Thursday, December 1, 2011

INOVASI LAMAN RAMUAN

SEJAK diperkenalkan di negara ini lebih tiga tahun lalu, laman ramuan atau Edible Garden kian popular sehinggakan ramai yang sudah mempraktikkannya. Menyedari popularitinya, tidak hairanlah banyak nurseri yang turut menjual pokok atau tanaman bersesuaian konsep laman berkenaan.

Malangnya, biarpun berbekalkan semangat ‘petani moden,’ peralatan, pokok dan kelengkapan bersesuaian, ada kalanya laman ramuan idaman tinggal harapan. Selain kurang ilmu, ia turut berkaitan dengan kesilapan pendekatan atau teknik yang dilakukan.

Namun, jangan mengalah kerana terkini, pelbagai inovasi baru yang sesuai untuk membina laman ramuan atau turut dikenali laman edibel ini sudah diperkenalkan termasuk produk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) seperti GreenKit, Fertikit, laman vertikal dan rumah teduhan mini selain dulang tanaman.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, MARDI, Dr Zabedah Mahmood berkata, laman edibel kini dipermudahkan dengan inovasi dan aplikasi teknologi terkini bagi membantu orang yang kurang pengetahuan mengenai bercucuk tanam dan mereka sibuk tetapi masih berminat dengan aktiviti berkebun.

“MARDI bangunkan produk dengan inovasi baru supaya orang ramai tidak lagi risau jika tidak dapat memberi tumpuan kepada laman ramuan yang dibangunkan kerana teknologi memudahkannya. Antara inovasi yang kami perkenalkan adalah GreenKit, Fertikit, hiasan sayur memanjat, laman vertikal dan rumah teduhan mini sesuai mengikut saiz laman kediaman,” katanya.

Dr Zabedah berkata, GreenKit adalah kaedah tanaman berpasu direka khusus bagi memudahkan aktiviti cucuk tanam, menjimatkan wang, tenaga dan air.

“GreenKit memperkenalkan kaedah tanaman dengan sistem penanaman pokok di dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri tanpa perlu penyiraman yang kerap. keperluan menyiram adalah minimum iaitu tanaman disiram sekurang-kurangnya sekali seminggu saja dan lebih menarik ulam-ulaman seperti pucuk gajus dan tenggek burung boleh ditanam dalam GreenKit. Pucuk ulam dituai dari masa ke semasa dan tanaman ini dibiarkan tumbuh renek,” katanya.

GreenKit terbahagi kepada dua ruang iaitu takungan air di bahagian bawah dan takungan penanaman mengandungi medium (tanah) pada bahagian atas. Prinsip dan kaedah GreenKit adalah menyamai penanaman di kawasan tanah semula jadi, iaitu air di dalam tanah naik ke zon pengakaran dengan tindakan kapilari (saluran halus).

Produk ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas dalam pertandingan reka cipta / inovasi di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2010 di Korea Selatan pada 2 hingga 5 Disember tahun lalu.

Penanaman dengan GreenKit boleh menggabungkan beberapa jenis tanaman, namun disyorkan kombinasi perlukan keperluan air dan cahaya matahari yang sama. Jumlah jenis tanaman mestilah cukup untuk satu hidangan mengikut saiz bekas GreenKit yang digunakan.

Selain digunakan oleh suri rumah sesuai dengan kempen hijau yang dijalankan kerajaan, katanya GreenKit juga sesuai dijadikan model pembelajaran untuk pelajar sekolah kerana kotak tanaman ini mudah, murah dan bebas daripada bahaya pembiakan Aedes, malah boleh ditinggalkan tanpa pengurusan yang rapi, serta sesuai untuk mereka yang sibuk serta tiada masa menyiram pokok setiap hari.

Fertikit pula, kata Dr Zabedah, merujuk satu sistem mini fertigasi yang mudah alih dan sesuai untuk kediaman yang tidak ada laman bertanah. Ia juga memudahkan penanaman kerana menggunakan penetap masa, penyiraman dan pembajaan dijalankan secara automatik.

“Apa yang menarik mengenai fertikit, ia boleh digunakan di di kawasan rumah yang mempunyai laman dengan ruang terhad. Selain praktikal, fertikit berkonsepkan 3M - mudah, menjimatkan dan mesra. Produk ini sudah dikomersilkan dan boleh didapati di pasaran dengan cara beli dan bawa pulang serta mudah dipasang, diselenggara dan di simpan. Fertikit juga mengguna pakai kaedah DIY (teknik buat sendiri) menjadikannya mudah dikendalikan, diangkut, dipasang dan sedia untuk digunakan. Produk ini didatangkan dengan rak yang dibuat daripada keluli tahan karat bersama sistem pengairan serta dibantu oleh pam dan penetap masa. Oleh itu, pengguna tidak perlu risau mengenai penyiraman semasa tiada di rumah. Rak pula boleh dilaras menempatkan pelbagai saiz dan jenis pasu. Sistem bertingkat pula membolehkan bilangan pokok yang lebih banyak ditanam di ruang yang terhad,” katanya.

Oleh kerana saiz fertikit sesuai untuk ruang yang terhad maka ia boleh diletakkan di tempat letak kereta, balkoni atau kaki lima rumah banglo, teres, apartmen atau kondominium.

Disarankan menggunakan medium tanpa tanah bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit bawaan tanah serta mudah dikendalikan. Boleh juga diletakkan di dalam kediaman namun, dinasihatkan supaya terdedah kepada cahaya seperti di tepi tingkap supaya tanaman mendapat cahaya yang mencukupi untuk tumbesaran.


INFO: Laman Ramuan
  • Pendekatan reka bentuk laman yang menggabungkan penggunaan tanaman makanan dan tanaman. Ia juga dikenali sebagai Laman Dapur, Taman Tumbuhan Makanan (Edible Garden) dan taman komuniti.
  • Turut menghasilkan ruang secara fizikal, memberi kesan estetika dan kepelbagaian fungsi ruang.
  • Komposisi laman adalah 70:30 iaitu 70 peratus tanaman ramuan sama ada boleh makan atau menghasilkan bau, herba dan ubatan manakala 30 peratus pula untuk hiasan.
  • Laman yang dihasilkan perlu ringkas, teratur dan mudah difahami serta mewujudkan susun atur atau kesatuan tanaman.
  • Laman ini juga menekankan ciri keharmonian, penggunaan komposisi ciri serta sifat yang hampir serupa dari segi saiz, bentuk, warna dan fungsi.
  • Laman ini menampilkan pelbagai aneka tumbuhan bermakna reka bentuk laman dapat menimbulkan daya tarikan serta mengelakkan rasa jemu atau bosan menggunakan pelbagai elemen seperti warna, bentuk, tekstur, saiz, perubahan haluan, pergerakan, bunyi dan kualiti cahaya.

Penghargaan untuk Berita Minggu

No comments:

Post a Comment