Tuesday, May 29, 2012

BETAPA INDAHNYA LANDSKAP SEMULA JADI CIPTAAN ALLAH SWT

Subhanallah, Maha Agung Allah SWT. Begitu indah landskap alam semula jadi ciptaan Allah SWT. Segala macam yang didapati di dunia ini berupa nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Semuanya akan digunakan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Pancaindera kita merupakan nikmat yang terbesar pada diri manusia. Dengan mata boleh melihat warna warni kehidupan, dengan pertuturan kemesraan terjalin, dengan pendengaran pencetus kepada kefahaman.

"Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, yang menciptakan (semua alam) lalu menyempurnakan kejadiannya." (Al-A'laa: 1-2). Begitulah bunyi ayat al-Quran yang menceritakan mengenai kebesaran Allah mencipta alam ini. Dan alangkah indahnya alam ini, sempurna dan selesa didiami, lengkap dengan sumber yang boleh menampung kehidupan semua makhluk di dalamnya.

"Dan (memerhatikan) langit bagaimana ia ditinggikan, dan (perhatikan) gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan, dan (perhatikan) bumi, bagaimana ia didatarkan." (Al-Ghaasiyah: 18-20). Segala apa yang ada di langit dan bumi membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah. Alam ini tidak dijadikan sia-sia kerana ia menjadi tanda kebesaran Allah. Dengan merenung kepada alam semula jadi, manusia boleh berasa betapa besarnya kuasa Allah dan betapa kecil serta lemahnya semua makhlukNya.

"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang yang beriman." (Al-Jaatsiyah: 3). Manusia sungguh istimewa kerana diberi kelebihan oleh Allah swt sebagai satu-satunya makhluk yang berakal dan berilmu serta berupaya untuk memanfaatkan segala yang ada di muka bumi ini untuk kegunaannya. Bagaimana manusia menggunakan pemberian Allah ini bergantung kepada iman dan ilmu seseorang itu kerana tanpa kedua-duanya, manusia tidak akan bersyukur ke atas segala nikmat yang dikurniakan Allah.

 











Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah Subhanahuwata’ala. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendirinya. Memang sungguh menakjubkan alam ciptaan-Nya ini. Hargai dan nikmati lah alam semulajadi ini.











Seluas langit terbentang, seindah mata memandang. Itulah yang dikaitkan dengan alam semulajadi ciptaan Allah SWT yang indah dan menyegarkan. Di sini adalah sebahagian daripada kebijaksanaan Allah SWT Maha Pencipta semesta alam. Dia merencanakan semuanya mengikut jadual tanpa sebarang kesilapan. Maka seharusnya kita yang dibekalkan akal dapat menggunakan segala nikmat yang diberikan dengan sepenuh kesedaran, tanggunjawab, amanah, berpandangan jauh serta prihatin dengan apa jua bentuk kerosakan yang terjadi di muka bumi ini.











"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam". [al-A’raaf 7:54]. 










Friday, May 25, 2012

TITIK TUMPU TAMAN (IT'S ALL ABOUT FOCAL POINTS)


Titik tumpu (focal point) diwujudkan dalam taman adalah untuk memberi kesan daya penarik terhadap taman itu sendiri. Dengan adanya satu titik tumpu yang kuat melalui ciri-ciri istimewa dari segi warna, ketinggian, bentuk, tekstur, bunyi, atau objek/tanaman yang istimewa dan unik, menjadikan taman itu berkesan di hati pengguna taman. Penumpuan boleh dikukuhkan lagi dengan teknik membingkai dan mengarah pemandangan terus kepada titik tumpu itu.


Titik tumpu (focal point) sememangnya mempengaruhi keistimewaan taman yang kita bina. Sama ada ianya sebuah taman kecil mahupun sebuah taman awam, kehadiran titik tumpu  memberikan tarikan yang tersendiri pada sesebuah taman.


Penentuan keindahan sebuah taman idaman bukan sahaja bergantung kepada pemilihan jenis tanaman hiasan atau cara dan teknik penyusunan tanaman hiasan, tetapi dengan adanya titik tumpu, taman itu menjadi lebih menarik dan dapat memikat pengunjung. Saiz titik tumpu bukan ukuran mutlak yang menjanjikan kehebatan sesebuah taman tetapi sejauh mana titik tumpu taman itu memenuhi keperluan fungsi dan cita rasa pengunjung dan pemiliknya. 
 

Tak kiralah apa juga rupa bentuk taman kita sama ada ia berbentuk oval, bersegi atau L-shape, apabila kita telah tahu bentuk taman impian kita, tentukan titik tumpu taman itu. Ia penting untuk sebuah taman. Titik tumpu ini menjadi tumpuan kita sebagai pemilik dan juga tetamu kita. Ia menyerlahkan lagi ciri-ciri tertentu taman tersebut. Titik tumpu ini mestilah berkadaran dengan saiz taman.  Jadi tentukan dimana kita nak buat titik tumpu ini. Ada ketikanya titik tumpu ini dibuat secara kekal khususnya apabila kita hendak menjamu tetamu kita di taman.

 
 Bermacam-macam benda boleh menjadi titik tumpu. Subjek yang kita pilih untuk dijadikan titik tumpu biarlah sesuai dengan diri dan jiwa kita. Apa jua benda boleh kita gunakan sebagai titik tumpu termasuklah pasu, tumbuhan, pancuran air atau arca-arca, pastinya terdiri dari kalangan koleksi atau rekaan istimewa ataupun unik yang secara asasnya bertujuan untuk diberikan atau mendapat penumpuan di dalam binaan taman kita.



Biasanya, tumpuan akan diberikan kepada titik tumpu laman yang mana kita bangunkan wakaf, pergola atau kolam mahu pun pancuran air. Sesuai dengan ciri ringkas dan kemas yang dimahukan biasanya kolam, pancuran air, wakaf atau pergola akan dibina bersebelahan atau berkait rapat antara satu sama lain. Justeru, bagi menambah kedamaian sebuah taman, titik tumpu boleh disatukan dengan spesies palma, renek, gantung dan menjalar termasuk paku pakis, selain pokok berbunga, sebagai penyeri.


Fikirkanlah akan titik tumpu kita sendiri. Sebatang pokok yang unik dengan bunganya yang menarik? Seketul batu besar? Sebuah dinding dengan pancuran air yang melimpah? Atau sebuah gazebo dengan kemasan binaan dan rekabentuk yang memikat? Macam-macam boleh menjadi titik tumpu. Mungkin air pancut yang berbagai saiz dan bentuk. Jika taman itu luas dan tak nak membuat penyenggaraan selalu, kolam menjadi pilihan. Arca juga boleh menjadi titik tumpu disamping tumbuhan. Tumbuhan menjadi asas penyempurnaan titik tumpu. Tentukan jenis tanaman hiasan yang sesuai. Mungkin tinggi di belakang, rendah didepan. Berhati-hati dengan tanaman yang cepat merebak. Jika memilih tanaman hiasan yang berbunga, cari tanaman hiasan yang tidak berbunga serentak jika kita mahukan titik tumpu kita berbunga sepanjang tahun.

Semoga titik tumpu yang kita buat dapat memikat dan menjadi perhatian serta menjadi tumpuan tetamu yang mengunjungi taman kita.

Wednesday, May 23, 2012

TIADA 'FOUNTAIN', SUNYILAH TAMAN

Jika kita mempunyai taman yang indah yang dihiasi dengan pelbagai tanaman hiasan  berwarna-warni dan mewangi, namun jika taman itu tiada 'fountain' di dalamnya, taman kita itu dianggap sebuah taman yang sunyi, sepi, dan hambar. Seelok-elok dan sebaik-baiknya taman yang indah itu diberi nafas dengan membina 'fountain' di bahagian-bahagian tertentu di dalamnya. Barulah taman itu dirasakan lebih segar dan mengasyikkan.

'Fountain' dapat menambah keindahan taman. Selain itu ia dapat mewujudkan bunyi yang mengasyikkan dan menenangkan jiwa. Maka segarlah minda kita apabila kita berada di situ menikmati dan menghayati taman yang dibina. Jiwa manusia kan... memerlukan penyegaran semula setelah berpenat-lelah bekerja mencari rezeki. Lima deria yang ada pada manusia menjadi pengantara untuk menikmati suasana taman yang segar lalu menyegarkan minda kita.


Rekaan 'fountain' bergantung kepada kehendak dan kemampuan kita.  Jika kita mempunyai taman yang besar kita boleh memilih reka bentuk 'fountain' yang besar dan pelbagai. Untuk taman yang kecil, cukuplah kita memilih 'fountain' kecil-kecilan yang boleh dibina sendiri atau yang dibeli. Itu semua bergantung kepada kemampuan kita. 


'Fountainyang mengandungi air terjun kelihatan anggun. Bunyi air yang jatuh menderu menjadikan pengguna taman seolah-olah berada di dunianya yang tersendiri dan mempunyai rasa tenang dan ada nikmat persendirian. 'Fountain' yang dibina di atas platform atau di dinding atau pada tiang dapat menambah kesan yang indah untuk taman kita dan juga mewujudkan bunyi yang menenangkan yang akan menyegarkan minda kita. Kita juga boleh membina 'fountain' di kolam kecil di taman. 'Fountain' boleh dibina bersendirian atau digabungkan dengan tumbuh-tumbuhan hiasan.



'Fountain' taman yang aman, tenang dan menenangkan adalah sentuhan sempurna bagi mana-mana taman. Apabila kita merancang untuk membina 'fountain', pastikan kita tahu keperluan dan kehendak pengguna fountain dan taman. Kita boleh membuat rujukan daripada majalah atau laman web untuk mendapatkan gambaran sebenar reka bentuk 'fountain' yang kita perlukan.


Air yang memancut, mengalir atau yang jatuh di taman kita mewujudkan suasana yang tenang sesuai untuk bersantai, bermenung dan menenangkan minda. Bunyi air pasti memberi sedikit keindahan dan ketenangan kepada mana-mana persekitaran dan diri kita sebagai seorang pengguna taman.