Saturday, December 4, 2010

EDIBLE GARDEN (TAMAN DAPUR) DI MAHA INTERNATIONAL 2010

Mengambil kesempatan cuti sekolah di hujung tahun ini, kami pergi ke MAHA International 2010 di MAEPS. Dah lama saya menunggu saat ini. Perkembangan pertanian termasuk hortikultur memang menjadi perhatian saya.

Perjalanan selama 3 jam rasa berbaloi apabila masuk ke MAHA ini adalah percuma, tiada bayaran dikenakan. Kira oklah tu... Orang punyalah ramai menjadikan lokasi-lokasi tertentu menjadi sesak terutamanya di dalam dewan-dewan pameran. Nak berjalan pun susah, aysik bersentuh bahu dengan orang lain. Sambutan MAHA pada tahun ini amat luar biasa.

Banyak maklumat yang boleh didapati dalam lawatan ini. Untuk blog ini saya fokus kepada taman dapur (edible garden) di pavilion-pavilion 13 negeri. Nak cari idea cara penataan dan susun atur. Kami berminat kepada taman dapur ini kerana selain daripada ia sebuah taman yang cantik, tumbuh-tumbuhannya bukan sahaja berwarna-warni tetapi ia boleh dimakan. Itulah keistimewaan dan kelebihan taman dapur.

Setiap pavilion di MAHA ini berusaha menampilkan rekabentuk taman dapur ini. Kebanyakan sayur-sayuran tidak ditanam ke medium. Sayur-sayur ini masih di polibeg. Ianya hanya diletak dan disusun mengikut rekabentuk. Saya faham keadaan ini sebab selepas pameran tamat tentunya pavilion ini akan ditinggalkan.

Kami dapat tahu, taman dapur ini dipertandingkan. Secara mata kasar, saya dapati taman dapur pavilion negeri Johor kelihatan lebih cantik, mantap, kombinasi pemilihan sayur-sayuran sesuai dan rekabentuknya menarik. Kami mengatakan begitu bukan kerana kami dari Johor, tetapi memang ia kelihatan menarik.

Lihatlah foto-foto ini. Hakikatnya taman dapur memang cantik dan bermanfaat kepada penggunanya.