Kini, taman berkeluasan kira-kira lima hektar itu antara lokasi pelancongan popular di Shanghai. Ia mempunyai dua pintu masuk iaitu pintu utama di hadapan sebuah danau dengan binaan jambatan bengkang-bengkok. Sementara pintu kedua pula dari arah yang berbeza.
Bersantai di taman itu bermakna kerana anda pasti merentasi laluan bengkang-bengkok yang terpisah. Ia ada laluan khusus untuk lelaki dan wanita. Malah, anda pasti tidak melepaskan peluang meninjau batu jade bersaiz besar yang diletak pada tembok besar dalam taman itu. Batuan itu menjadi hiasan dinding terbesar dan masih kekal utuh di situ. Di sisinya ada ruang santai bagi orang ramai menikmati keindahan batu jade itu. Perabot di ruang itu diperbuat daripada kayu kukuh dan berada bersebelahan Yuhua Hall.
Taman berkenaan mempunyai enam bahagian utama iaitu Sansui Hall, Wanhua Tower, Dianchun Hall, Huijing Hall, Yuhua Hall dan Inner Garden. Uniknya Inner Garden adalah taman terpisah yang dibangunkan pada 1709. Sebuah kolam ikan dengan jambatan unik turut menarik perhatian di taman itu kerana menempatkan ribuan ikan emas yang memberikan keuntungan menurut kepercayaan masyarakat Cina.
Sumber:  Harian Metro

No comments:

Post a Comment