Sunday, April 27, 2014

PENCAHAYAAN MENAIKKAN SERI TAMAN DI MALAM HARI

Apabila bercakap mengenai pencahayaan, apa yang terlintas difikiran kita pastinya tidak lari dengan penggunaan lampu untuk menerangkan kawasan yang gelap. Tetapi bagi sesetengah di kalangan kita pencahayaan merupakan lebih bermakna dari sudut estetik, fungsi dan pencetus kenangan. Pencahayaan dalam sesebuah taman memang penting, terutamanya sebagai satu elemen untuk menghidupkan suasana dalam sesebuah taman bila malam menjelang. Isu kali ini, saya ingin berkongsi memori dan kesan pencahayaan kepada kita khususnya dalam sesebuah taman menerusi pendekatan gaya dan inspirasi taman Neo Nusantara.

Sebagai mana kita sedia maklum kepesatan negara dalam arus ekonomi dan pembangunan, tenaga elektrik merupakan satu sumber tenaga utama negara yang menjana pelbagai aktiviti. Tidak ketinggalan juga dalam menyediakan pencahayaan dalam sesebuah taman. Kesan daripada pembangunan yang pesat di negara kita, bekalan tenaga elektrik telah sampai ke setiap pelusuk tanahair, hinggalah ke kawasan desa yang terpencil sekalipun. Tenaga elektrik bagaikan satu keajaiban, tiada lagi kegelapan dalam hidup kita walaupun pada sebelah malam. Bekalan tenaga elektrik begitu senang diperolehi, malah terdapat di mana-mana sahaja sehinggakan sampai satu tahap menyebabkan ada di kalangan kita tidak menghargai cahaya yang begitu bernilai.

Jika dahulu, sebelum adanya bekalan elektrik penggunaan lampu pelita minyak tanah merupakan asas dalam pencahayaan sama ada di dalam rumah atau di luar perkarangan rumah. Obor dan camang menjadi alat digunakan untuk berjalan pada waktu malam. Bagi sebilangan mereka yang pernah tinggal di kampung dulu, masih ingatkah anda bila kita hendak ke luar rumah pada waktu malam atau pada zaman kita masih kecil, untuk masuk dalam bilik tidur yang gelap. Perasaan takut dan curiga pasti menyelubungi difikiran. Paling tidak, eh! takut nak masuk, ada hantu. 

Inilah perasaan zaman kanak-kanak. Tapi apabila kita dibekalkan dengan lampu minyak tanah atau lampu picit, perasan ini akan hilang kerana kesan cahaya ini memberi kita satu semangat dan bertukar menjadi satu keseronokan. Mana tidaknya, pasti anda pernah bermain bayang-bayang jari yang terpantul ke dinding dengan lampu pelita atau bermain dengan lampu picit dengan menyelubung kain pelekat untuk menyakat adik atau jiran-jiran. 

Peranan pencahayaan juga begitu penting dalam menghidupkan suasana dalam sesebuah majlis. Ingatkah anda bila di kampung ada majlis kenduri? Tambahan lagi bila ada kenduri kahwin yang biasanya berlangsung sampai dua tiga malam. Terang benderang dengan lampu, ungun api masak gulai kawah atau untuk masak air mewujudkan suasana yang berbeza dengan hari sebelumnya. Jika sebelum ini, ada satu-satu kawasan di perkarangan rumah itu gelap dengan pokok-pokok besar, cukup takut bagi kita untuk memandang kearahnya apatah lagi untuk berjalan di kawasan itu, tapi tidak lagi bila ada majlis kenduri seperti ini. Kewujudan kesan pencahayaan dari pelbagai sudut ini memberi satu suasana meriah dan selamat bagi warga kampung.

Selain itu bagi mereka yang berasal dari pantai timur, cahaya terang yang menerangi di sebuah padang dengan adanya persembahan wayang kulit pastinya memeriahkan suasana dalam sesebuah kampung. Gaya dan teknik persembahan wayang kulit yang dimainkan dengan kesan pencahayaan begitu simbolik sekali, harus kita perhalusi dan hayati. Ianya bukan sekadar satu persembahan riadah masyarakat desa tetapi idea, teknik dan cara memanipulasikan kesan cahaya itu adalah lebih penting untuk kita jadikan sandaran dalam mewujudkan satu bentuk pencahayaan dalam sesebuah taman. Inilah! yang perlu dihayati dan pertimbangkan dalam membolehkan kita menghasilkan konsep pencahayaan beridentitikan budaya kita. Begitu juga kenangan saya di zaman remaja bersama rakan-rakan kampung, bila ada persembahan wayang cina.

Dulu semasa kebanyakkan warga desa yang masih belum memiliki peti televisyen, bila ada persembahan wayang cina atau opera cina kebanyakkan masyarakat desa akan berkumpul dan menonton bersama-sama. Secara tidak langsung, kesan pencahayaan sekali lagi dilihat begitu harmoni dalam mewujudkan suasana kekitaan sebagai rakyat Malaysia. Mana tidaknya, nama saja wayang cina, tapi yang datangnya ada kaum India dan Melayu. Bila ditanya kepada rakan Melayu, orang India dengan Melayu nak tengok jugakah wayang cina? fahamkah? jawabnya mudah. Bukan sebab wayang, tapi ’happening’ dengan lampu-lampu dekat padang ini, depa nak ambil tau juga!. 

Inilah sebahagian memori yang kami di Terra Garden, cuba untuk merungkai dan jadikan landasan dalam membentuk, merancang dan menghasilkan suasana pencahayaan dalam Taman Neo Nusantara. Pada umumnya mewujudkan pencahayaan dengan memasang lampu adalah semata-mata untuk menerangkan kawasan-kawasan yang gelap. Pernahkah terlintas difikiran anda, samada cahaya yang terpancar dari lampu-lampu tadi cukup membuat kita teruja dan mendorong kita sekeluarga untuk berada di taman pada waktu malam? Atau, sebaliknya kita terasa hambar, atau hilang minat disebabkan suasana yang suram dan kelam. Sayang sekali taman kita yang begitu indah dan menawan pada siangnya seolah-olah hilang serinya malah terasa seperti mati bila malam menjelang. 

Oleh yang demikian eleman pencahayaan di taman sering kami beri penekanan apabila merekabentuk taman Neo Nusantara, bagi mewujudkan taman yang hidup sepanjang waktu, tak kira siang atau malam. Penggunaan kaedah rekabentuk lampu taman siri ‘nature’ dengan ukiran tumbuh-tumbuhan, bukan sahaja dapat memberi kesan dan ‘mood’ pencahayaan yang baik, malah boleh menyerlahkan ‘focal point’ dalam taman pada waktu malam. Begitu juga pencahayaan yang terancang mampu mengubah suasana taman yang kelam di malam hari kepada suatu fantasi yang indah dan mengasyikkan. Lantas, adakalanya mengingatkan kita kenangan lama bila kita di kampung dulu-dulu. 

Pada asasnya pencahayaan di dalam taman terbahagikan kepada dua jenis - pencahayaan secara menyeluruh atau pencahayaan secara khusus atau tertumpu bagi menyerlah sudut atau ruang yang difokuskan saja. Elemen cahaya dalam merekabentuk sesebuah taman seharusnya tidak boleh dipandang remeh sekiranya kita ingin menghasikan sebuah taman yang benar-benar hidup, kelihatan sentiasa menarik serta memberi kenikmatan kepada pemilik tanpa mengira waktu. 

Sememangnya fungsi pencahayaan di taman berbeza jika dibandingkan dengan kegunaan di dalam rumah. Kebiasaannya, pencahayaan di taman perlu dihasilkan supaya ianya dapat mewujudkan suasana selamat, dapat memberi ‘mood’ bila berada di taman dan menyerlahkan nilai estetik taman. Gabungan ketiga-tiga ciri pencahayaan ini merupakan antara olahan dalam perancangan rekabentuk taman Neo Nusantara. Sungguhpun demikian, beberapa faktor lain seperti bentuk rumah, gaya hidup pemilik rumah, dan susunatur ruang taman perlu juga diberi perhatian sebelum dapat merumuskan kaedah pencahayaan yang bakal diguna. Pada taman Neo Nusantara, matlamat utama pencahayaan adalah untuk mewujudkan satu suasana, ‘mood’ dan rasa selesa bila kita berada di taman, bukan sekadar untuk menerangkan taman yang gelap. Sebagai contoh yang mudah dapat kita hayati bersama, lampu panjut atau lampu pelita dipasang terutama bagi umat Islam menghiasi laman rumah mereka apatah lagi sekarang ini masing-masing dalam ‘mood’ menyambut hari kemenangan รข€“ Hari Raya. Mengapa? Sudah tentu penggunaan elemen cahaya adalah untuk memeriahkan lagi suasana perayaan yang akan disambut nanti.

Saya kira sampai setakat ini saja bicara kita mengenai cahaya dan taman. Jangan lupa untuk terus bersama-sama saya untuk berkongsi cerita dan isu-isu yang lebih menarik lagi dalam keluaran yang akan datang. Sebelum saya mengundur diri, saya serta seluruh warga Neo Nusantara di Terra Garden mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia. Sebagai penutup terimalah serangkap pantun santai hari lebaran dari kami, Terima kasih...

Anak Melayu, Cina dan India
      Pakat-pakat pasang pelita,
Sambut bersama hari raya,
     Lebaran erat berbilang bangsa.

Sumber:  Penghargaan dan terima kasih kepada http://www.neonusantara.com

Wednesday, April 9, 2014

KREATIVITI ANDAMAN TOPIARI

Seni topiari sebenarnya sudah lama wujud dalam bidang seni taman terutama di Barat. Seni ini merujuk kepada amalan hortikultur bagi membentuk atau menggubah pokok renek menjadi pelbagai reka bentuk seperti bentuk geometri atau objek unik dan menarik seperti cawan, teko, pelbagai binatang dan pelbagai bentuk lain.

Sebagai seni rekabentuk, ia sebenarnya sejenis seni arca hidup. Sebenarnya perkataan topiari atau ‘topiary’ dalam istilah Inggerisnya ini dikatakan berasal dari perkataan Latin iaitu topiarius yang bermaksud juru landskap taman hiasan.

Bagi masyarakat Barat, sejak zaman dulu lagi mereka sering menggunakan pelbagai tanaman hiasan diandam menjadi pelbagai bentuk bagi mencantikan lagi taman awam dan kediaman mereka.

Kini, seni topiari didapati kian popular dan dapat dilihat menghiasi taman di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Ia sebenarnya boleh memainkan peranan yang penting dalam membentuk struktur dan karakter taman atau ruang dengan kecantikan dan keunikannya yang tersendiri.

Ciri-ciri tanaman topiari

Ada beberapa ciri tanaman yang sesuai untuk ditanam dan diandam menjadi pelbagai objek seni topiari:
  1. Daun pokok sebaiknya bersaiz kecil supaya senang diandam untuk membentuk objek dengan tekstur yang lebih halus, cantik dan bernilai tinggi. 
  2. Ranting dan pucuk baru pokok cepat tumbuh semula selepas dipangkas atau dipotong. 
  3. Pokok yang digunakan perlulah dari jenis yang tahan lasak dan boleh hidup lama serta memerlukan sedikit penjagaan saja. 
  4. Mempunyai bentuk pokok yang padat yang mengandungi banyak ranting pendek. 
  5. Penampilannya biarlah unik, istimewa dan tersendiri.

Jenis tanaman sesuai

Di negara kita tanaman yang sesuai untuk seni topiari ini adalah seperti berikut:

Pokok berdaun
Contohnya Duranta; Ficus; Kesinai; Podocarpus dan Acalypha siamensis atau pokok teh liar yang berdaun kecil. Manakala spesies Syzygium campanulatum pula sangat cantik digunakan sebagai tanaman topiari kerana daunnya sentiasa bertukar warna dari muda hingga ke tua.

Pokok berbunga
Contohnya Melati atau Wrightia religiosa yang berbunga wangi. Manakala pokok bunga kertas pula berbunga pelbagai warna menarik.

Reka bentuk topiari
Seni topiari ini boleh dipelbagaikan reka bentuknya yang menarik di antaranya seperti daun bertingkat-tingkat ala pagoda; satu kanopi atau silara di hujung batang; bentuk kon; banyak ranting dan daun hanya ditemui di hujungnya  serta objek seperti binatang. 

Kaedah bentuk topiari

Dalam membentuk reka bentuk objek topiari ada beberapa tekniknya seperti berikut:

Guntingan bebas
Pokok digunting secara bebas oleh pemotong topiari yang berpengalaman mengikut reka bentuk yang dibayangkan dalam mindanya . Pokok pagaran yang dipotong kemas itu sebenarnya adalah reka bentuk topiari paling mudah dan ringkas menggunakan kaedah ini.

Rekabentuk ’dawai mata punai’ (Chicken net)
Kadangkala diperbuat daripada wayar besi dan diletakkan atas silara atau kanopi pokok supaya ranting dan daun pokok dapat tumbuh memenuhi ruang di dalam rekabentuk berkenaan. Kaedah ini lebih mudah kerana hanya daun yang terkeluar daripada reka bentuk berkenaan perlu dipotong untuk membentuk objek yang dinginkan itu.

Satu lagi kaedah mudah ialah dengan membiarkan pokok menjalar berdaun kecil menjalar dan menutupi bahagian luar reka bentuk dawai atau wayar besi seperti di atas yang akan membentuk objek topiari berkenaan dalam beberapa bulan.

Tip Pokok topiari
  • Pokok topiari juga memerlukan penjagaan yang sempurna seperti siraman, pembajaan dan sebagainya. 
  • Pokok juga perlu dipotong dan diandam kemas sekerap mungkin supaya dapat mengekalkan bentuknya sentiasa. 
  • Seni topiari bukan saja boleh diterapkan untuk pokok yang ditanam di tanah tetapi juga boleh dilakukan untuk pokok yang ditanam dalam pasu atau bekas lain. Pokok topiari dalam pasu sangat sesuai untuk menghiasi premis perniagaan, rumah kediaman dan sebagainya kerana ia boleh diubah tempat pamerannya.

Friday, April 4, 2014

PENTINGANYA LANDSKAP TAMAN KEPADA ALAM SEKITAR

Alam ciptaan Allah untuk umatnya. Udara salah satu daripada saluran penting, umpama nyawa kepada makluknya. Udara bersih menjadikan hidup kita sihat. Udara yang tercemar, ibarat manusia yang berpenyakit.

Pencemaran alam sekitar bermakna kehidupan kita juga bakal tercemar. Untuk menjaga alam sekitar, perlunya teknologi hijau. Bermakna perlunya kepada perlandskapan. Ia melibatkan proses merancang, mereka bentuk, melaksana dan menguruskan landskap untuk keselesaan, keselamatan dan keseronokan manusia.

Landskap adalah taman buatan manusia. Rekabentuk landskap adalah gabungan elemen-elemen yang sesuai seperti tumbuhan, struktur, air dan batu-batan untuk menwujudkan ruang di kawasan terbuka. Di kawasan luar bangunan sesebuah pejabat atau syarikat. Landskap juga terdapat dalam bentuk taman bunga, taman rekreasi, sebagai mencantikkan pemandangan alam.

Pembinaan landskap juga perlu disesuaikan dengan fungsinya. Sama ada untuk bersantai, hanya untuk sekadar penghias ruang semata-mata atau untuk kita bergerak aktif di dalamnya.

Landskap kurniaan Tuhan merupakan semulajadi. Namun ia diubah atau dibentuk baru untuk menjaga kepentingan manusia. Manusia berusaha memperbaiki keadaan dengan tujuan tertentu. Alam sekitar yang semulajadi diganggu gugat dengan pembinan bangunan, kawasan perumahan, ladang dan sebagainya. Akibat dari itu terjadinya tanah runtuh, pokok-pokok hijau ditebang dan berkurangan. Tanah menjadi bergelombang dan tandus, cuaca semakin panas. Seri kehijauan tumbuhan tidak lagi terserlah. Pencemaran berlaku di sana sini dan merbahaya. Jika pembangunan ini tidak dikawal dengan pengindahan landskap yang sempurna, ia akan mewujudkan suatu suasana alam sekitar tandus, kering dan tidak bermaya. Justeru itu perancangan, rekabentuk dan pengurusan landskap yang profesional akan menampilkan suasana persekitaran bagi penghidupan manusia sejagat secara lebih inovatif dan berdaya maju.

Dengan adanya landskap dapat memelihara alam sekitar. Landskap juga menambah nilai estetik sesuatu kawasan dan sekelilingnya. Mencantikkan kawasan dan pandangan. Memberi pengguna suasana yang nyaman, menyegarkan penglihatan, dapat menghidu udara segar, deruan bunyi angin dari pohon-pohon, siulan burung-burung, bau harum dari kuntuman bunga-bunga. Secara tidak langsung sekadar dapat melupakan suasana hiruk pikuk yang dialami.

Landskap juga menjadikan pengguna rasa lebih selamat, merehatkan minda dan rasa terbuka. Landskap yang ada laluan pejalan kaki boleh dimanfaatkan untuk berjoging atau menghirup udara segar. Unsur tanah sekitar kawasan landskap juga dapat diperbaiki.

Dunia maju telah mencapai landskap kontemporari. Bantuan Arkitek landskap sangat penting untuk merekabentuk pembangunan. Kontemporari landskap dibina mengikut peredaran zaman. Semua pembangunan mestilah memastikan dengan menumpukan kawasan dan fungsi landskap sebelum dibina. Kebanyakkan projek sekarang berlumba-lumba untuk membina landskap kontemporari. Peranan arkitek landskap akan menjadi bertambah penting dengan pemesatan proses urbanisasi dalam tekad kerajaan mencapai matlamat wawasan 2020. Sehinggakan landskap merupakan salah satu subjek di sesetengah pusat pengajian tinggi.

Landskap yang dibina perlu menepati prinsip-prinsip dan elemen landskap. Setiap kawasan mempunyai penyataan, kesesuaian tanaman dengan ruang, elemen landskap dan elemen rekabentuk. Ukuran atau skala yang digunakan menepati saiz ruang, bergantung kepada sama ada besar landskap, di kawasan tinggi dan berbukit, jauh dari kawasan pembangunan atau landskap yang hampir dengan persekitaran orang ramai. Gubahan landskap biasanya menitikberatkan keringkasan. Suatu yang menyenangkan penyelenggaraan dan pengurusan landskap sahaja yang digunakan. Ia juga mementingkan keseimbangan susunan pokok-pokok dan tumbuhan sama ada simetri atau tidak simetri.

Landskap yang cantik perlu ada unsur-unsur pelbagaian pertentangan dan kontras. Unsur kontras, contohnya bahan bersaiz besar di antara bahan-bahan yang bersaiz kecil, penggunaan warna yang terang di antara yang malap. Penekanan juga dapat di capai dengan penggunaan unsur yang unik. Bentuk yang beraneka, bulat, bujur, memanjang, selari dan sebagainya. Gandingan warna bunga-bungaan merah, kuning, putih ,hijau, biru menceriakan lagi suasana, begitu juga dengan tekstur tumbuhan. Penanaman yang berulang daripada jenis yang sama, satu pokok pada satu kawasan, satu lagi prinsip landskap.

Konsep landskap mestilah bermakna dan ada kelebihan tersendiri. Contoh konsep Jepun, lebih kepada penggunaan batu asli, warna yang serba putih, kolam dan ikan. Konsep Islam pula lebih tertumpu kepada tumbuhan harum, aliran air, kehidupan dan bunyi.

Terdapat juga landskap yang dibina di kawasan rumah mengabungkan dua atau lebih konsep sekali gus.Ini memerlukan kreativiti yang tinggi. Tanpa konsepatau tema taman kita tidak dapat pastikan apa sebenarnya yang akan ditonjolkan di taman tersebut. Jika tiada tema tidak bermakna kita tidak berjaya membina suatu taman yangmenarik. Sebaliknya tema akan membuatkan peragaan taman menjadi lebih fokus, tersusun dan kelihatan sepadan.

Pelbagai-bagai tema yang boleh digunakan untuk taman. Sebagai contoh tema-tema seperti taman melayu, taman inggeris, taman bali begitu juga taman Meditranean dan Tropikal. Dengan adanya tema taman, dapat dibayangkan penataan ruang dengan pemilihan spesies yang akan digunakan dalam taman berkenaan. Untuk sesuatu landskap, tema yang digunakan tidak terhad kepada satu. Beberapa tema boleh digabungkan asalkan bersesuaian dengan struktur bangunan, rumah atau kawasan. Mencipta tarikan taman menjadi suatu kepuasan dan dapat menyerlahkan lagi keindahan taman yang dibina.

Terdapat dua jenis landskap iaitu landskap lembut dan landskap keras. Menggunakan elemen-elemen semulajadi seperti tumbuhan, air, rupa bumi, struktur dan binaan. Tumbuhan memberikan pelbagai fungsi. Antaranya melembutkan seni bina keras seperti bangunan. Mengindahkan kawasan dengan bentuk, warna dan struktur yang menarik. Mewujudkan persekitaran yang harmoni alam. Mengawal suhu dan iklim mikro di sesuatu tempat. Di samping itu mengawal hakisan dan meningkatkan kesuburan tanah. Menghalang pandangan yang tidak dikehendaki.

Fungsi tumbuhan dalam landskap dari segi fizikal mengawal hakisan air dengan cara susunan pokok boleh meredakan tujahan air hujan yang jatuh dan akar-akar pokok bertindak memegang tanah dari dilarikan air. Meredakan iklim dengan mengurangkan suhu tinggi ke beberapa darjah apabila banyak tumbuhan ditanam. Proses transpirasi dapat menyejukkan kawasan persekitaran. Tumbuhan sebagai tirai melindungi daripada pantulan cahaya yang menyilaukan mata, seperti di sepanjang kawasan lebuh raya. Melindungi suatu kawasan daripada pukulan angin kencang. Tumbuhan juga memberi teduhan daripada panas matahari dan cahaya pantulan dari kaca bangunan. Susunan pokok memberi teduhan dan menjimatkan penggunaan penyaman udara. Pokok-pokok juga boleh mengarah pergerakan lalulintas pejalan kaki. Juga boleh menjadi penghalang pergerakan.

Dari segi estetika pula, fungsi tumbuhan dapat digunakan membentuk sempadan dan ruang tertentu. Di samping membentuk ruang, tumbuhan berguna memberi kualiti atau menghias ruang tersebut. Merangka pemandangan semulajadi dengan tumbuhan dapat memperbaiki sesuatu pemandangan. Fungsi tumbuhan secara semulajadi juga boleh melembutkan pemandangan seni bina sesebuah bangunan. Menanam tumbuh-tumbuhan di pangkal bangunan atau struktur boleh menjadikan bangunan atau struktur itu kelihatan terikat dengan permukaan bumi dan lebih stabil. Ia juga sebagai penyatu kepada pelbagai elemen dalam satu-satu kawasan.

Landskap lembut adalah suatu landskap yang unik. Berfungsi memberi kedamaian, ketenangan serta keindahan kepada pengguna. Hasil dari gabungan unsur-unsur asli atau semulajadi yang terdiri dari pelbagai tanaman.. Jika ada tanaman bermakna di situ ada serangga atau kupu-kupu. Dengan kehadiran serangga dan kupu-kupu itu akan menambahkan lagi keindahan landskap tersebut. Tanaman pokok landskap di kategorikan kepada dua iaitu tumbuhan berbunga dan tumbuhan berdaun.

Tumbuhan berbunga di kelaskan sebagai tanaman bungaan kerana memiliki kuntum bunga yang indah, sama ada dari segi bentuk, warna, susunan dan aromanya. Tumbuhan berbunga mempunyai bunga yang menarik dan berbau harum serta bewarna-warni. Umumnya pokok berbunga memerlukan sinar cahaya matahari dalam jumlah yang banyak. Ini untuk pembentukan bunga. Antara tanaman seperti pokok utama atau naungan , pokok renek, pokok memanjat, herba atau pokok tutup bumi.

Pokok utama atau pokok naungan biasa di tanam sebagai teduhan. Biasanya ia berdaun rimbun dan memiliki bunga yang cantik. Beberapa jenis tanaman pokok ini mempunyai musim bunga yang berbeza-beza. Bila tiba musim bunga, pokok ini akan semarak dengan bunga. Pokok ini cantik ditanam di kawasan yang luas.

Pokok renek ialah tumbuhan yang mempunyai banyak batang dan muncul dari pangkal. Ia banyak ditanam di kebanyakan landskap yang dibina.. Sebahagian bunga menjadi daya penarik kepada taman, misalnya bunga adenium. Bunganya yang berkelopak dengan bentuk yang cantik menjadi daya penarik. Bunga yang berbagai warna menyemarakkan lagi suasana taman.

Pokok renek berdaun yang mempunyai daun yang menarik adalah seperti Acalypha Wilkesiana. Terdapat pelbagai spesies menarik yang boleh dipilih mengikut minat dan citarasa. Perkara yang penting ialah memahami fungsi dan kesesuaian tumbuhan tersebut dengan landskap yang dibina.

Renek pagaran juga diguna dalam pembuatan landskap. Ianya untuk mengadang pemandangan yang tidak elok, membahagikan ruang. Mencantikkan dinding atau pagar, mengurang kebisingan, menambahkan seni serta sebagai latar belakang sesuatu kawasan. Ada juga tanaman pokok memanjat yang di tanam untuk menghiasi pergola atau pagar.

Selain daripada itu, pokok tutup bumi juga ditanam bagi mengawal hakisan tanah, menghalang perjalanan dan penghubung berbagai-bagai unsur di dalam rekabentuk taman. Pokok tutup bumi ini tumbuh melata. Pokok tutup bumi ini juga mempunyai bunga yang cantik dan indah. Beberapa jenis tanaman yang selalu ditanam sebagai penutup bumi iaitu archis pintoi, rain lily, seruni jalar, aster, sutera bombay, bunga kacang dan ptunia.

Tumbuhan pokok berdaun mempunyai bentuk dan warna daun yang berbagai. Memang pada asalnya warna daun hijau, namun beberpa jenis tumbuhan berdaun warna daunnya berbeza. Warna-warna ungu, merah, kuning merupakan kombinasi warna daun pada tanaman jenis ini. Di samping warna, bentuk daun juga menjadi daya tarikan. Bentuk yang biasa bulat, oval, bentuk jantung, jejari dan sebagainya.

Kawasan-kawasan yang biasa dibina landskap ialah seperti tepi-tepi jalan. Di kebanyakkan bangunan awam, kompleks pejabat kerajaan, sekolah-sekolah, di masjid-masjid. Kawasan letak kereta juga di hiasi dengan landskap begitu juga berhampiran kawasan pantai. Landskap di pantai akan kelihatan lebih menarik dengan tiupan angin laut.

Pembangunan landskap secara menyeluruh adalah satu langkah Kerajaan untuk memastikan pembangunan alam sekitar yang mampan. Kerajaan sedar, status negara maju tidak akan tercapai tanpa disertai dengan pembangunan landskap yang berkualiti dan menyeluruh. Dengan sebab itu Kerajaan menubuhkan Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 1996 untuk bertanggungjawab sepenuhnya kepada pembangunan landskap di seluruh Negara. Pelbagai program telah diadakan dan dilaksanakan oleh Jabatan Landskap Negara termasuklah penyediaan pelan induk landskap bagi semua Bandar, pembangunan taman awam, peningkatan kehijauan dan keindahan, serta kempen menanam pokok.

Sumber:  Kami mohon maaf dengan kealpaan kami yang tidak mencatat penulis asal artikel ini. Di sini kami mohon share. Terima kasih.