Sunday, April 27, 2014

PENCAHAYAAN MENAIKKAN SERI TAMAN DI MALAM HARI

Apabila bercakap mengenai pencahayaan, apa yang terlintas difikiran kita pastinya tidak lari dengan penggunaan lampu untuk menerangkan kawasan yang gelap. Tetapi bagi sesetengah di kalangan kita pencahayaan merupakan lebih bermakna dari sudut estetik, fungsi dan pencetus kenangan. Pencahayaan dalam sesebuah taman memang penting, terutamanya sebagai satu elemen untuk menghidupkan suasana dalam sesebuah taman bila malam menjelang. Isu kali ini, saya ingin berkongsi memori dan kesan pencahayaan kepada kita khususnya dalam sesebuah taman menerusi pendekatan gaya dan inspirasi taman Neo Nusantara.

Sebagai mana kita sedia maklum kepesatan negara dalam arus ekonomi dan pembangunan, tenaga elektrik merupakan satu sumber tenaga utama negara yang menjana pelbagai aktiviti. Tidak ketinggalan juga dalam menyediakan pencahayaan dalam sesebuah taman. Kesan daripada pembangunan yang pesat di negara kita, bekalan tenaga elektrik telah sampai ke setiap pelusuk tanahair, hinggalah ke kawasan desa yang terpencil sekalipun. Tenaga elektrik bagaikan satu keajaiban, tiada lagi kegelapan dalam hidup kita walaupun pada sebelah malam. Bekalan tenaga elektrik begitu senang diperolehi, malah terdapat di mana-mana sahaja sehinggakan sampai satu tahap menyebabkan ada di kalangan kita tidak menghargai cahaya yang begitu bernilai.

Jika dahulu, sebelum adanya bekalan elektrik penggunaan lampu pelita minyak tanah merupakan asas dalam pencahayaan sama ada di dalam rumah atau di luar perkarangan rumah. Obor dan camang menjadi alat digunakan untuk berjalan pada waktu malam. Bagi sebilangan mereka yang pernah tinggal di kampung dulu, masih ingatkah anda bila kita hendak ke luar rumah pada waktu malam atau pada zaman kita masih kecil, untuk masuk dalam bilik tidur yang gelap. Perasaan takut dan curiga pasti menyelubungi difikiran. Paling tidak, eh! takut nak masuk, ada hantu. 

Inilah perasaan zaman kanak-kanak. Tapi apabila kita dibekalkan dengan lampu minyak tanah atau lampu picit, perasan ini akan hilang kerana kesan cahaya ini memberi kita satu semangat dan bertukar menjadi satu keseronokan. Mana tidaknya, pasti anda pernah bermain bayang-bayang jari yang terpantul ke dinding dengan lampu pelita atau bermain dengan lampu picit dengan menyelubung kain pelekat untuk menyakat adik atau jiran-jiran. 

Peranan pencahayaan juga begitu penting dalam menghidupkan suasana dalam sesebuah majlis. Ingatkah anda bila di kampung ada majlis kenduri? Tambahan lagi bila ada kenduri kahwin yang biasanya berlangsung sampai dua tiga malam. Terang benderang dengan lampu, ungun api masak gulai kawah atau untuk masak air mewujudkan suasana yang berbeza dengan hari sebelumnya. Jika sebelum ini, ada satu-satu kawasan di perkarangan rumah itu gelap dengan pokok-pokok besar, cukup takut bagi kita untuk memandang kearahnya apatah lagi untuk berjalan di kawasan itu, tapi tidak lagi bila ada majlis kenduri seperti ini. Kewujudan kesan pencahayaan dari pelbagai sudut ini memberi satu suasana meriah dan selamat bagi warga kampung.

Selain itu bagi mereka yang berasal dari pantai timur, cahaya terang yang menerangi di sebuah padang dengan adanya persembahan wayang kulit pastinya memeriahkan suasana dalam sesebuah kampung. Gaya dan teknik persembahan wayang kulit yang dimainkan dengan kesan pencahayaan begitu simbolik sekali, harus kita perhalusi dan hayati. Ianya bukan sekadar satu persembahan riadah masyarakat desa tetapi idea, teknik dan cara memanipulasikan kesan cahaya itu adalah lebih penting untuk kita jadikan sandaran dalam mewujudkan satu bentuk pencahayaan dalam sesebuah taman. Inilah! yang perlu dihayati dan pertimbangkan dalam membolehkan kita menghasilkan konsep pencahayaan beridentitikan budaya kita. Begitu juga kenangan saya di zaman remaja bersama rakan-rakan kampung, bila ada persembahan wayang cina.

Dulu semasa kebanyakkan warga desa yang masih belum memiliki peti televisyen, bila ada persembahan wayang cina atau opera cina kebanyakkan masyarakat desa akan berkumpul dan menonton bersama-sama. Secara tidak langsung, kesan pencahayaan sekali lagi dilihat begitu harmoni dalam mewujudkan suasana kekitaan sebagai rakyat Malaysia. Mana tidaknya, nama saja wayang cina, tapi yang datangnya ada kaum India dan Melayu. Bila ditanya kepada rakan Melayu, orang India dengan Melayu nak tengok jugakah wayang cina? fahamkah? jawabnya mudah. Bukan sebab wayang, tapi ’happening’ dengan lampu-lampu dekat padang ini, depa nak ambil tau juga!. 

Inilah sebahagian memori yang kami di Terra Garden, cuba untuk merungkai dan jadikan landasan dalam membentuk, merancang dan menghasilkan suasana pencahayaan dalam Taman Neo Nusantara. Pada umumnya mewujudkan pencahayaan dengan memasang lampu adalah semata-mata untuk menerangkan kawasan-kawasan yang gelap. Pernahkah terlintas difikiran anda, samada cahaya yang terpancar dari lampu-lampu tadi cukup membuat kita teruja dan mendorong kita sekeluarga untuk berada di taman pada waktu malam? Atau, sebaliknya kita terasa hambar, atau hilang minat disebabkan suasana yang suram dan kelam. Sayang sekali taman kita yang begitu indah dan menawan pada siangnya seolah-olah hilang serinya malah terasa seperti mati bila malam menjelang. 

Oleh yang demikian eleman pencahayaan di taman sering kami beri penekanan apabila merekabentuk taman Neo Nusantara, bagi mewujudkan taman yang hidup sepanjang waktu, tak kira siang atau malam. Penggunaan kaedah rekabentuk lampu taman siri ‘nature’ dengan ukiran tumbuh-tumbuhan, bukan sahaja dapat memberi kesan dan ‘mood’ pencahayaan yang baik, malah boleh menyerlahkan ‘focal point’ dalam taman pada waktu malam. Begitu juga pencahayaan yang terancang mampu mengubah suasana taman yang kelam di malam hari kepada suatu fantasi yang indah dan mengasyikkan. Lantas, adakalanya mengingatkan kita kenangan lama bila kita di kampung dulu-dulu. 

Pada asasnya pencahayaan di dalam taman terbahagikan kepada dua jenis - pencahayaan secara menyeluruh atau pencahayaan secara khusus atau tertumpu bagi menyerlah sudut atau ruang yang difokuskan saja. Elemen cahaya dalam merekabentuk sesebuah taman seharusnya tidak boleh dipandang remeh sekiranya kita ingin menghasikan sebuah taman yang benar-benar hidup, kelihatan sentiasa menarik serta memberi kenikmatan kepada pemilik tanpa mengira waktu. 

Sememangnya fungsi pencahayaan di taman berbeza jika dibandingkan dengan kegunaan di dalam rumah. Kebiasaannya, pencahayaan di taman perlu dihasilkan supaya ianya dapat mewujudkan suasana selamat, dapat memberi ‘mood’ bila berada di taman dan menyerlahkan nilai estetik taman. Gabungan ketiga-tiga ciri pencahayaan ini merupakan antara olahan dalam perancangan rekabentuk taman Neo Nusantara. Sungguhpun demikian, beberapa faktor lain seperti bentuk rumah, gaya hidup pemilik rumah, dan susunatur ruang taman perlu juga diberi perhatian sebelum dapat merumuskan kaedah pencahayaan yang bakal diguna. Pada taman Neo Nusantara, matlamat utama pencahayaan adalah untuk mewujudkan satu suasana, ‘mood’ dan rasa selesa bila kita berada di taman, bukan sekadar untuk menerangkan taman yang gelap. Sebagai contoh yang mudah dapat kita hayati bersama, lampu panjut atau lampu pelita dipasang terutama bagi umat Islam menghiasi laman rumah mereka apatah lagi sekarang ini masing-masing dalam ‘mood’ menyambut hari kemenangan รข€“ Hari Raya. Mengapa? Sudah tentu penggunaan elemen cahaya adalah untuk memeriahkan lagi suasana perayaan yang akan disambut nanti.

Saya kira sampai setakat ini saja bicara kita mengenai cahaya dan taman. Jangan lupa untuk terus bersama-sama saya untuk berkongsi cerita dan isu-isu yang lebih menarik lagi dalam keluaran yang akan datang. Sebelum saya mengundur diri, saya serta seluruh warga Neo Nusantara di Terra Garden mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia. Sebagai penutup terimalah serangkap pantun santai hari lebaran dari kami, Terima kasih...

Anak Melayu, Cina dan India
      Pakat-pakat pasang pelita,
Sambut bersama hari raya,
     Lebaran erat berbilang bangsa.

Sumber:  Penghargaan dan terima kasih kepada http://www.neonusantara.com

No comments:

Post a Comment