Tuesday, April 28, 2015

TAMAN CANTIK BERBATU MUZIUM KOTA KAYANG, PERLIS

Pernahkah anda pergi ke Muzium Kota Kayang, Perlis? Kawasan muzium ini dikelilingi bukit-bukau berbatu. Sesiapa yang meminati taman berbatu, wajarlah ke muzium ini kerana batu-batu adalah sebahagian elemen taman ini yang semula jadi dan alami.

Muzium Kota Kayang terletak bersekitaran Bukit Kayang, Bukit Lambong Panah, Bukit Jagat Hutang, Bukit Wai dan Bukit Menara dalam mukim Kayang iaitu berhampiran terusan buatan manusia yang tertua di Semenanjung. Terdapat tiga galeri iaitu galeri am yang mempamerkan kronologi pembinaan Kota Kayang, peralatan harian golongan bangsawan di Perlis, galeri arkeologi yang mempamerkan hasil penyelidikan Kota Kayang dan sekitar negeri Perlis serta galeri Kedah / Perlis yang mempamerkan salasilah diraja negeri Perlis bermula dari Nabi Muhammad s.a.w dan replika bunga emas, kesan pendudukan penjajah dan pelbagai koleksi yang menarik.

Teruja keadaan bukit dan sawah yang menghijau, suasana Muzium Kota Kayang sangat mendamaikan dengan dibelakangi bukit-bukau berbatu yang menghijau di sekelilingnya selain bendang padi membuatkan saujana mata memandang. Di satu sudut adalah kawasan Marhum Kayang. Ada makam Sultan Kedah ke 15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah 1 atau Marhum Kayang Pertama (1651-1661). Al-Fatihah untuk Almarhum dan keluarga baginda. 

Di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah 2, untuk mengekang kuasa Kedah Siam membahagikan kuasa pemerintahan kepada beberapa kawasan seperti Indera Kayangan di Perlis, Setul di selatan Thai sekarang, Kota Setar dan juga Kubang Pasu. Sebab itulah kawasan-kawasan ini pernah mempunyai raja masing-masing.

Apabila berjalan-jalan di kawasan ini, dapat kita rasakan kawasan taman bunga larangan, tempat pendekar berlatih silat, tempat mandi gajah walaupun tiada signboard yang menceritakan hal demikian. Malah gua-gua tempat pertapaan pun ada di sini.

Membongkar sejarah Muzium Kota Kayang, muzium tersebut merupakan tapak Kota Istana Kesultanan Kedah. Ketika itu, kota tersebut berada di bawah pemerintahan Sultan Kedah ke 15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah pada tahun 1661- 1687. Kota ini dibina di kawasan yang dikelilingi bukit seperti Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Toh Poh, Bukit Lambung Panah, Bukit Nasi Sebungkus, Bukit Besi Hangit, Bukit Lagi dan Gunung Medan. Bukit tersebut menjadi ‘perisai’ keselamatan kepada Kota Istana sekiranya berlakunya peperangan. Apabila berlakunya peperangan, panglima akan mendaki bukit tersebut untuk memantau serangan daripada pihak lawan dan terdapat juga gua pada bukit ini yang dipercayai menjadi tempat persembunyian kerabat raja sewaktu peperangan.  

Pakar geologi yang menjalankan kajian di sini menyatakan batuan yang ada di sekitar muzium ini adalah berasal kawasan air. Ini bererti kemungkinan pada masa dahulu kawasan ini adalah tasik ataupun lautan. Kajian tersebut diperkuatkan lagi dengan penemuan bongkah kayu yang digunakan untuk memaut tali perahu. 

Muzium tersebut mempunyai dua fasa yang menempatkan pelbagai artifak dan spesimen yang berkaitan dengan Perlis. Fasa pertama mempunyai bahagian sejarah Perlis, arkeologi serta spesimen yang dijumpai sekitar negeri ini serta senjata tradisional masyarakat setempat. Fasa kedua pula terdapat bahagian kebudayaan, galeri Diraja yang memaparkan susur galur pemerintah Perlis serta perkara yang berkaitan. 

Meneroka panorama persekitarannya, di sudut kanan berhampiran bukit, terdapat makam yang menempatkan Al-Marhum Kayang Pertama Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I dan menantu baginda seorang putera Bugis bernama Juang Tawa. Berhampiran makam baginda dan menantunya terdapat satu lagi makam yang tidak dikenal pasti miliknya, namun dipercayai ia adalah milik orang kanan atau keluarga Al-Marhum Kayang Pertama.  

Berjalan menyusuri laluan di celah batuan, sebuah perigi lama yang tohor mungkin disebabkan timbunan tanah jatuh ke dalamnya. Ia sebenarnya perigi yang digunakan oleh keluarga Al-Marhum. Kemudian, apabila pentadbiran kesultanan Kedah berpindah ke Kota Setar, perigi tersebut digunakan oleh masyarakat setempat untuk tujuan pertanian. 































No comments:

Post a Comment