Thursday, August 13, 2015

KOMPOS DAN CARA MEMBUATNYA

1.  Kompos 

  • Kompos ialah sejenis baja organik hasil reputan sisa tumbuhan, sisa makanan dan najis haiwan.  
  • Baja kompos terhasil apabila bahan organik mereput dan pecah kepada bahan yang kaya dengan nutrien yang dipanggil “humus” melalui haba dan respirasi yang dilakukan oleh organisma dalam tanah (cacing, semut, bakteria dan kulat). 
  • Apa-apa sahaja bahan organik, contohnya daun dan sisa makanan boleh menjadi baja kompos. 
  • Pembuatan baja kompos dapat membantu menyelesaikan banyak masalah alam sekitar jika dilakukan dalam sesebuah komuniti dan disertai oleh ramai individu. 
  • Hampir 40 peratus daripada sampah sarap di rumah kita setiap hari terdiri daripada sayur-sayuran dan sisa dapur yang lain. 
  • Pembuatan baja kompos menggunakan bahan organik ini dengan mengitar semula sampah kepada humus yang kaya dengan nutrien.
  • Kompos digunakan sebagai pengganti baja kimia dalam penanaman sama ada tanaman hiasan atau tanaman makanan. 
  • Penggunaan kompos dapat membantu berjimat cermat. 
  • Bahan untuk membuat kompos mudah didapati.
  • Membuat kompos dapat melupuskan sisa-sisa makanan, sampah atau tumbuh-tumbuhan.

2.   Kepentingan kompos
  • Dapat menambahkan kesuburan tanah dengan cara membekalkan nutrien kepada tanaman.
  • Memperbaiki struktur tanah dan pengudaraan.
  • Dapat memperbaiki pengudaraan dan saliran bagi tanah liat dan menahan lebih banyak air dalam tanah yang berpasir.
  • Dapat menggantikan baja kimia.

 3.  Bahan kompos
  • Sisa tumbuhan - Jerami padi, batang jagung, rumput, daun dan lalang. Ia sebagai bahan utama kompos.
  • Sisa makanan - Saki-baki makanan, kulit buah-buahan, kulit udang dan sisik ikan. Ia bahan utama kompos.
  • Najis ternakan - Najis lembu, tahi ayam, dan tahi kambing. Mengandungi mikroorganisma yang membantu proses pereputan.
  • Kapur - Kapur tohor, kapur mati dan dolomite.

4.  Pembinaan kompos
  1. Bahan yang hendak dijadikan kompos dipotong halus menggunakan mesin shredder atau parang.
  2. Bina selapisan 10-15 cm bahan kasar sebagai tapak asas. Bahan ini terdiri daripada batang jagung, batang padi, dan ranting kayu.
  3. Di atas tapak asas, letakkan selapisan sisa tanaman setebal 10-15 cm.
  4. Taburkan selapisan kapur di atas lapisan ini.
  5. Di atas lapisan kapur, letakkan selapisan sisa makanan lagi setebal 10-15 cm.
  6. Letakkan selapisan najis ternakan setebal 2.5 cm - 5 cm.
  7. Ulang langkah 22, 3, 4, dan 5 sehingga mencapai ketinggian 1.2 m. Lebarnya ialah 1,5 m X 1.5 m.
  8. Siram timbunan sehingga lembab.
  9. Di atasnya tutup dengan bahan kasar seperti batang jagung atau jerami padi untuk mengelakkan sejatan air dan air hujan yang berlebihan memasuki timbunan.

 5.  Menguji kejayaan kompos
  • Cucuk batang kayu di tengah-tengah timbunan kompos selama 10-15 minit.
  • Keluarkan batang kayu dan rasakan dengan tangan.
  • Batang kayu panas dan lembab - Bahan kompos senag diurai. Biarkan proses pereputan terus berlaku.
  • Batang kayu kering dan sejuk - Proses uraian tidak berlaku. Timbunan kompos perlu dibina semula.
  • Batang kayu panas dan kering - Timbunan kompos perlu disiram air. Teruskan.

6.  Membalik-balikkan timbunan kompos.
  • Satu longgokan baja kompos mempunyai “suhu optima” di mana proses pereputan berlaku paling cepat. 
  • Walau bagaimanapun, hawa di kawasan tropika sudah cukup sesuai untuk penghasilan baja dan kita tidak perlu bimbang tentang perkara ini. 
  • Selepas 4 minggu, timbunan kompos perlu dibalikkan untuk menentukan proses reputan berlaku secara rata dan sempurna.
  • Ia dapat membaiki saliran dan pengudaraan timbunan kompos.
  • Balikkan dan gaulkan kompos. Bina semula timbunan kompos.
  • Selepas 4 - 5 hari, uji semula timbunan kompos.  
  • Uji semula timbunan kompos.
  • Biarkan selama 4 - 5 minggu supaya timbunan kompos mereput sepenuhnya.
  • Kompos yang telah dibuat dengan baik akan berwarna hitam, tidak berbau, dan semua bahan kompos telah reput. 
  • Jika penghasilan baja dilakukan dengan betul, longgokan tersebut sentiasa lembap dan dibalik-balikkan dengan kerap, longgokan itu sepatutnya berbau seperti daun basah atau seperti bau dalam hutan. Ia tidak sepatutnya berbau busuk!

No comments:

Post a Comment