Thursday, September 12, 2013

PILIH TUMBUHAN AIR YANG SESUAI

Wujudnya kolam ikan atau pancuran air (water feature) di laman tiada seri andai tidak disertakan dengan tumbuhan akuatik di dalamnya. Selain mencantikkan takungan air, tumbuhan jenis itu juga berupaya mewujudkan ekosistem kepada landskap laman supaya kelihatan lebih hidup dan mendatangkan manfaat. Justeru, ikan dan hidupan air yang lain boleh hidup di dalamnya kerana kehadiran tumbuhan tersebut membantu mengawal suhu air.

Akar tumbuhan akuatik dikatakan turut berfungsi sebagai penyerap nutrisi yang mungkin akan mengotorkan air dan oksigen tanaman yang terendam dalam kolam.

Dengan kewujudan tumbuhan akuatik, hidupan lain (bukan air) yang gemar bermain di permukaan air seperti pepatung dan rama-rama juga mendapat manfaat bersama.

Terdapat empat jenis tumbuhan akuatik yang sesuai untuk menghias dan menghidupkan lagi suasana kolam atau pancuran air di laman kediaman:
  1. Tenggelam - mempunyai akar pada dasar dan bahagian pokok tenggelam sepenuhnya. Tumbuhan jenis ini melepaskan oksigen dan biasanya kelihatan gelembung atau buih pada permukaan kolam. Contoh: Ceratophyllum Demersum, Hygrophila Difformis (Wisteria Air), Sagittaria Subulata dan Vallisneria Spiralis atau dikenali dengan nama rumpai belut. Tumbuhan jenis ini lebih sesuai untuk akuarium. 
  2. Hidup di permukaan - berakar di kawasan cetek dengan kedalaman sekitar 45 sm. Biasanya bahagian atas pokok akan muncul di permukaan air. Daunnya lebih besar dan melebar di atas air bertujuan menyerap cahaya matahari sebanyak mungkin. Contoh: teratai Nelumbo, iris dan lili air. 
  3. Separa akuatik - hidup melata di atas tanah dan boleh hidup di dalam kawasan berair. Contoh seperti kangkung, pegaga, padi, melati air (Shallow Water-Aztec Arrowhead) dan rumpai papyrus. 
  4. Terapung - Sama ada mempunyai ruang udara terperangkap pada akar atau pada bahagian yang lain bagi membantu ia terapung dan menerima cahaya matahari. Mempunyai rerambut pada daun yang memerangkap udara. Bahagian atau daun tumbuhan terapung di permukaan air manakala akarnya terendam di dalam air. Contoh: keladi bunting, kiambang, Duckweed, Azolla Caroliniana (lumut pari-pari), dan Hydrocharis Morsus-Ranae (Frog‘s Bit).

No comments:

Post a Comment