Monday, October 18, 2010

LAMAN WARISAN

Sumber: Berita Minggu, 3 Oktober 2010

TAMAN konsep Neo Nusantara yang berteraskan elemen tradisional seperti kain pelikat, pangkin serta kuda-kuda kian digemari ramai. Selain keunikannya yang memaparkan unsur budaya seperti Melayu, Minang dan Bugis, konsep laman ini turut menyuntik damai kerana menitikberatkan elemen sentuh, lihat selain cita rasa. Tidak hairanlah ia terus menggamit populariti berbanding konsep lain seperti Bali yang sudah kerap ditemui.
 
Kepelbagaian budaya dan adat yang melatari masyarakat berbilang kaum di Malaysia menjadi sumber ilham kepada Pengarah Urusan Terra Garden, Desmond Ho, untuk muncul dengan konsep penataan landskap Neo Nusantara.

Biarpun baru 10 tahun bertapak dan masih terlalu jauh kebelakangan untuk dibandingkan dengan taman berkonsepkan Bali, Jepun dan Inggeris yang sering kali menjadi pilihan ramai, konsep Neo Nusantara semakin dikenali lantaran keunikan dan perbezaannya. Malah tidak keterlaluan dikatakan, ia semakin menjadi pilihan untuk hiasan laman lantaran taman berkonsepkan Bali misalnya, sudah terlalu kerap ditemui.

Dalam melatari taman berkonsepkan Neo Nusantara, Desmond, berkata beliau meletakkan lima perkara sebagai paksi iaitu pemandangan atau penglihatan (sight), sentuhan (touch), bunyi-bunyian (sound), bau (smell) dan cita rasa (taste). Semua itu, katanya, penting untuk mencipta keselesaan yang menjadi nadi untuk konsep itu terus bertahan.

“Saya menterjemahkan pemandangan sebagai sesuatu yang cantik daripada perspektif hiasan taman kerana kecantikan yang akan menarik perhatian orang. Selain itu, saya juga mahu serapkan semangat kepada taman yang direka supaya sesiapa yang mengunjunginya dapat berasa semangat itu. Oleh itu, sentuhan, bunyi-bunyian seperti bunyi air mengalir, bauan yang segar dengan penanaman bunga seperti melur, cempaka selain tanaman lain seperti pandan dan serai perlu untuk mewujudkan kesegaran itu. Konsep itu boleh dikatakan adunan daripada sifat permukaan banyak budaya di Malaysia seperti Minang di Negeri Sembilan, Bugis di Johor dan Thailand di sebelah utara. Neo Nusantara itu sendiri bermakna baru (new) dan Nusantara itu adalah rantau sebelah sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menariknya, Desmond turut memasukkan unsur tradisional dalam reka bentuk halamannya seperti kekisi yang dihasilkan berasaskan kain pelikat, pangkin serta kuda-kuda.

“Kain pelikat diterima oleh semua kaum di Malaysia dan unsur ini tidak akan ditemui pada taman berkonsepkan Bali, Jepun atau Inggeris. Begitu juga dengan pangkin dan kuda-kuda yang ada pada kebanyakan rumah di kampung satu ketika dulu. Idea ini timbul kerana keinginan saya membawa suasana kampung ke bandar. Saya sering terfikir bagaimana untuk membawa keajaiban dan pengalaman gaya hidup kampung ke bandar. Saya dibesarkan di kampung dan sudah terbiasa bergaul dengan kaum Melayu dan India. Jadi keunikan setiap budaya itu saya tonjolkan dalam konsep ini,” katanya.

Desmond mengakui cabaran yang dihadapi untuk memperkenalkan konsep Neo Nusantara ini bukan sedikit apatah lagi perlu bersaing dengan taman berkonsepkan Bali, Jepun dan Inggeris yang sudah wujud sejak beratus-ratus tahun dulu.

Namun kesungguhannya sudah menampakkan hasil apabila Terra Garden mempunyai kira-kira 5,000 pelanggan di Lembah Klang termasuk orang perseorangan dan agensi kerajaan serta korporat.

Hasilnya setakat ini tidak pernah mengecewakan pelanggan mahupun tetamu yang berkunjung malah menurut Desmond pelanggan yang kini menjadi jurucakap bagi pihaknya memperkenalkan konsep itu kepada rakan.

Tidak cuma memberi tumpuan kepada persekitaran yang luas kerana Terra Garden juga bijak memanfaatkan ruang sekecil balkoni pangsapuri atau kondominium untuk menzahirkan keunikan taman Neo Nusantara. Mereka yang berminat boleh melayari laman web Terra Garden di www.neonusantara.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Info: Laman Neo Nusantara

  • Melur dan cempaka antara bunga yang sesuai untuk taman berkonsep Neo Nusantara.
  • Kebanyakan hiasan termasuk tempayan dan bekas lampu diukir mengikut acuan tradisional seperti pucuk rebung dan jantung pisang.
  • Pemilik digalakkan memasang muzik asli untuk mengembalikan nostalgia kampung di bandar.
  • Kuda-kuda diilhamkan daripada gaya mengukur kelapa.


No comments:

Post a Comment