Wednesday, November 3, 2010

PERGOLA DALAM TAMAN




Perkataan ‘pergola’ berasal dari bahasa latin iaitu pergula. Pada zaman Rom kuno pergola adalah sebutan untuk struktur kayu yang digunakan untuk menyangga tanaman anggur. Pergola adalah binaan sementara. Dalam perkembangannya, pergola membawa maksud semua struktur naungan atau peneduh yang ditambahkan pada bangunan atau rumah.

Ketika di zaman Rennaissance, pergola tidak lagi menjadi binaan sementara kerana kebanyakan kediaman atau bangunan menjadikannya sebagai binaan kekal. Pergola dijadikan terowong hijau atau hiasan taman yang popular pada awal zaman itu. Pergola menjadi hiasan menarik untuk musim bunga dan panas kerana ia boleh dibina secara bertutup atau terbuka.

Pergola merupakan landskap kejur yang direka bentuk sebagai tempat berteduh. Selain daripada itu ia digunakan sebagai laluan kepada pengguna di samping memberi sokongan kepada tumbuh-tumbuhan memanjat di atasnya. Pergola biasanya dibina di depan pintu rumah menuju ke taman depan kediaman. Pergola yang biasanya dibuat daripada para-para kayu yang dibina di laman berfungsi untuk memayungi ruang pejalan kaki atau ruang depan atau belakang rumah. Dalam seni binaan barat, biasanya pergola dibina di depan pintu menuju ke kolam renang atau laman belakang atau kiri dan kanan rumah. Ia juga menjadi ruang berlindung daripada panas dan hujan.



Pergola boleh digabungkan dengan anjung rumah atau berdiri sendiri menjadi titik tumpu untuk laman. Untuk ruang terhad lebih baik digabungkan dengan binaan lain di depan rumah supaya ia tidak memakan ruang yang ada.

Reka letak pergola di laman juga penting untuk mewujudkan suasana redup di laman rumah dan pastikan arah cahaya matahari terlebih dulu sebelum pergola dibina. Ini penting untuk disesuaikan dengan reka letak pokok hiasan di sekeliling pergola.

Biasanya pergola diperbuat daripada tiang konkrit ‘column’ dan kayu yang telah direka bentuk dengan menarik. Bermacam bahan boleh digunakan untuk membina pergola. Di antaranya ialah kayu, konkrit dan besi. Pada masa ini kayu bermutu seperti cengal dijadikan pilihan di kalangan pengguna. Selain ia cukup tahan dimakan zaman, kayu cengal cukup teguh dan kuat disamping uratnya yang cantik. Warna pergola bergantung kepada kehendak penggunanya dan tema sesuatu taman. Biasanya jika pergola itu dibuat daripada kayu, warna kayu menjadi pilihan.

Sebelum membina pergola, kita perlu tentukan keluasan laman terlebih dulu. Jika sesuatu laman itu luas, lebih elok membina pergola sendiri bagi memastikan ia bersesuaian dengan cita rasa dan ukuran laman. Saiz pergola harus bersesuaian denga keluasan laman. Binaan pergola kecil dengan laman yang luas pasti membuatkan laman kelihatan pelik dan kurang menarik.

Sebelum membina pergola, terlebih dulu harus mengukur tinggi tiang penyangga utama dari permukaan tanah. Tujuannya agar tanaman dapat memanjat naik dengan baik dan memenuhi para-para pergola. Secara umum, tinggi pergola tidak boleh kurang dari 7 kaki agar tersedia ruang yang cukup tinggi untuk orang dewasa melalui di bawahnya. Manakala jarak antara tiang pergola dicadangkan berukuran luas secukupnya untuk dua orang dewasa selesa berjalan melaluinya secara beriringan.

Pergola tidak hanya sebagai peneduh. Dalam taman yang besar, pergola boleh menjadi sebagai pengarah bagi pengunjung taman untuk memasuki bahagian taman yang lainnya yang umumnya berbeza tema. Selain itu pergola juga berfungsi untuk membingkai bahagian yang menarik dalam sesuatu taman.

1 comment:

  1. Wow! super! wonderful! I loved ur Gordan Decoration of houses.. Fabulous!

    Merbau Decking

    ReplyDelete