Monday, September 12, 2011

AURA TROPIKA

Penghargaan buat Berita Minggu 11 September 2011

HUJAN pagi itu tidak menghalang usaha untuk merakamkan keindahan laman tropika luas di banglo milik seorang ahli perniagaan di Bukit Kemuning, Shah Alam. Malah titisan air hujan yang jatuh di dahan dan dedaun pepohon laman itu memberikan impak menarik serta menyerlahkan lagi gambar yang mahu dirakamkan.

Seperti diidamkan pemilik kediaman yang mahukan laman kemas dan tidak terlalu padat, kontraktor landskap, LDY Decor Works Sdn Bhd (LDY) tidak menggunakan sebarang aksesori laman kecuali membina pelantar kaki setinggi satu kaki di belakang kediaman sebagai tempat berehat waktu petang dan senggang. Pelantar kayu di bawah pergola keluli diwarnakan seperti warna kayu dan beratapkan gentian kaca yang menampakkan langit bersambung dengan kediaman. Bersebelahannya pula, dibina kolam dan pancuran air di sudut dalam bentuk V yang tampil sederhana, kemas dan teratur, sesuai dengan cita rasa pemilik kediaman.

Dilengkapi tempat pemijak kaki yang dibina seakan terapung dalam kolam, kawasan itu juga menjadi tempat untuk memberi ikan koi makan. Pokok yang menghiasi sudut kiri dan kanan pancuran air dan kolam dihadkan jumlahnya, namun tetap menarik.

Batu kerikil dan batu kecil hitam dan putih menghias batas pokok, sekali gus menaikkan lagi keindahan kawasan berkenaan. Tumbuhan pula gabungan pokok berdaun pelbagai warna seperti cordyline, aglaonema, licuala bintuluensis atau pokok palas Bintulu manakala calathea lutea diletakkan di belakang pancuran air bagi menutup pam kolam.

Selain ikan koi, kolam berwarna hijau itu dihiasi itik hiasan yang sekali pandang seakan itik hidup berenang dan bermain-main sekelilingnya. Hanya pokok pandan dalam pasu yang dibeli pemilik banglo diletakkan dalam kolam bagi menambah keindahan.

Kontraktor berusaha dengan konsep tropika idaman pemilik kediaman melalui konsep landskap paling kemas dan teratur sesuai keluasan laman yang besar, menjadikan ruang nampak kemas dan tidak terlalu padat. Di bahagian depan laman, ditanam pokok palma cattail, pokok menara dan pokok doa atau Busida busera’ beratur bersebelahan tembok.

Di sudut sebelah kiri pula diletakkan pokok yucca aloifolia yang diserikan lagi dengan batu sungai dan kerikil menutup batasnya, menjadikan kawasan laman banglo itu kemas dan menarik.

Bersebelahan pokok yucca, ditanam pula palma cycas revoluta atau nama tempatannya bogak, pokok aji atau paku gunung yang ditemani paku pandan mewujudkan kombinasi menarik dan unik untuk laman.

Menurut pereka laman LDY, Abdul Razak, pemilik kediaman mahukan kawasan laman luas kediaman itu dibina kemas dan tidak nampak terlalu semak menyebabkan jumlah pokok yang dipilih terhad.

“Saya juga perkenalkan teknik batas dan menggunakan batu kerikil untuk dijadikan sempadan kawasan pokok dan laman berumput yang luas. Saya pilih rumput Filipina atau sesetengah orang panggil rumput permaidani kerana ia mudah dijaga serta memberikan impak keluasan kepada laman.

“Pokok dipilih pun terhad yang mempunyai ciri moden sesuai dengan banglo ini yang tampil dengan seni bina sama,” katanya yang boleh dihubungi di talian 03-87372561 atau melalui laman web http://www.ldyclassic.com.my/.

No comments:

Post a Comment