Sunday, February 26, 2012

HIASAN AIR


Kehadiran air dalam sesebuah taman menandakan keseimbangan alam iaitu keharmonian suasana yang terhasil serta hubungan elemen semula jadi antara tanah dan air. Elemen air dalam laman kediaman bukan hanya menambahkan keceriaan kepada ruang berkenaan, malah memberi unsur ketenangan melalui bunyi air. Pancutan air membantu menambahkan rasa segar sekali gus mengubah mood individu yang berada di sekitarnya. Disebabkan itu, elemen air jarang ditinggalkan ketika pembinaan sesebuah taman.

Membina laman dengan unsur air di dalamnya memerlukan kepakaran. Namun, bagi memudahkan kerja dapatkan saja khidmat pereka dan kontraktor landskap untuk membina.

Bagi mereka yang tiada kemampuan kewangan untuk berbuat demikian ditambah pula dengan ruang laman yang terhad, sebenarnya ada cara mudah untuk mewujudkan unsur air dalam taman.

Antara cara paling mudah, ringkas dan jimat adalah dengan mewujudkan laman air mini menggunakan balang mahu pun mangkuk atau perkakasan dapur yang sesuai. Balang atau mangkuk ini kemudian diletakkan di atas meja atau sudut sempit di laman mahu balkoni kediaman.

Selain itu, di pasaran ada kedai aksesori laman mahu pun hiasan dalaman serta nurseri yang menjual pancuran air mini menggunakan kuasa bateri atau elektrik. Pada harga yang mampu dibeli, pilih saja corak dan reka bentuk yang disukai. Disarankan, pilih pancuran dari jenis tidak bertakung kerana dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Selain membeli set kolam mahu pancuran air mini, satu cara menarik menghias ruang laman atau meja laman adalah dengan menghasilkan sendiri taman mini air menggunakan mangkuk atau balang air serta perkakasan dapur.

Bagaimana caranya?
  • Pilih mana-mana balang atau akuarium terbuang yang masih boleh dipakai semula, mangkuk atau pun mana-mana perkakasan dapur yang cembung serta boleh diisi air.
  • Untuk refleksi yang cantik, gunakan saja mana-mana bekas lutsinar seperti balang kaca, akuarium atau mangkuk kaca atau kristal. Kemudian isi dengan pasir atau batu-batu kerikil atau batu sungai yang kecil.
  • Selepas itu hias sama ada dengan karang, kayu atau apa-apa aksesori yang sesuai termasuk yang biasa digunakan bagi menghias akuarium.
  • Kemudian masukkan air dan diikuti pokok air yang sesuai seperti melati air, keladi bunting, kiambang mahu pun teratai dan orkid air.
  • Bagi menaikkan seri, gabungkan pokok yang pelbagai warna, saiz dan bentuk kerana ia akan memberikan karektor kepada taman air mini yang dihasilkan.
  • Mengelak daripada menjadi sarang nyamuk, dapatkan ubat penghapus jentik-jentik yang boleh dibeli di nurseri atau kedai ikan hiasan. Selain itu, kaedah semula jadi adalah dengan memasukkan ikan kecil seperti anak ikan gapi, puyu atau ikan emas mahu pun ikan Garra Rufa.
  • Jika air mengandungi banyak klorin, disarankan biarkan air terdedah lebih 24 hingga 48 jam sebelum masukkan tumbuhan dan ikan di dalamnya supaya tidak mati.
  • Bagi mencantikkan lagi taman air mini, apa kata letakkan hiasan seperti lumut teriuan, karang laut, kulit kerang atau siput, batu (pebbles) serta ranting kayu hanyut di luar sekeliling balang berkenaan. Selamat mencuba!
Sumber:  Berita Minggu 26 Februari 2012 

Pokok taman air
  • Keladi bunting
  • Teratai
  • Kiambang
  • Papyrus
  • Pokok Chemelon ‘Houttuynia 'Chameleon'
  • Orkid Air
  • Melati Air
  • Pokok Bulu Kaktua (Parrots Feather)
  • Pokok Frogbit

Tip
  • Pokok keladi bunting dan kiambang biasanya cepat membiak dan membesar mengikut saiz balang atau mangkuk, jadi kerap bersih supaya ia tidak menutup ruang bekas berkenaan.
  • Pastikan hanya 40 hingga 50 peratus saja pokok berada dalam bekas berkenaan jika tidak nampak berserabut dan mencacatkan pemandangan.
 

No comments:

Post a Comment