Monday, August 1, 2011

ISTIMEWANYA FLORIA PUTRAJAYA 2011

Bermula 9 Julai dan berakhir 17 Julai 2011, Floria Putrajaya 2011 diwarnai dengan pelbagai rekaan taman dan gubahan bunga indah lagi mempersona dari negara-negara Eropah dan Asia. Ia yang diadakan di Pesisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya dapat memberi ilham kepada para pengunjung untuk menampilkan terutamanya rekaan seni taman untuk kediaman peribadi mereka.

Bertemakan bunga ros atau mawar sebagai tarikan,  dalam tempoh seminggu pameran bunga mawar itu sememangnya mempunyai daya tarikan kepada sesiapa sahaja. Pesona pada kelopak ros yang berlapis, haruman semerbak yang menyamankan dengan warna merah, putih, kuning, jingga dan merah jambu amat mencuri pandangan walaupun pokoknya berduri tajam. Tema 'Ros Untuk Selamanya', para pengunjung boleh menyaksikan lebih 100 spesies bunga ros dari Asia Tenggara dan 300 spesies dari seluruh dunia yang memiliki nilai komersial tinggi.

Pameran lebih 100 spesies bunga Ros yang terdiri dari spesies hibrid, floribunda, grandiflora, miniature, pepanjat, tanaman renek dan pokok akan dipamerkan dengan reka bentuk taman di luar dan di dalam khemah pameran manakala lebih 400,000 tumbuhan berbunga dipamerkan termasuk sebahagiannya adalah dari spesies ros.

Pameran bunga mawar terbesar di negara itu menjadi lebih menarik kerana turut melibatkan penyertaan antarabangsa dari New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Hong Kong, Kanada, Korea Selatan, Taiwan, Jepun, Pakistan, Kenya, Indonesia, Macau dan Thailand.

Kunjungan kita ke Floria 2011 pasti terisi kerana lebih 200 program termasuk 'garden centre', agro bazaar, produk agro, 'master gardener', 'botanical discovery', pertunjukan bunga api, hiburan, persembahan dan pavilion bunga-bungaan turut menyerikan lagi festival itu.

Istimewanya festival kali ini, kita boleh menyaksikan perarakan bot berhias yang diselaputi pelbagai reka bentuk menawan yang menghangatkan suasana di Tasik Putrajaya selain taman-taman ros yang menyegarkan. Simbahan warna-warni daripada lampu bot berhias itu datang daripada Perarakan Malam Flora Pelancongan Antarabangsa 1Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan yang memeriahkan lagi sambutan Floria 2011. Pengunjung juga dapat menyaksikan pertunjukan bunga api pada setiap malam semasa perarakan bot berhias itu diadakan.

Floria kali ini menjanjikan kepada kita bahawa mawar pelbagai warna ada di sekeliling kita dan ada di mana-mana.  Puas melihatnya. Memang menyeronokkan dan begitu istimewa...



































No comments:

Post a Comment