Friday, May 25, 2012

TITIK TUMPU TAMAN (IT'S ALL ABOUT FOCAL POINTS)


Titik tumpu (focal point) diwujudkan dalam taman adalah untuk memberi kesan daya penarik terhadap taman itu sendiri. Dengan adanya satu titik tumpu yang kuat melalui ciri-ciri istimewa dari segi warna, ketinggian, bentuk, tekstur, bunyi, atau objek/tanaman yang istimewa dan unik, menjadikan taman itu berkesan di hati pengguna taman. Penumpuan boleh dikukuhkan lagi dengan teknik membingkai dan mengarah pemandangan terus kepada titik tumpu itu.


Titik tumpu (focal point) sememangnya mempengaruhi keistimewaan taman yang kita bina. Sama ada ianya sebuah taman kecil mahupun sebuah taman awam, kehadiran titik tumpu  memberikan tarikan yang tersendiri pada sesebuah taman.


Penentuan keindahan sebuah taman idaman bukan sahaja bergantung kepada pemilihan jenis tanaman hiasan atau cara dan teknik penyusunan tanaman hiasan, tetapi dengan adanya titik tumpu, taman itu menjadi lebih menarik dan dapat memikat pengunjung. Saiz titik tumpu bukan ukuran mutlak yang menjanjikan kehebatan sesebuah taman tetapi sejauh mana titik tumpu taman itu memenuhi keperluan fungsi dan cita rasa pengunjung dan pemiliknya. 
 

Tak kiralah apa juga rupa bentuk taman kita sama ada ia berbentuk oval, bersegi atau L-shape, apabila kita telah tahu bentuk taman impian kita, tentukan titik tumpu taman itu. Ia penting untuk sebuah taman. Titik tumpu ini menjadi tumpuan kita sebagai pemilik dan juga tetamu kita. Ia menyerlahkan lagi ciri-ciri tertentu taman tersebut. Titik tumpu ini mestilah berkadaran dengan saiz taman.  Jadi tentukan dimana kita nak buat titik tumpu ini. Ada ketikanya titik tumpu ini dibuat secara kekal khususnya apabila kita hendak menjamu tetamu kita di taman.

 
 Bermacam-macam benda boleh menjadi titik tumpu. Subjek yang kita pilih untuk dijadikan titik tumpu biarlah sesuai dengan diri dan jiwa kita. Apa jua benda boleh kita gunakan sebagai titik tumpu termasuklah pasu, tumbuhan, pancuran air atau arca-arca, pastinya terdiri dari kalangan koleksi atau rekaan istimewa ataupun unik yang secara asasnya bertujuan untuk diberikan atau mendapat penumpuan di dalam binaan taman kita.



Biasanya, tumpuan akan diberikan kepada titik tumpu laman yang mana kita bangunkan wakaf, pergola atau kolam mahu pun pancuran air. Sesuai dengan ciri ringkas dan kemas yang dimahukan biasanya kolam, pancuran air, wakaf atau pergola akan dibina bersebelahan atau berkait rapat antara satu sama lain. Justeru, bagi menambah kedamaian sebuah taman, titik tumpu boleh disatukan dengan spesies palma, renek, gantung dan menjalar termasuk paku pakis, selain pokok berbunga, sebagai penyeri.


Fikirkanlah akan titik tumpu kita sendiri. Sebatang pokok yang unik dengan bunganya yang menarik? Seketul batu besar? Sebuah dinding dengan pancuran air yang melimpah? Atau sebuah gazebo dengan kemasan binaan dan rekabentuk yang memikat? Macam-macam boleh menjadi titik tumpu. Mungkin air pancut yang berbagai saiz dan bentuk. Jika taman itu luas dan tak nak membuat penyenggaraan selalu, kolam menjadi pilihan. Arca juga boleh menjadi titik tumpu disamping tumbuhan. Tumbuhan menjadi asas penyempurnaan titik tumpu. Tentukan jenis tanaman hiasan yang sesuai. Mungkin tinggi di belakang, rendah didepan. Berhati-hati dengan tanaman yang cepat merebak. Jika memilih tanaman hiasan yang berbunga, cari tanaman hiasan yang tidak berbunga serentak jika kita mahukan titik tumpu kita berbunga sepanjang tahun.

Semoga titik tumpu yang kita buat dapat memikat dan menjadi perhatian serta menjadi tumpuan tetamu yang mengunjungi taman kita.

No comments:

Post a Comment