Tuesday, April 9, 2013

TAMAN MENEGAK TERBESAR DI DUNIA DI PUSAT BELI-BELAH FIORDALISO, MILAN, ITALI

Bergelar taman menegak terbesar di dunia membuatkan pusat beli-belah Fiordaliso di Rozzano, Milan, Itali menjadi perbualan hangat. Apabila siap sepenuh­nya pada 2010, taman yang meliputi permukaan seluas 13,600 kaki persegi itu berlatarkan 44,000 tanaman dan pokok hiasan. Kewujudannya juga memberi saingan kepada taman menegak di Mad­rid yang sebelum ini terkenal sebagai taman menegak terbesar di dunia. Ini kerana taman di Madrid itu hanyalah berkeluasan meliputi 9,085 kaki persegi saja berbanding taman di pusat beli-belah Fiordaliso berkenaan.

Menurut arkiteknya, Francesco Bollani, rekaan taman itu memberikan pengalaman luar biasa dengan panorama indah tumbuh-tumbuhan bagaikan dalam rumah hijau. Ternyata Francesco tidak berseorangan apabila proses pembinaan taman itu turut dibantu pasukan daripada firma arkitek Perancis.

Proses membina struktur penyokong taman mengambil masa tiga bulan untuk disiap­kan. Ia membabitkan peng­gunaan bekas logam sebagai struktur binaan yang berfungsi sebagai asas atau pegangan semua tanaman di situ. Sementara tempoh setahun diambil untuk membesarkan ribuan tanaman hijau dan berbunga yang dipilih khas dalam menyerlahkan suasana persekitaran.

Taman itu secara tidak langsung memperlihat­kan idea penanaman dalam konsep menegak dan pada masa sama berfungsi sebagai latar dinding pusat beli-belah itu. Malah Francesco tidak menafikan, proses pembinaan taman itu turut disamakan dengan membuat reka bentuk lego gergasi dengan cabaran tersendiri.

“Apabila ia siap, anda bagaikan berada di sebuah taman ‘tergantung’ yang diserikan dengan latar dinding penuh kehijauan,” katanya.

Bagi pengarah pusat beli-belah itu, Simone Rao, taman berkenaan antara seni bina lestari yang unik dan cukup luar biasa. Ia turut menjimatkan tenaga dengan mengurangkan jumlah pantulan terus cahaya matahari ke bangunan itu. Binaan taman itu juga berjaya mengurangkan karbon dioksida dan menjadi penampan kepada bunyi bising di dalam pusat beli-belah itu.

Kedudukannya di luar pusat beli-belah itu semestinya menjadi tarikan kepada pengunjung untuk bersantai dalam suasana hijau ketika membeli-belah.

Sumber:  myMetro

No comments:

Post a Comment