Tuesday, February 23, 2010

PENYERI LAMAN KECIL - PANCURAN AIR

Rohaniza Idris
Berita Minggu


Laman dengan ruang yang terhad tidak bermakna usaha mengindahkan landskap kediaman juga terbatas, sebaliknya ada pelbagai cara mudah dan ringkas yang boleh dilakukan seterusnya menjadikan ruang berkenaan menarik. Salah satu konsep yang boleh dilaksanakan dan sesuai untuk laman terhad adalah pembinaan pancuran air mini yang boleh dibina sendiri tanpa mengupah kontraktor landskap.

Pancuran air akan mewujudkan kelainan kepada laman kediaman kerana ia bukan saja menarik tetapi mengeluarkan bunyian air yang menenangkan serta dapat mengalihkan bunyi hiruk pikuk kesibukan kawasan kejiranan seperti bunyi kenderaan. Dengan membina pancuran air, bukan saja dapat menjadikan ia titik tumpu laman, malah akan menjadi kawasan tumpuan ketika tetamu tiba di kediaman. Kawasan yang ada pancuran air juga boleh dijadikan tempat istirahat keluarga serta ruang menenangkan selepas seharian penat bekerja.

Bunyian daripada pancuran air turut menarik kehadiran unggas dan serangga kecil seperti pepatung dan juga rama-rama. Apa yang diperlukan bagi membina pancuran air adalah bekas besar seperti tempayan, takar atau mana-mana bekas yang tidak berlubang, pam dan alat penyembur air. Bagi menghidupkan suasana dan nampak lebih menarik, letakkan pelbagai pokok hiasan, batu, kemasan kayu dan hiasan laman lain. Limpahan air juga menghasilkan bunyi yang menenangkan untuk laman kediaman. Malah deruan air yang mencurah ke atas batu menghasilkan bunyi yang asli serta mewujudkan suasana hidup serba mendamaikan.

Pokok yang sesuai untuk pancuran air adalah ekor kucing (cat tail), kiambang, keladi bunting dan teratai. Pokok lain yang boleh dijadikan pilihan adalah duit-duit, calathea dan papyrus. Bagi menambahkan seri serta menghidupkan laman, hiasan replika haiwan diperbuat daripada tembikar dan gentian kaca seperti katak dan kura-kura juga akan menghidupkan lagi laman kediaman. Begitu juga hiasan seperti pasu dan labu air. Demi memastikan laman itu turut berseri pada malam hari, tidak salah jika meletakkan lampu laman tahan karat dan air di dalam kolam pancuran sebagai pencahayaan yang menampakkan kolam lebih menarik.

INFO: Pancuran buatan sendiri
Barang diperlukan bagi membina pancuran :

  • Pam pancuran (boleh gunakan pam solar lebih jimat tenaga)
  • Tiub silinder yang akan menghubungkan wayar dengan pam
  • Corong air (buluh, batang paip)
  • Apa-apa bekas yang tidak berlubang dan dapat menampung air seperti mangkuk sederhana besar, kuali lama, periuk tanah, labu atau pasu besar (paling sesuai 30.5 sentimeter tinggi dan diameter 30.5 sentimeter)

No comments:

Post a Comment