Saturday, September 24, 2011

SUSAH SANGAT KE NAK BINA TAMAN DI KAWASAN KEDIAMAN KITA?

Kediaman menjadi lebih cantik dan menarik jika kawasannya dilengkapi dengan suasana taman yang permai dan santai. Pastikan setiap ruang di halaman dan di kawasan kediaman dipenuhi pepohon hijau yang menyamankan. Pelbagai spesies tanaman hiasan yang hijau merimbun menyejukkan pandangan mata dan mengilhamkan ketenangan.

Membina taman di kawasan kediaman mudah jika ada kemahuan dan tak mudah jika tak nak. Zaman sekarang ni banyak bahan rujukan cara dan bagaimana nak bina taman. Kat blog ini pun ada. Namun demikian nak bina taman memerlukan kreativiti dalam menyusun atur bagi menjadikan ia tampak kemas dan tidak berserabut. Dengan menggunakan kreativiti tersendiri, usaha dan kreativiti memanfaatkan setiap ruang kosong di halaman rumah boleh mewujudkan laman indah lagi menghijau bagi mencapai suasana taman yang diinginkan.

Sebenarnya bukan kecil atau besarnya sesuatu kawasan kediaman, tetapi bergantung kepada cara dan kreativiti mengolah dan menghias sesuatu ruang di kawasan. Jika tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan besar nak bina sesuatu taman, buatlah sendiri berbekalkan kesabaran, kemahuan, semangat  dan kerjasama ahli keluarga. Kerja-kerja yang dirasakan boleh buat sendiri (seperti kerja-kerja menanam tanaman hiasan), buatlah sendiri. Yang tak mampu buat (seperti buat gazebo dan kolam air pancut), upahkan tukang, tapi bahan-bahan binaan kita beli sendiri. Ini dapat menjimatkan kos pembinaan.


Perkara utama semasa membina taman di kawasan kediaman ialah kedudukan laman dan kreativiti kita untuk mengeksploitasi dengan sebaik mungkin ruang yang ada untuk membina laman sendiri. Jika bijak, keseluruhan ruang boleh digunakan sebagai taman berlatarkan konsep pilihan. Suasana semula jadi dan hijau dapat diserlahkan sepenuhnya dengan meletak pokok hidup yang sesuai dalam kediaman.

Kreativiti adalah tidak terhad. Tempayan dan pasu sama ada kecil atau besar yang pelbagai saiz boleh digunakan bagi menzahirkan keindahan landskap di laman kediaman yang berkonsepkan moden dan tradisional, sekali gus menjadikannya lebih unik dan menarik. Pilihlah tanaman hiasan yang sesuai ditanam dalam tempayan dan pasu. Kelebihannya, tanaman dalam pasu boleh dipindah-pindahkan mengikut konsep berlainan jika rasa jemu melanda di hati. Malah, kebijaksanaan merencanakan taman menerusi susun letak tempayan dan pasu berkenaan sejajar dengan keluasan yang ada  dapat menyerlahkan taman.

Tanaman hijau yang rimbun diberikan nafas segar dengan meletakannya di kawasan luar yang jauh daripada dinding kediaman sekali gus menyerlahkan suasana damai dan menenangkan apabila dinikmati dari dalam kediaman. Ia boleh terus ditanam di tanah dengan campuran medium yang sesuai. 


Pemilihan pokok berdaun hijau ini boleh sahaja dipilih daripa jenis seperti pokok paku pakis, palm, keladi dan hutan tropika. Pokok berbunga memang cantik, tetapi memerlukan penjagaan rapi apatah lagi daun dan bunga yang gugur mengotorkan persekitaran dan sebab itu pilihlah pokok lidah jin, tanduk rusa, lang suria, pisang kaki dan palm, itu lebih mudah.
Serlahkan lagi kawasan dengan membina wakaf di tempat-tempat tertentu seperti di hadapan pintu utama dan satu lagi di sudut penjuru laman. Tambahkan lagi keindahan dan fungsi dengan membina bersebelahan dengan wakaf itu dengan kolam pancutan air. 

Lain-lain aksesori taman boleh dibeli di pusat-pusat jualan aksesori taman yang. Pergilah ke Sungai Buluh, banyak pilihan yang ada. Buatlah susun atur sendiri. Tak payah upah. Kerja yang senang buat sendiri. Kerja yang tak mampu dibuat barulah upahkan kepada orang lain. Tak percaya? Cubalah. 

Reka letak elemen taman yang menarik serta kemas, mampu memberi penampilan hebat sesuatu taman. 


Namun demikian, jangan gunakan 3T (tanam, tinggal dan tebas) apabila berhajat nak bina taman di kawasan kediaman. 'Tanam' apabila kita tengah bersemangat, 'tinggal' apabila kita sibuk dan malas, dan 'tebas' apabila kawasan kediaman dah mula semak.

Jika sibuk bekerja sekalipun, gunakan waktu yang terbatas pada hujung minggu bagi menjenguk dan membuat sedikit penyenggaraan di taman. Tumpuan kerja-kerja penyenggaraan rutin dan berkala itu  dilakukan terutamanya terhadap kerja pembajaan, menggembur, pemangkasan, penyiraman dan pembersihan kawasan. Buatlah bersama ahli keluarga.

Tentunya semua ahli keluarga dapat merasakan ketenangan ketika melihat halaman kediaman yang cantik, menarik, kemas dan merimbun dengan dedaun menghijau. Ditambah pula jika semua kerja-kerja yang berkaitan dengan taman itu dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga. Kepuasan diri tentunya menjelma. Disamping itu taman yang dibina menjadi tempat pengikat kasih sayang ahli sekeluarga. Ewahhh...

Taman cantik di kawasan kediaman seperti ini penting untuk kehidupan. Bukan saja membolehkan seseorang itu dapat merasai keindahan alam bahkan ianya dapat memberi ketenangan  dan mampu menghilangkan tekanan selepas penat bekerja.

Masih tak percaya? Cuba dulu....

No comments:

Post a Comment