Wednesday, May 11, 2011

TUMBUH-TUMBUHAN MEMERLUKAN BAJA


Nutrien yang seimbang menjadikan tumbuhan tumbuh subur.
Tumbuh-tumbuhan memerlukan nutrien yang seimbang untuk pengembangan dan pertumbuhan yang sempurna, berbuah dan mengeluarkan bunga pada tahap yang optimum. Ini bagi memastikan kualiti tumbesaran dan visual tumbuhan pada paras yang memuaskan. Tujuan pembajaan adalah untuk memulihkan kandungan nutrien dalam medium yang telah diserap oleh tumbuhan melalui proses fisiologinya.

Pada umumnya tumbuh-tumbuhan memerlukan unsur-unsur utama sama ada unsur-unsur makro dan mikro. Unsur-unsur ini tidak boleh diganti dengan yang lain.

Unsur makro:
  • Karbon
  • Hidrogen
  • Oksigen
  • Nitrogen
  • Fosforus
  • Kalium
  • Sulfur
  • Kalsium
  • Magnesium


Unsur makro dan mikro diperlukan oleh pokok untuk
 tumbuh secara optimum.
 Unsur mikro:
  • Zink
  • Ferum
  • Boron
  • Molibdenum
  • Kuprum
  • Klorin
  • Nikel
  • Kobalt
  • Manganan

Kesan kekurangan nutrien pada tumbuh-tumbuhan:
  • Daun tumbuhan menjadi kuning.
  • Tumbuhan menjadi terbantut.
  • Dahan mudah patah.
  • Tumbuhan mudah diserang penyakit.

Terdapat dua jenis baja yang biasa dugunakan, iaitu:

a) Baja organik
  • Baja jenis ini adalah baja yang terhasil daripada bahan semula jadi yang telah mengalami proses pereputan.
  • Baja ini tidak memudaratkan tumbuhan dan mempunyai kesan jangka panjang yang positif terhadap tanah tanpa menjejaskan air bawah tanah tetapi mempunyai kepekatan nutrien yang lebih rendah berbanding baja kimia. Baja asli ini biasanya digunakan sebagai baja permulaan.
  • Organik yang terkandung dapat meninggikan tahap kesuburan medium dan memperbaiki tekstur medium. Selain itu ia dapat dapat membaiki daya pegangan air dan menggalakkan kadar pertukaran kation dalam medium.
  • Baja ini didapati daripada reputan sisa tumbuhan dan najis haiwan.
  • Contoh baja ini ialah tahi ayam, tahi lembu dan tahi kelawar.
  • Baja organik buatan seperti kompos (kitar semula pereputan daripada bahan-bahan seperti sisa tumbuhan, daun-daun, dan sisa-sisa makanan) mempunyai nutrien yang sangat tinggi dan sesuai digunakan untuk tanaman pasuan.

Tanaman pasuan memerlukan rutin pembajaan yang tetap.
b) Baja kimia
  • Baja kimia adalah baja yang telah diproses. Baja ini membebaskan unsur nutriennya lebih cepat apabila larut dalam air berbanding baja organik.
  • Biasanya ia berbentuk butiran, hablur dan cecair.
  • Baja jenis butiran boleh digunakan secara terus kepada tumbuhan manakala jenis hablur dan cecair hendaklah dicampurkan dengan air terlebih dahulu sebelum disembur kepada tumbuhan.
  • Contoh baja kimia ialah Nitrophoska Hijau, Nitrophoska Biru dan Triple Superphosphate (TSP).
  • Pembajaan baja kimia yang berlebihan boleh menyebabkan bahagian tumbuhan terbakar dan melecuh sebab baja jenis ini panas.
  • Seelok-eloknya selepas menabur baja kimia, siram air untuk mengelakkan bahagian tumbuhan terbakar.

Kurangkan nitrogen dan lebihkan kalium apabila kita hendak
tumbuhan berbunga cantik.

Bentuk-bentuk baja
  • Baja butir - Baja berbutir ini ditabur di keliling tumbuhan. Boleh juga di campur dan dilarut dengan air. Lebih berkesan jika digaul bersama dengan medium yang telah digemburkan bagi meningkatkan penyerapan oleh akar.
  • Baja debu - Baja ini lebih efektif apabila digaul dengan medium bagi mengelakkan diterbangkan angin.
  • Baja semburan - Baja ini biasanya disembur dalam bekas semburan dan disembur pada daun.
  • Baja cecair - Dibancuh dengan air dan disembur terus pada daun (baja foliar) atau dititiskan pada medium melalui penitis.
  • Baja yang dibebaskan perlahan-lahan - Baja ini diserap perlahan-lahan oleh tumbuhan. Ia lebih menjimatkan. baja ini diselaputi oleh bahan-bahan yang lambat reput dan bertindak balas pada kelembapan dan suhu yang sesuai.


Lakukanlah pembajaan selepas merumpai.
 Pembajaan
  • Pembajaan merupakan salah satu aktiviti penyelenggaraan yang penting untuk memastikan tumbuhan tumbuh pada tahap yang optimum dan sempurna.
  • Kadar pembajaan dan jenis baja yang digunakan bergantung kepada jenis tumbuhan.
  • Bagi anak pokok dan keratan yang baru ditanam, kadar nitrogen hendaklah 3 hingga 6 kali ganda berbanding fosforus dan kalium.
  • Bagi tumbuhan yang sedang membesar nisbah NPK (Nitrogen, fosforus dan kalium) hendaklah sama banyak.
  • Kurangkan kandungan nitrogen sehingga 50% bagi pokok yang akan berbunga.
  • Lakukan pembajaan selepas kerja merumpai.
  • Apabila menggunakan baja butiran, pastikan ia tidak terkena pada daun atau tumbuhan untuk mengelakkan ia melecur atau membunuh tumbuhan.

No comments:

Post a Comment