Sunday, May 9, 2010

LAMAN INGGERIS ALA MALAYSIA


Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu 9 Mei 2010




SEKALI pandang, laman dan kediaman Hamidah Sabri seakan pemandangan yang biasa dilihat di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Bukit Fraser, walaupun hakikatnya ia hanya terletak di Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh, Selangor.

Banglo satu tingkat dengan lima bilik itu tampil menyerlah dari luar kerana laman berkonsepkan kedesaan Inggeris yang pasti memikat sesiapa saja yang melintasi kediaman berkenaan. Hamidah yang ditemui baru-baru ini, memberitahu beliau membina kediaman di tanah pusaka milik keluarganya dengan menggunakan konsep Inggeris yang menjadi minatnya selepas membaca majalah dekorasi dan laman luar dari luar negara.

Katanya, dengan minat yang ada beliau membangunkan kediaman dan laman secara berperingkat-peringkat kerana mengambil kira sumber kewangan.

"Saya membangunkan sendiri laman kediaman tanpa bantuan kontraktor landskap dan berpandukan kepada panduan dan tip daripada majalah laman keluaran luar negara yang dilanggan setiap bulan. Semuanya saya buat berperingkat-peringkat. Daripada satu dua pasu bunga kini jumlahnya lebih 10, malah hiasan juga saya tukar mengikut kesesuaian dan ruang yang ada di laman,” katanya yang menetap di kawasan itu sejak 40 tahun lalu.

Apa yang menarik, minatnya itu turut dikongsi bersama suami yang menyokong usahanya menghias kediaman dengan konsep kedesaan Inggeris berkenaan. Lamannya juga berubah mengikut saiz kediaman yang beberapa kali diubahsuai daripada banglo kecil tiga bilik kepada jenis sederhana besar dengan lima bilik.

Bercerita lanjut mengenai lamannya, Hamidah menjelaskan beliau menanam pelbagai spesies pokok berbunga bagi menepati tema konsep kedesaan Inggeris.

“Selain mawar, saya turut menanam bunga lain seperti asytasia gangetica, costus spicatus, eranthemum, euphorbia, kemboja, bunga kertas, akar dani dan spesies keladi. Memandangkan cuaca Malaysia tidak sesuai untuk pokok bunga Eropah maka saya gantikan dengan pepohon lain yang sesuai dengan cuaca di negara ini. Pada saya, tumbuhan di negara ini yang mempunyai koleksi pelbagai rupa dan warna bunga amat sesuai menghiasi laman untuk konsep kedesaan Inggeris. Kalau betul-betul hendak mencari bunga yang biasa tumbuh di Eropah sukar, jadi saya manfaatkan tumbuhan yang ada dan mudah diperoleh bagi menghiasi laman ini,” katanya.

Bagi memastikan lamannya tidak tersasar daripada konsep berkenaan, Hamidah mengecat kerusi lamannya dengan warna putih selain kayu pemegang tangga dan meja kopi yang turut diberi sentuhan konsep sama. Tidak ketinggalan, pintu dan bingkai tingkap rumah turut diwarnakan putih manakala dinding kediaman diwarnakan merah jingga dengan corak batu bata menjadikan kediaman dan laman sangat kena padanannya. Bagi membangkitkan lagi suasana laman, beliau turut meletakkan batu dan kayu pemijak kaki dihiasi batu sungai dan kerikil warna putih. Paling menarik pokok akar Dani dibiarkan memanjat hingga ke atas bumbung pintu utama masuk ke kediaman serta spa kecantikan yang turut diusahakan Hamidah sejak setahun yang lalu.

Katanya, pada asalnya tapak spa kecantikan berkenaan adalah ruang meletakkan kenderaan tetapi diubahsuai selepas pelanggan spa kecantikannya itu bertambah.


 “Pada asalnya, kontraktor meminta kebenaran untuk membuang pokok berkenaan kerana kononnya akan merosakkan binaan bumbung rumah tetapi saya membantah kerana ia sangat cantik apabila melingkari kediaman. Malah, bunga pokok ini sangat cantik apabila tiba musim ia berbunga. Lebih menarik, apabila bunga kertas yang ditanam di belakang rumah juga kini memanjat bumbung dan bergabung dengan akar dani yang menjadikan pemandangannya sangat menarik. Malah, jiran sebelah rumah menyatakan pemandangan rumah saya nampak cantik dari kediamannya dengan adanya kedua-dua pokok berkenaan,” katanya yang akan memperuntukkan dua kali sehari iaitu pagi dan petang untuk menyiram pokok di lamannya.

Sesuai konsep laman, Hamidah turut menanam pokok rhu yang turut menjadi mercu tanda kediaman. Pokok rhu sebatang itu begitu menyerlah seakan titik tumpu laman sehingga menutup tingkap kediaman di belakangnya. Malah, pokok itu menjadi teduhan untuk unggas mencari makan selain meredupkan kawasan sekitar kediaman. Bagi menaikkan lagi seri laman, Hamidah membina beranda di pintu masuk utama ke kediaman. Beranda itu menjadi ruang istirahat keluarga selain menjadi sempadan ruang antara kediaman dengan spa kecantikan. Di beranda itu turut dibina kolam ikan koi comel dihiasi batu sungai. Pokok seperti paku pakis, ekor kuda kasar (Equisetum hyemale), anthirium dan orkid liar menghiasi tepian kolam. Tanduk rusa yang tergantung di dinding berdekatan kolam menaikkan lagi suasana tepian kolam.

Bagi menyerikan lagi kolam Hamidah meletakkan hiasan seramik itik, angsa dan batu sungai. Pagar kayu kecil berwarna putih menjadi pelengkap serta menyerlahkan lagi konsep kedesaan Inggeris yang ingin ditampilkan. Bunyi deruan air yang jatuh dari celah dinding ke kolam mendamaikan lagi suasana di beranda yang turut dijadikan ruang menunggu pelanggan yang berkunjung ke sapa kecantikan yang bersambung dengan beranda berkenaan. Suasana redup daripada bayang pokok bunga kertas di belakang beranda menjadikan ruang itu begitu damai dan sesuai untuk kawasan rehat di waktu petang dan hujung minggu.

Konsep kedesaan Inggeris di laman Hamidah begitu terserlah apabila jambangan bunga dalam bakul rotan diletakkan di meja kopi serta menutup cela pasu yang diletakkan di ruang beranda. Hamidah turut menghiaskan ruang beranda dengan hiasan comel seperti loceng angin dan lampu seperti bebola salji berkilat yang digantung berhampiran tangga masuk.

Info
Konsep kedesaan Inggeris


  • Menggunakan binaan berwarna putih seperti bangku dan meja laman di cat dengan warna berkenaan.
  • Bunga yang biasa digunakan adalah mawar, hollyhocks, pansies and delphinium. Untuk cuaca di Malaysia, boleh gunakan apa saja pokok yang berbunga terutama yang berwarna warni seperti akar dani, seri pagi, kembang pukul lima, petunia, alamanda dan jasmin.
  • Asalnya konsep kedesaan Inggeris banyak menggunakan tanaman herba atau tumbuhan boleh makan tetapi menjelang 1900, bunga-bungaan terutama mawar seakan tidak boleh lari daripada konsep laman ini.
  • Biasanya, laman kedesaan Inggeris perlu ada padang rumput, kawasan tanaman bunga, pokok memanjat atau hiasan tambahan serta ruang siar kaki.
  • Biasanya laman konsep ini tidak terlalu besar cukup sekadar depan laman kediaman atau ruang terhad di belakang rumah.

No comments:

Post a Comment