Sunday, November 3, 2013

POKOK TANDUK RUSA

Pokok Tanduk Rusa merupakan sejenis paku pakis yang menumpang di dahan pokok basar bagi mendapatkan cahaya matahari. Batangnya berupa rizom dengan sisik-sisik yang tebal, mendukung daun dwimorf. Daun pakis ini adalah tebal dan berwarna hijau. Sorusnya menutupi hujung-hujung daun fertil, dan sporanya halus seperti serbuk. 
Tanduk Rusa dapat digunakan untuk mengubati bengkak-bengkak pada anggota badan, iaitu daunnya dihaluskan bersama campuran “adus, pulasari” serta bawang merah, dan kemudian terus ditampalkan pada bahagian yang bengkak. Daun tanduk rusa ditumbuk bersama sedikit garam dan ditambah segelas air, ditapis dan diminum pada waktu pagi dan petang dipercayai dapat merawat demam. Untuk mengatasi masalah haid yang tidak teratur, daun paku tanduk rusa dicampur dalam air mendidih dan diminum sebelum kedatangan haid. Daun paku tanduk rusa dan sedikit kapur sirih ditumbuk halus dan ditampal pada bisul dapat merawat bisul.

Pokok ini dahulu memang popular di tanam di rumah-rumah. Ia jenis epifit dan melekap pada dahan atau batang pokok besar yang lain. Pokok ini mempunyai daun yang unik bentuknya iaitu menyerupai tanduk rusa. Terdapat lebih daripada 17 spesis paku tanduk rusa di seluruh dunia seperti platycerium bifurcatum(Australia Timur, New Guinea dan New Caledonia), platycerium andinum(Peru dan Bolivia, platycerium alcicorne (Madagascar), Platycerium grande (Australia, Malaysia dan Filipina) dan platycerium conorum(Malaysia). Pokok tanduk rusa lebih menggemari cuaca tropika tetapi mampu bertahan dalam cuaca di bawah paras beku(-9 Celcius). Pokok ini membiak melalui spora dan pecahan anak.

Nama Saintifik: Platycerium wallihi
Nama Botani : Platycerium sp.
Nama Lain: Pakis Tanduk Rusa, Staghorn Fern
Famili : Polypodiales@ Polypodiaceace
Genus: Platycerium 

No comments:

Post a Comment