Monday, March 19, 2012

PELAJAR-PELAJAR MPV LANDSKAP SMKTK MEMBINA TAMAN SEKOLAH (1)

Pelajar-pelajar Landskap & Nurseri memikul amanah untuk membina sebuah taman di SMKTK. Mereka dibimbing oleh Cikgu Hasan Kasmuri, guru mata pelajaran MPV Landskap & Nurseri. Nama taman belum ada lagi. Taman yang berkonsepkan taman rekreasi itu terletak di sepanjang susur gajah bersebelahan gelanggang bola jaring. Berpandukan kepada pelan induk yang telah dilukis, pelajar-pelajar ini cuba menerapkan ilmu perlandskapan yang dipelajari ke alam nyata bagi tatapan, penghayatan dan kegunaan warga sekolah. Pada masa ini mereka sedang membentuk permukaan tanah. Diharap cuaca yang baik akan dapat membantu mereka menyiapkan pembentukan permukaan tanah ini.








Thursday, March 15, 2012

KEDIAMAN LESTARI

PERUBAHAN iklim tropika sejak kebelakangan ini memberi kesan langsung kepada kediaman. Ini menyebabkan sistem perlindungan tertentu diwujudkan supaya rumah lebih terjaga dari segi jangka hayat serta memberi keselesaan kepada penghuni.

Kesan panas dari sinaran matahari yang berlebihan kadang kala mengakibatkan ketidakselesaan pada penghuni ruang, walaupun penggunaan cahaya semula jadi amat digalak digunakan pada ruang kediaman. Selain itu, curahan hujan juga jika tidak dikawal akan mengakibatkan kerosakan pada bahan yang tidak tahan kepada air seperti kayu yang mudah reput dan berkulat.

Perlindungan perlu dilakukan bagi memelihara jangka hayat bahan dan mengelak daripada rosak, walaupun ketika ini banyak bahan dan kemasan yang boleh memberi perlindungan dari kesan iklim tetapi mungkin pada tempoh tertentu saja.

Cara terbaik adalah melihat kepada reka bentuk sesuatu binaan yang mengambil kira keperluan perlindungan dari kesan iklim. Beberapa cara yang sesuai memberi perlindungan kepada kediaman kesan iklim adalah;

Mengurangkan kesan matahari

Pencahayaan semula jadi daripada sinar matahari yang memancar sepanjang tahun mempunyai kesan sampingan iaitu silau dan panas. Oleh itu, apabila sesuatu ruang tidak menerima atau kurang menerima cahaya daripada luar, ruang itu akan menjadi gelap dan seterusnya dirasakan sejuk dan nyaman.

Sinaran matahari biasanya masuk melalui tingkap atau apa-apa jenis bukaan. Sinaran matahari itu akan masuk secara terus, berselerak atau pantulan dari permukaan di luar bangunan. Oleh itu, bahan bahan binaan dan kemasan yang menyinar haba daripada cahaya matahari harus dikurangkan.

Bagi mengelak kesan matahari yang dinyatakan, ada beberapa cara boleh dilakukan antaranya:
  1. Usaha menanam pokok di sebelah kaki lima supaya daun pokok itu dapat menyerap haba tanpa memantulkan bahang cahaya matahari. Sekiranya kita memerlukan cahaya dan bukannya bahang untuk menerangi ruang dalaman, penyelesaiannya ialah dengan menanam pokok kecil yang sesuai. Jika cahaya tidak diperlukan, pokok yang tinggi dari paras tingkap adalah sebaik penyelesaian. Pokok yang sesuai adalah jenis tidak menghalang laluan udara atau angin dan ketinggian separas tingkap supaya dapat menahan dari panahan sinaran matahari dan seterusnya membenarkan aliran udara dan pemandangan.
  2. Sekiranya kawasan sekitar rumah kediaman tidak membenarkan penghuni menanam pokok bagi mengurangkan sinaran matahari memasuki ruang, ada cara yang tidak semula jadi yang praktikal iaitu dengan memasang sirip atau ram tetap (louvers) yang diperbuat daripada kayu atau besi aluminium. Cara pemasangan yang ideal bagi kekisi sirip atau ram tetap (louvers) adalah dengan tidak melekat terus pada dinding. Cara pemasangan terpisah ini akan menyebabkan sinaran panas matahari tidak dapat masuk melalui bukaan pada bangunan.
  3. Selain daripada tingkap, sinaran dan bahang matahari juga meresap melalui permukaan dinding. Binaan dinding yang lebih luas daripada tingkap membolehkan penyerapan haba yang lebih banyak boleh berlaku. Dinding konkrit dan dinding batu bata akan menyerap haba pada waktu siang hari, penyerapan akan berlaku secara puncak pada waktu tengahari. Selepas itu, haba akan disimpan di dalam bahan itu dan akan dilepaskan keluar pada waktu malam kerana ketika itu udara dan suhu di luar sudah mula sejuk. Akibatnya, suasana suhu dalaman ruang menjadi tidak selesa kerana kesan suhu dengan tekanan tinggi akan mengalirkan haba ke bahagian suhu dengan tekanan rendah.

Ada beberapa cara mengurangkan kesan pendedahan sinaran dan bahang matahari;

  • Menanam tumbuhan menjalar pada bahagian luaran dinding. Tumbuhan menjalar seperti climbing ficus atau climbing ivy adalah tumbuhan yang sesuai dan boleh berfungsi sebagai elemen penebat atau rintangan kepada bahang sinaran matahari.
  • Sekiranya sinaran matahari menyinari permukaan bangunan yang gelap, sebahagian haba akan dipantulkan ke udara dan sebahagian lagi akan diserap. Haba yang diserap akan menyebabkan ruang dalaman akan menjadi tidak selesa. Sehubungan itu, permukaan dinding yang dicat dengan warna cerah dapat mengurangkan penyerapan cahaya matahari.

Mengawal kesan tempias hujan

Selain daripada kesan sinaran matahari kepada keselesaan ruang kediaman, curahan air hujan juga boleh dikawal bagi mengelak berlaku kerosakan kepada harta benda dan jangka hayat sesuatu bahan yang mudah rosak akibat terlalu terdedah kepada curahan hujan. Hujan yang berlaku di kawasan tropika biasanya mempunyai kadar curahan tinggi dan kadang kala mengakibatkan tempias sekiranya hujan berlaku disertakan angin.

Oleh itu, bagi mengelak masalah timbul akibat daripada curahan hujan yang berlebihan serta merosakkan bahan bangunan, beberapa usaha pengawalan perlu dilakukan:
  • Memastikan reka bentuk pengujuran atap (overhang) yang lebar dan panjang dapat mengelak dinding bangunan atau tingkap dan pintu dari terkena tempias hujan. Selain itu, binaan itu dapat menyediakan teduhan dari sinaran dan silau matahari.
  • Pemasangan talang (gutter) yang sempurna dan berterusan pada cucur atap dapat membantu mengawal curahan hujan. Talang yang digunakan untuk menyalur air hujan yang praktikal seharusnya berbentuk setengah bulatan. Dibandingkan dengan talang berbentuk persegi, talang setengah bulatan mengalirkan air dengan lebih baik dan tidak mudah menampung kekotoran.
  • Bagi mengelak tempias hujan yang akan menyukarkan aktiviti yang bakal dilakukan atau mengelak permukaan sisi dinding rosak, binaan kekisi atau ram tetap (louvers) juga boleh dilakukan. Bahan binaan kekisi daripada kayu atau aluminium banyak digunakan. Selain itu, kekisi ini boleh dijadikan sebagai penghadang sinaran matahari (sunscreen) yang baik dan tidak sepenuhnya menghalang proses pengaliran udara.
  • Penggunaan bahan yang kalis air harus digunakan pada bahagian yang selalu menerima tempias hujan. Contohnya, kaki tiang kayu boleh dibina daripada binaan konkrit kerana ini dapat mengelakkan kaki tiang cepat rosak akibat terkena tempias hujan. Kemasan yang kalis air boleh digunakan pada permukaan bahan yang terdedah kepada tempias hujan.

Perlindungan terhadap kesan iklim iaitu panas dan hujan perlu dilakukan dan dipantau bagi menjamin keselesaan penghuni kediaman. Bagi kediaman lestari, faktor keselesaan dan kesan kepada alam sekitar perlu ditangani dengan baik dan bijak. Ironi, kita perlu menyesuaikan apa juga reka bentuk dan bahan serta binaan yang hendak digunakan dengan mengambil kira keperluan dan kehendak alam sekitar.

Sumber: Berita Minggu

Sunday, March 11, 2012

LAMAN XERISCAPE


POKOK semarak api tumbuhan tahan lasak sesuai untuk Xeriscape.
TIADA siapa yang mahu laman kediaman gersang. Namun, ada satu konsep laman yang mengekalkan tema gersang. Mungkin agak pelik bunyinya tetapi gersang yang dimaksudkan ini bukanlah seperti padang pasir yang tidak ada tumbuhan kering dan kontang.

Sebaliknya, konsep laman gersang atau ‘Xeriscape’ ini adalah satu seni landskap unik dan menarik untuk dipraktikkan di laman kediaman. Konsep laman ini kurang menggunakan air dan penyelenggaraan yang terhad. Konsep laman ini sangat praktikal dan menjimatkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan Xeriscape? Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Bina Landskap, Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Azizi Mohd Ali, berkata Xeriscape adalah seni mewujudkan landskap yang kurang menggunakan air berbanding landskap konvensional lain.

Noor Azizi berkata, landskap konsep ini adalah alternatif yang makin popular bagi menjimatkan bekalan air dan kurang penyelenggaraan serta sesuai bagi laman kediaman di kawasan perbandaran atau ‘urban’.

RUMPUT kerja cantik dan menarik untuk laman Xeriscape.
Istilah xeriscape wujud daripada perkataan zero atau kosong/kering di mana mana amalan pengambilan air untuk tanaman dikurangkan bagi mengelak pembaziran bahan mentah berkenaan.

“Konsep ini diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) dalam pameran reka bentuk pada 1980. Ia berkembang bagi menggalak penanaman di kawasan yang sukar mendapat bekalan air termasuk lokasi berhampiran padang pasir atau kawasan kering. Malah, laman konsep ini popular di kawasan bandar untuk pemilik kediaman yang sibuk dan tiada masa menyelenggara laman,” katanya menamakan Taman Botani Denver AS sebagai contoh terbaik konsep laman berkenaan.

Tumbuhan untuk laman konsep ini adalah jenis tahan lasak dan tidak memerlukan banyak air atau kerap disiram. Namun, tidak semestinya tumbuhan untuk konsep ini adalah dari jenis kaktus. Banyak lagi tumbuhan lain yang sesuai seperti Agave, Sansevieria (Lidah Jin), Aloe Vera (Lidah Buaya), ros jepun, pokok semarak atau ‘Bird of Paradise’, Elaeagnus angustifolia, Asclepias tuberosa dan Buffalograss (Buchloe dactyloides).
  
DIKENALI sebagai Russia Sage cantik dan berbau wangi.
Antara kelebihan laman jenis ini adalah ia mengurangkan penggunaan air dan penggunaan semula air daripada lebihan domestik dan komuniti lain serta alam sekitar. Pemilik kediaman yang membangunkan laman jenis ini boleh mengurangkan masa dan kerja untuk penyelenggaraan laman serta kurang tekanan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada laman kediaman. Penyelenggaraan rumput seperti kerja memotong rumput juga dapat dikurangkan kerana konsep laman ini mengehadkan jumlah ruang untuk tanaman rumput.

Konsep ini juga menyesuaikan reka bentuk, aksesori dan tumbuhan supaya dapat ‘berdikari’ atau hidup tanpa bantuan ubat kesuburan atau baja, menggunakan sungkupan dan air hujan.

Noor Azizi berkata, walaupun Xeriscape menjimatkan air dan pokok tahan lasak atau kurang air, tidak bermakna pilihan pokoknya hanya kaktus kerana berbeza dengan laman kaktus dan laman batuan.

“Laman Xeriscape masih mengekalkan penggunaan tumbuhan termasuk tumbuhan tropika. Sebaliknya, laman kaktus seakan laman ala padang pasir hanya menggunakan pokok kaktus semata-mata. Manakala laman batuan banyak menggunakan batu dan pasir dalam pelbagai saiz dan bentuk. Malah jumlah pokok dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata, laman Xeriscape sesuai untuk penjimatan kos landskap bagi majlis perbandaran. Ini kerana menurutnya, tanpa penjagaan rapi pokok masih mampu ‘berdikari’ dan dapat hidup serta membesar seperti tumbuhan dalam hutan.

“Sudah tentu kos penyelenggaraan dapat dikurangkan jika konsep ini dilaksanakan pihak berkuasa tempatan dan kos itu boleh digunakan untuk pembangunan komuniti,” katanya.

INFO

Tumbuhan taman xeriscape
  •  Bunga Ros Jepun (Moss Rose) - Dikenali dengan nama saintifiknya, Portulaca grandiflora iaitu pokok penutup bumi dengan bunga berwarna-warni yang sesuai ditanam dalam bekas tanaman atau di atas batas laman. Daun dan batang yang berair membolehkannya mengeluarkan bunga yang berwarna-warni sepanjang musim panas. Ada pelbagai jenis dan spesies dengan bunga jenis mekar dan kuncup. Pokok ini sangat sesuai ditanam berhampiran celah batu-batu selain dalam bekas tanaman dan pasu gantung.
  •  Bunga Semarak (Bird of Paradise) - Ada yang menggelarkan sebagai bunga burung syurga atau bunga gurun syurga. Nama saintifiknya (Caesalpinia gilliesii) di mana pokok boleh mencapai ketinggian hingga 10 kaki. Daun pokok ini halus manakala bunganya mempunyai bulu halus seperti benang dan bulu ayam. Bunganya berwarna merah, jingga atau kuning bunga dengan stamen yang panjang merah dihasilkan sepanjang musim panas.
  • Zaitun Russia (Silverthorn) - Pokok ini juga dipanggil silverthorn atau silverberry. Nama saintifiknya Elaeagnus angustifolia sangat sesuai untuk penanaman di kawasan kering dan panas lembap. Pokok mudah hidup walaupun pada musim kemarau atau lebih tiga bulan tanpa hujan. Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga lebih 10 kaki. Pokok ini cepat membesar dan jika tidak dipangkas boleh mengotorkan kawasan sekitar. Namun, ia punya bunga yang cantik kecil berwarna putih dan juga berbau wangi. Selepas bunga gugur muncul buahnya seakan beri merah yang biasanya menarik hidupan liar seperti burung dan kelawar.
  • Rumput Kerbau (Buffalograss) - Nama saintifiknya Buchloe dactyloides adalah tumbuhan asli yang tumbuhan di kawasan dataran dan pergunungan pedalaman utara AS. Sesuai untuk kawasan tanah beralkali termasuk kawasan lembap dan berlumpur. Hampir menyerupai rumput padang ragut, bunga rumput ini sangat cantik dan kini popular untuk kawasan padang. Cepat membiak namun kurang penyelenggaraan termasuk kerap mahu dipotong seperti rumput padang biasa.
  • Rusia Sage - Rusia Sage (Perovskia atriplicifolia) dijumpai kawasan tanah kering berbatu di Afghanistan. Namun, ia hidup subur di bawah sinaran cahaya matahari penuh dan saliran yang baik. Ia tumbuh tiga kaki tinggi dan dua kaki lebar. Warna daun seperti lavender iaitu ungu lembut dan bunganya menghasilkan bau yang wangi. Pokok renek ini mengeluarkan bunga yang berwarna biru atau ungu pada musim panas.
  • Agave - Nama saintifiknya Agave angustifolia manakala di desa dikenali sebagai pokok Kelumpang Telur. Pokok Kelumpang Telur adalah sejenis pokok yang mempunyai bahan toksin iaitu Agavoside A dan Asid Oksalik. Getah dan durinya akan menyebabkan luka dan keradangan akibat bahan kimia. Daun kelumpang telur berwarna hijau, keras dan tajam di hujung serta dikelilingi oleh warna kuning atau putih. Ia mengandungi banyak air dan tidak berbatang, tetapi boleh tumbuh setinggi satu meter. Di kampung biasanya duri pokok ini dihiasi dengan kulit telur dengan tujuan melindungi duri terkena penghuni kediaman.
  • Lidah Jin - Pokok lidah jin atau sansevieria mempunyai lebih daripada 70 spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga Ruscaceae. Tumbuhan ini mempunyai pohon yang kecil berair dengan kehijau-hijauan daun yang tumbuh dari 20 sentimenter (sm) hingga 3 meter tinggi, kebanyakannya membentuk kelompok yang dalam daripada rizom atau stolon yang disebarkan. Bunganya berwarna kelabu berputih-putihan dan pada tangkai bercabang 40-90 sm panjang. Sesetengah spesies menghasilkan buah berwarna merah atau jingga.
  •  Lidah Buaya - Lidah Buaya adalah salah satu tumbuhan daripada 250 spesis Aloe serata dunia. Aloe adalah tumbuhan asli berasal dari Afrika dan Madagascar. Ia membiak dengan baik di lembangan Mediterranean dengan merentasi Algeria, Maghribi, Tunisia serta kepulauan Canary dan Madeira. Lidah buaya digunakan sebagai ubatan tradisional untuk melegakan luka, ruam, demam, gatal-gatal, kulit dan banyak lagi. Daun pokoknya menyimpan air yang menyebabkan ia tahan walaupun tidak disiram air lebih seminggu.

Sumber:  Berita Minggu

Wednesday, March 7, 2012

AHLI KELAB LANDSKAP MENERUSKAN USAHA PROJEK FERTIGASI ROCKMELON

Hari ini ahli-ahli Kelab Landskap masuk ke kebun fertigasi. Rupa-rupanya usia tanaman rockmelon dah masuk minggu ke-7. Ahli-ahli kelab bergotong-royong menyenggara tanaman tersebut. Ahli-ahli dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membuat beberapa kerja penyenggaraan. Kerja-kerja yang dilakukan ialah memangkas sulur-sulur, mencelup buah dengan GA, membungkus buah yang dah besar, menyapu dan membersihkan sulur-sulur yang telah dipangkas dan menambak kawasan yang becak dengan pasir.