Saturday, January 28, 2012

OLYMPIC SCULPTURE PARK SEBUAH TAMAN SENI ARCA

Kewujudan Olympic Sculpture Park di Seattle, Washington, Amerika Syarikat memberi wajah baru kepada umum dengan pengubah suaian tapak asal berkeluasan 3.6 hektar. Ruang hijau terbuka dengan simbolik seni arca hebat membuatkan taman itu lain dari yang lain. Taman di tepi pantai itu memberi peluang kepada pengunjung dan penduduk sekitarnya menghayati pelbagai seni arca. Ia turut dilatari pemandangan luar biasa pergunungan Olimpik dan Puget.


Membabitkan latar sejarah yang unik, Olympic Sculpture Park asalnya tapak perindustrian seterusnya mengalami transformasi radikal dalam tempoh 100 tahun lampau. Ia menjadi sebutan ramai bukan sekadar kelainan reka bentuknya kerana turut menghubungkan Bandar Seattle dengan kawasan sekitarnya. Pembinaan itu bermula pada 2005 dan dibuka sepenuhnya kepada umum pada 2007.


Sebelum itu pada 2001, rekaannya sudah mula diteliti dan dirancang pelbagai pihak termasuk 52 peserta pertandingan reka bentuk. Apatah lagi reka bentuk taman itu bermatlamat melahirkan integrasi dinamik landskap, seni bina dan reka bentuk bandar selain kesinambungan kejayaan dari projek sebelumnya. Ia menonjolkan keunikan tersendiri sebagai taman dalam bandar yang mempunyai seni arca tersendiri. Malah Olympic Sculpture Park menjadi simbolik kepada pemuliharaan ekosistem yang berfungsi sempurna.


Di samping menyediakan persekitaran yang unik dan semula jadi dengan penempatan arca serta rekreasi awam bermanfaat kepada sesiapa saja. Ia bukan satu tugas kecil kerana membabitkan perubahan memukau di tengah- tengah persekitaran bandar besar.


Projek reka bentuk taman itu diketuai Weiss/Manfredi yang membangunkan konfigurasi berbentuk Z inovasi. Uniknya ia menghubungkan tiga petak kepada empat siri landskap yang berbeza dan signifikan. Topografi baru itu juga banyak menyumbang ke arah pemuliharaan alam sekitar dan persekitaran sihat yang memperlihatkan pelbagai kemudahan.


Keadaan landskap Olympic Sculpture Park juga hebat dengan kehadiran lembah hutan malar hijau paling tipikal. Pelbagai tanaman lain termasuk bunga-bungaan yang tumbuh melata, renek dan sesuai hidup dalam persekitaran lembap. Sementara bunga-bungaan perennials, groundcovers dan paku pakis pula hidup subur yang membezakan lembah pinggir hutan dan laluan taman.









Sumber:  Harian Metro

No comments:

Post a Comment