Sunday, January 29, 2012

TARIKAN TAMAN COURTYARD

Selamat tahun baru diucapkan kepada pembaca kolum Hias Laman. Sebagai pembuka tirai pada tahun baru, saya memilih membicarakan topik ‘courtyard garden’ atau taman courtyard.

Istilah ini wujud di Barat sejak dulu lagi. Masyarakat Inggeris dari usia muda hingga warga emas cukup meminati seni tama. Mereka sanggup melakukan apa saja untuk menghiasi kediaman dengan tanaman cantik dan menarik.

Salah satu daripada caranya ialah dengan membina ‘courtyard garden’ di kediaman. ‘Courtyard’ boleh diterjemahkan sebagai halaman terbuka dipagari tembok, dinding atau bangunan.

Manakala ‘courtyard garden’ boleh didefinisikan sebagai konsep taman yang dibina di kawasan dipagari tembok, dinding atau dikelilingi bangunan. Konsep seni taman begini amat sesuai untuk ruang berikut:

1. Ruang luaran premis seperti di kompleks perniagaan dan pejabat kerajaan yang dikelilingi tembok, bangunan dan sebagainya.

2. Ruang dalaman premis seperti kediaman, klinik dan pejabat yang dikelilingi dinding atau tembok.

Sebenarnya, konsep taman begini adalah satu cara peminat seni taman atau pencinta alam semula jadi mendekatkan diri dengan suasana alam semula jadi.

‘Courtyard garden’ biasanya dipenuhi pelbagai jenis tanaman hiasan dalam pasu atau kekotak tanaman. Ia boleh juga dihiasi pelbagai barang hiasan seperti cendawan palsu, arca, lampu, kerincing angin dan seumpamanya.

Dulu konsep taman courtyard jarang dipraktikkan di Malaysia. Namun, sekarang ia makin diminati dan mula digunakan bagi menghiasi kediaman.

Tip bina taman courtyard

1. Set pasang siap
Kini ada set asas taman mini pasang siap kemasan kolam ikan dengan air terjun. Ia mudah alih kerana diperbuat daripada bahan gentian kaca atau ‘fibreglass’ yang lebih ringan, senang dibawa dan dipasang dalam ruang sempit di kediaman. Ia juga boleh dipasang di pejabat seperti di tepi tandas, dapur, ruang angin dan sebagainya.

Harga ditawarkan berpatutan iaitu serendah RM3,000. Namun, kita perlu menghias sendiri menggunakan idea kreativiti atau mengupah pakar landskap.

2. Penyediaan ruang
Apa yang penting, ruang perlu mendapat cahaya matahari mencukupi. Untuk itu, pasangkan atap lut sinar supaya cahaya matahari dapat menembusinya untuk keperluan tanaman hiasan di situ.

3. Tanaman hiasan
Pokok yang sesuai ditanam adalah dari jenis pokok berdaun. Pokok berbunga agak kurang sesuai kerana ia memerlukan cahaya yang banyak untuk berbunga cantik.

Pokok ini perlu ditanam dalam pelbagai pasu cantik supaya mudah disusun dan dialih dalam proses menggantinya dengan pokok lain. Tanam juga pokok boleh digantung bagi menjimatkan ruang. Selain itu, gunakan batang kayu mati untuk dijadikan tempat tanaman gantung seperti paku sarang burung supaya kelihatan lebih semula jadi seperti di hutan.

4. Hiasan kolam
Dalam kolam kecil boleh ditanam pokok air yang mudah tumbuh atau pokok terapung seperti kiambang, Salvinia dan Lemna . Masukkan beberapa ekor ikan kecil seperti ikan ‘Guppy’ atau letak ubat bagi mencegah pembiakan jentik-jentik nyamuk terutama Aedes.

5. Elemen landskap kejur
Gunakan barang hiasan seperti cendawan palsu, pasu cantik dan unik untuk menanam pokok terpilih. Untuk tujuan santai, letakkan perabot taman seperti kerusi dan meja kopi. Jika ingin menikmati suasana yang nyaman pada waktu malam, bekalkan lampu dengan rupa bentuk cantik untuk menerangi ruang.

Jika ada ruang yang tidak digunakan, apa kata bina sebuah ‘courtyard garden’ untuk anda sekeluarga menikmati suasana nyaman seperti di alam semula jadi. Namun, anda perlu rajin menyelenggara ruang seperti menyiram dan membaja tanaman serta menukar pokok selalu supaya kelihatan subur dan cantik.

Selamat mencuba idea yang menarik ini.

Sumber: Berita Minggu

No comments:

Post a Comment