Sunday, July 21, 2013

PANCURAN AIR TAMAN DI SMK TELOK KERANG MENGGUNAKAN TENAGA SOLAR

Ianya satu projek yang boleh dikatakan inovatif dan kreatif. Malahan ia juga satu idea yang bagus. Pancuran air di taman dijana dengan menggunakan tenaga solar tidak seperti kebiasaannya yang menggunakan elektrik. Projek menaiktaraf kolam dan air terjun simen ferro yang terletak di tepi gelanggang bola tampar ini diideakan oleh Cikgu Hirmanazif dan Cikgu Hasan Kasmuri. Semua peralatan penjanaan solar ini disumbangkan oleh Caltex Malaysia melalui programnya Caltex Fuel Your School. Terima kasih kami ucapkan kepada Caltex Malaysia.

Tenaga solar ini sebenarnya tenaga asli, dalam erti kata lain sebagai pengganti tenaga elektrik dan sekaligus mengurangkan bil elektrik. Tenaga solar merupakan salah satu tenaga alternatif yang boleh diperbaharui dan tidak akan kehabisan. Punca tenaga utama bagi tenaga solar adalah daripada cahaya matahari. Tanpa tenaga matahari, bumi akan mati. Sumber tenaga solar dianggap bersih dan tidak mencemarkan alam kerana tenaga ini diperoleh secara semulajadi daripada sinaran matahari dan tenaga ini juga tidak terhad serta berterusan penggunaanya. Matahari dikatakan sebagai pusat tenaga kerana hampir 99.9% tenaga berpunca daripada sinaran cahaya matahari yang sampai ke permukaan bumi.

Bagi mendapatkan tenaga solar sebagai sumber tenaga pelbagai kaedah telah digunakan. Antaranya ialah kaedah plat (panel) pengumpul mendatar. Pengumpul jenis ini popular digunakan bagi pemanasan ruang yang besar-besaran ataupun secara kecil- kecilan.

Malaysia mendapat sebanyak 10 jam tenaga matahari setiap hari dan masa matahari tegak diatas kepala merupakan satu masa yang memancarkan tenaga solar secara maksimum. Pada masa ini, tenaga solar boleh dijana secara maksimum melalui penggunaan kaedah pengumpul penumpu. Dengan menggunakan kaedah ini, ia dapat menghasilkan suhu yang sangat tinggi untuk menghasilkan tenaga.

Salah satu kebaikan tenaga alternatif ini adalah mesra alam. Hal ini adalah kerana kadar pencemaran yang berlaku adalah rendah berbanding dengan pengunaan sumber tenaga yang lain. Selain daripada dapat menjana tenaga dengan lebih efektif sifat tenaga alternatif yang mesra alam ini mendorong banyak negara untuk memproses tenaga alternatif sebagai sumber tenaga utama negara mereka.













No comments:

Post a Comment