Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Monday, August 31, 2015

#SEHATISEJIWA MERDEKA

Sehati Sejiwa, tema Hari Kebangsaan 2015 menggambarkan keutuhan, perpaduan, kesefahaman, bersatu dalam menempuh saat kejayaan dan detik kesusahan seluruh rakyat negara ini. Rakyat Malaysia dituntut supaya taat setia tanpa berbelah bahagi. Jiwa raga dan kesetiaan hanya kepada tanah air tercinta. 

Jika kita mengamati bait-bait lirik lagu Hari Kebangsaan 2015 ternyata lagu ini menyuntik semangat dan roh perjuangan rakyat Malaysia. Lirik ini mengajak kita agar memantap jiwa lebih tabah dan kental menempuh segala rintangan dan dugaan yang menimpa negara ini. 

Tema kali ini mengajar rakyat Malaysia agar dapat membina semangat sehati sejiwa di mana jua kita berada. Sehati sejiwa turut membawa maksud budaya seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu dan bekerjasama serta bersatu dalam apa juga kejayaan dan rintangan yang berlaku di negara tercinta Malaysia. Walaupun berbeza adat resam, kepercayaan dan budaya, namun bukan faktor untuk kita berselisihan. Masyarakat yang berjiwa merdeka meletakkan kepentingan umum lebih utama daripada kepentingan sendiri. Suka dan duka bersama semangat sehati sejiwa.

Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang proaktif dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Individu yang berjiwa merdeka ialah berfikiran kreatif, inovatif dan penyayang. Bukan sekadar pengguna namun mampu mencipta dan menampilkan idea-idea baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat, individu berjiwa prihatin saling bantu membantu dan bertoleransi demi kelangsungan bangsa dan negara. 

Prinsip Kemerdekaan bukan sekadar bebas untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Masyarakat yang berjiwa merdeka mestilah seorang patriot, hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu. 

Masyarakat yang berjiwa merdeka harus digerakkan sebijaksana mungkin hingga mampu memartabatkan jati diri, imej keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan tidak berbelah bahagi. 

Jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri. Jiwa merdeka menuntut pengorbanan dan keperluan bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara.

Memiliki jiwa yang merdeka bermaksud mempunyai ketenangan hati dan minda, kehidupan membahagiakan di samping insan-insan tersayang. 

Semangat 'sehati sejiwa' perlu diterap dalam diri generasi muda masa kini ini agar mereka menghargai erti kemerdekaan seterusnya mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Semangat semarak ini perlu ditekankan khususnya dengan perisian semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda kerana erti kemerdekaan itu bakal melahirkan kekuatan ekonomi negara. 

Roh dan semangat sehati sejiwa perlulah dihayati dan diinsafi. Jadilah rakyat yang setia kepada negara yang satu - Malaysia dan sejiwa dalam menempuh segala dugaan dan rintangan bersama demi negara tercinta.

Friday, August 21, 2015

BBM MATA PELAJARAN LANDSKAP

Berikut adalah bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh guru-guru landskap sekolah ini. Dengan adanya bahan ini diharapkan ianya dapat memberi gambaran kepada pelajar-pelajar secara menyeluruh mengenai landskap.


1.  LANDSKAP 

2.  PENGENALAN LANDSKAP

3.  DEFINISI, FAKTOR DAN KEPENTINGAN LANDSKAP 

4.  JENIS LANDSKAP 

5.  REKA BENTUK LANDSKAP 

6.  PRINSIP REKA BENTUK LANDSKAP 

7.  PROSES REKA BENTUK LANDSKAP

8.  PELAN DAN BINAAN SEBENAR LANDSKAP 

9.  IDEA LANDSKAP  

10.  PENANAMAN DAN PENYENGGARAAN LANDSKAP

11.  RAHSIA LANDSKAP YANG BERJAYA

12.  RAHSIA TAMAN BERSERI

13.  TAMAN MINI


Saturday, August 15, 2015

JADUAL SPESIFIKASI UJIAN LANDSKAP DAN NURSERI

Untuk memudahkan membina item ujian atau peperiksaan mata pelajaran MPV Landskap dan Nurseri, berikut adalah JSU tersebut. Dengan bantuan JSU ini, pembina item mata pelajaran ini tidak keliru atau tersasar daripada bentuk item yang dikehendaki. 

Sila klik...

JADUAL SPESIFIKASI UJIAN

Thursday, August 13, 2015

KOMPOS DAN CARA MEMBUATNYA

1.  Kompos 

  • Kompos ialah sejenis baja organik hasil reputan sisa tumbuhan, sisa makanan dan najis haiwan.  
  • Baja kompos terhasil apabila bahan organik mereput dan pecah kepada bahan yang kaya dengan nutrien yang dipanggil “humus” melalui haba dan respirasi yang dilakukan oleh organisma dalam tanah (cacing, semut, bakteria dan kulat). 
  • Apa-apa sahaja bahan organik, contohnya daun dan sisa makanan boleh menjadi baja kompos. 
  • Pembuatan baja kompos dapat membantu menyelesaikan banyak masalah alam sekitar jika dilakukan dalam sesebuah komuniti dan disertai oleh ramai individu. 
  • Hampir 40 peratus daripada sampah sarap di rumah kita setiap hari terdiri daripada sayur-sayuran dan sisa dapur yang lain. 
  • Pembuatan baja kompos menggunakan bahan organik ini dengan mengitar semula sampah kepada humus yang kaya dengan nutrien.
  • Kompos digunakan sebagai pengganti baja kimia dalam penanaman sama ada tanaman hiasan atau tanaman makanan. 
  • Penggunaan kompos dapat membantu berjimat cermat. 
  • Bahan untuk membuat kompos mudah didapati.
  • Membuat kompos dapat melupuskan sisa-sisa makanan, sampah atau tumbuh-tumbuhan.

2.   Kepentingan kompos
  • Dapat menambahkan kesuburan tanah dengan cara membekalkan nutrien kepada tanaman.
  • Memperbaiki struktur tanah dan pengudaraan.
  • Dapat memperbaiki pengudaraan dan saliran bagi tanah liat dan menahan lebih banyak air dalam tanah yang berpasir.
  • Dapat menggantikan baja kimia.

 3.  Bahan kompos
  • Sisa tumbuhan - Jerami padi, batang jagung, rumput, daun dan lalang. Ia sebagai bahan utama kompos.
  • Sisa makanan - Saki-baki makanan, kulit buah-buahan, kulit udang dan sisik ikan. Ia bahan utama kompos.
  • Najis ternakan - Najis lembu, tahi ayam, dan tahi kambing. Mengandungi mikroorganisma yang membantu proses pereputan.
  • Kapur - Kapur tohor, kapur mati dan dolomite.

4.  Pembinaan kompos
  1. Bahan yang hendak dijadikan kompos dipotong halus menggunakan mesin shredder atau parang.
  2. Bina selapisan 10-15 cm bahan kasar sebagai tapak asas. Bahan ini terdiri daripada batang jagung, batang padi, dan ranting kayu.
  3. Di atas tapak asas, letakkan selapisan sisa tanaman setebal 10-15 cm.
  4. Taburkan selapisan kapur di atas lapisan ini.
  5. Di atas lapisan kapur, letakkan selapisan sisa makanan lagi setebal 10-15 cm.
  6. Letakkan selapisan najis ternakan setebal 2.5 cm - 5 cm.
  7. Ulang langkah 22, 3, 4, dan 5 sehingga mencapai ketinggian 1.2 m. Lebarnya ialah 1,5 m X 1.5 m.
  8. Siram timbunan sehingga lembab.
  9. Di atasnya tutup dengan bahan kasar seperti batang jagung atau jerami padi untuk mengelakkan sejatan air dan air hujan yang berlebihan memasuki timbunan.

 5.  Menguji kejayaan kompos
  • Cucuk batang kayu di tengah-tengah timbunan kompos selama 10-15 minit.
  • Keluarkan batang kayu dan rasakan dengan tangan.
  • Batang kayu panas dan lembab - Bahan kompos senag diurai. Biarkan proses pereputan terus berlaku.
  • Batang kayu kering dan sejuk - Proses uraian tidak berlaku. Timbunan kompos perlu dibina semula.
  • Batang kayu panas dan kering - Timbunan kompos perlu disiram air. Teruskan.

6.  Membalik-balikkan timbunan kompos.
  • Satu longgokan baja kompos mempunyai “suhu optima” di mana proses pereputan berlaku paling cepat. 
  • Walau bagaimanapun, hawa di kawasan tropika sudah cukup sesuai untuk penghasilan baja dan kita tidak perlu bimbang tentang perkara ini. 
  • Selepas 4 minggu, timbunan kompos perlu dibalikkan untuk menentukan proses reputan berlaku secara rata dan sempurna.
  • Ia dapat membaiki saliran dan pengudaraan timbunan kompos.
  • Balikkan dan gaulkan kompos. Bina semula timbunan kompos.
  • Selepas 4 - 5 hari, uji semula timbunan kompos.  
  • Uji semula timbunan kompos.
  • Biarkan selama 4 - 5 minggu supaya timbunan kompos mereput sepenuhnya.
  • Kompos yang telah dibuat dengan baik akan berwarna hitam, tidak berbau, dan semua bahan kompos telah reput. 
  • Jika penghasilan baja dilakukan dengan betul, longgokan tersebut sentiasa lembap dan dibalik-balikkan dengan kerap, longgokan itu sepatutnya berbau seperti daun basah atau seperti bau dalam hutan. Ia tidak sepatutnya berbau busuk!

Monday, August 10, 2015

PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 5 LANDSKAP BERFOTO KENANGAN DI TAMAN YANG MEREKA BINA

Inilah wajah-wajah beberapa orang pelajar Tingkatan 5 Landskap SMKTK yang telah bersama-sama membina beberapa taman di kawasan sekolah ini. Dengan usaha mereka dan abang-abang mereka terdahulu, wujudlah beberapa taman mini. Mereka diajar dan belajar daripada menyemai tanaman hiasan, membuat penyenggaraan, membina aksesori taman sehingga membina taman melalui proses pembelajaran MPV Landskap sama ada di dalam kelas atau di lapangan. Pada hari ini mereka teringin berfoto bersama di taman yang mereka bina sebagai kenangan kerana tidak berapa lama lagi mereka akan menamatkan pembelajaran di sekolah ini. Mudah-mudahan mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.















Friday, August 7, 2015

TEKNIK PENYIRAMAN YANG BETUL

1.  Lakukan penyiraman pada awal pagi.
  • Bekalan air pada waktu pagi akan membekalkan keperluan air kepada tanaman hiasan di sepanjang hari terutamanya untuk proses fotosintesis. 
  • Selain itu ia juga berupaya membantu mengurangkan kadar hidrasi kerana akar pokok telah menyerap air yang diperlukan.

2.  Siram terus ke permukaan tanah.
  • Ramai orang akan melakukan penyiraman secara terus ke atas daun walhal yang memerlukan air adalah akarnya. 
  • Tanaman hiasan yang mempunyai daun yang berbulu akan mudah melecur jika enyiraman dilakukan terus pada permukaannya. 
  • Apabila air bertakung pada permukaan daun berbulu, ia akan menggalakkan pertumbuhan bakteria, kulat dan mildew pada kawasan yang bertakung air.

3.  Jangan berharap sepenuhnya kepada air hujan.
  • Walaupun hujan turun dan telah membasahi tanaman hiasan, lakukan pemeriksaan untuk memastikan keseluruhan tanah atau medium di dalam pasu lembab. 
  • Kadangkala, hujan yang mencurah tidak dapat menembusi permukaan tanah terutamanya untuk tanaman hiasan mempunyai silara yang padat.

4.  Jangan biarkan tanah kering sepenuhnya.
  • Ada kalanya medium yang kurang digemburkan akan mula mengeras hingga menyebabkan air tidak dapat diserap. 
  • Hal ini akan berlakunya sekiranya medium di dalam pasu dibiarkan kering sepenuhnya. 
  • Melakukan penyiraman segera akan dapat membantu perkara tersebut daripada terus berlaku.

5. Guna sungkupan untuk mengekalkan kelembapan
  • Untuk mengekalkan kelembapan pada medium, gunakan sungkupan seperti hampas kayu, sabut kelapa dan sebagainya memenuhi permukaan pasu. 
  • Di samping itu juga, ia membantu mengurangkan kadar pertumbuhan rumpai. 
  • Permukaan pasu yang ditutupi sungkupan kelihatan lebih kemas dan menarik.  




Wednesday, August 5, 2015

MENUKAR PASU / PEMASUAN SEMULA

Tanaman hasan yang ditanam dalam pasu semakin membesar dan saiznya pula tidak sepadan dengan pasu asal. Keadaan ini memerlukan tanaman hiasan itu dia;ihlan ke dalam pasu lain yang lebih bersesuaian.

Tanda-tanda atau petunjuk tanaman hiasan dalam pasu perlu dialihkan ke dalam pasu yang lebih sesuai ialah: 
  • Tanaman tersebut tidak lagi mengeluarkan jumlah daun yang banyak. 
  • Saiz tanaman hiasan tidak bersesuaian lagi dengan saiz pasu. 
  • Akar-akar tanaman hiasan itu keluar dari lubang di bawah pasu. 
  • Air yang disiram lama tergenang di permukaan medium tanaman. 
  • Medium keras. 
  • Pasu asal retak atau pecah.

Proses menukar pasu 

1.  Apabila menukar pasu, gunakan pasu baru yang mempunyai saiz lebih besar berbanding yang lama. Ini akan member lebih ruang kepada tanaman tersebut untuk membesar dengan lebih sempurna. 

2.  Pastikan daun dan batang yang mati, reput dan sebagainya dibuang untuk mengelakkan jangkitan penyakit.


 3.  Selepas selesai proses ini, terus siram tanaman hiasan tersebut dan berhenti apabila air telah mula keluar di bahagian bawah pasu. Jangan biarkan bahagian bawah pasu atau akar tanaman hiasan terendam kerana ini akan membuatkannya mereput lalu mati.


4.  Proses menukar pasu bukan sahaja perlu untuk tanaman hiasan yang sudah membesar tetapi boleh juga dipraktikkan untuk mengembalikan kesegaran kepada tanaman hiasan yang Nampak lesu dan tidak bermaya. Ini dapat dijayakan dengan hanya menukar medium tanaman yang dirasakan sesuai dan ini akan menjamin system aliran air dan pengudaraan yang lebih baik.

5. Cara membuat pemasuan semula:

  1. Pilih pasu yang sesuai. 
  2. Pasu direndam semalaman dengan air dan formalin. 
  3. Tutup lubang saliran dengan bahan yang sesuai seperti batu kecil/serpihan pasu/jaring hijau. 
  4. Sediakan medium memasu iaitu 3 bahagian tanah loam, 2 bahagian bahan organic dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul ketiga-tiganya sehingga sebati. 
  5. Pangkas ranting, daun dan dahan yang telah mati atau yang telah layu.
  6. Keluarkan tanaman hiasan daripada pasu lama. 
  7. Potong sebahagian akar yang berlebihan. 
  8. Buang sebahagian medium lama. 
  9. Memasukkan medium penanaman sehingga paras yang sesuai dengan saiz tanaman hiasan. 
  10. Masukkan tanaman hiasan pada kedudukan yang betul iaitu di bahagian tengah pasu. 
  11. Menambah medium pemasuan sehingga paras yang sesuai dari permukaan pasu iaitu lebih kurang 2 cm dari permukaan pasu. 
  12. Padatkan medium di sekeliling pangkal tanaman hiasan. 
  13. Letakkan di tempat teduh secukupnya iaitu lebih kurang 50% naungan. 
  14. Siram secukupnya iaitu keseluruhan medium lembab.



Selamat mencuba...

Tuesday, August 4, 2015

TIP MEMILIH MEDIUM TANAMAN BERPASU

Kualiti tanaman hiasan berpasu bergantung kepada jenis medium yang digunakan. Pemilihan medium tanaman yang bakal digunakan adalah penting. Ini adalah untuk memastikan medium yang dipilih sesuai dengan keperluan tanaman. 

Medium tanaman pasu perlu diolah dan memerlukan penambahan beberapa jenis bahan lain untuk memastikan ia dapat memberikan pengudaraan dan saliran yang baik. Tanaman berpasu adakalanya tidak memerlukan tanah dengan kadar yang banyak, cukup sekadar penggunaan bahan
organik seperti peat moss, hampas dan sabut kelapa dan pelbagai bahan yang lain. 

Tip memilih medium tanaman berpasu:

1.  Harga bukan ukuran. Walaupun terdapat pelbagai jenis, saiz dan harga medium tanaman di pasaran, medium yang dijual pada harga yang sedikit tinggi kebiasaannya tidak menjadi pilihan utama pembeli. Walhal, medium tanaman tersebut mempunyai kualiti yang cemerlang dan lengkap untuk memastikan tumbesaran pokok yang sihat.

2.  Perhatikan senarai isi kandungan medium pada plastik pembungkusan untuk memastikanmedium yang dibeli bersesuaian dengan jenis tanaman yang bakal ditanam. Pastikan kandungan utama seperti sphagmum peat moss, perlite dan vermiculate terdapat di dalam senarai bahan.

3.  Kenal pasti bahan kompos yang digunakan terdiri daripada bahan semula jadi seperti habuk kayu dan daun. Berhati-hati dengan medium tanaman yang dijual pada harga murah tetapi menggunakan hasil buangan pepejal.

4.  Jika dibenarkan untuk membka plastik pembalut untuk melihat dan merasai sendiri tekstur medium yang terdapat dalam plastik tersebut. Elakkan daripada membeli medium yang mengandungi bahan campuran berskala besar yang terdiri daripada kayu, sabut kelapa dan sebagainya.

5.  Hindarkan daripada membeli medium tanaman yang berketul. Medium tanaman daripada jenis ini kebiasaannya mempunyai masalah saliran dan udara yang tidak cukup hingga boleh menyebabkan akar pokok lemas.

KOLAM HIASAN: TIP MEMBINA DAN MENYENGGARA


Berhajat ak bina kolam hiasan yang diimpikan? Justeru bagaimana kita boleh membina sebuah taman kolam hiasan yang menarik dan sentiasa terjaga?

Mewujudkan sebuah kolam hiasan walaupun kecil, sebenarnya mencipta pelbagai manfaat tanpa melibatkan kos yang tinggi. Ciri-ciri air ini selain menyumbang kepada suasana alam semula jadi, ia juga membuatkan suasana kediaman lebih sejuk. Sebuah taman air bersaiz kecil boleh ditambah dengan tumbuhan akuatik dan ikan hiasan agar kelihatan harmoni.

Jika kita ingin membina sendiri sebuah kolam hiasan yang menjimatkan kos, binalah sesuatu bermula dengan saiz kecil dahulu. Walaupun kecil, mungkin ia bakal menjadi projek yang sangat menyeronokkan.Agar kolam hiasan ini sentiasa berfungsi dan terjaga rapi, haruslah kita membuat penyenggaraan secara berkala.


Berikut adalah panduan untuk membina kolam hiasan yang boleh dibuat sendiri:

1.   Tentukan ciri-ciri asas kolam
  •  Tentukan dahulu bagaimana rupa kolam yang dikehendaki sama ada ianya above ground pond atau inground pond. 
  • Adakah kita mahu ia kelihatan separas tanah atau ia kelihatan di atas permukaan tanah. 
  • Berapakah saiz dan kedalaman kolam. 
  • Apakah fungsi kolam itu? 
  •  Kebiasaannya sebuah kolam hiasan adalah lebih kepada hiasan landskap semata-mata. 
  • Ia dihiasi dengan tumbuhan akuatik, batu sungai, dan juga ikan hiasan. 
  • Kebanyakan kolam memberikan hasil terbaik di lokasi yang menerima pancaran cahaya matahari, kerana persekitaran kondusif membolehkan tumbuh-tumbuhan untuk hidup dan membesar. 
  • Pertimbangkan juga kawasan yang bersesuaian yang miungkin kita nikmati pemandangan kolam tersebut dari dalam kediaman. 
  • Elakkan memilih tempat yang berhampiran dengan pokok-pokok, kerana mungkin boleh merosakkan system akarnya. 
  • Mulakan dengan penanaman tumbuhan akuatik dan lihat sejauh mana kejayaannya. Kemudian barulah diletakkan ikan-ikan hiasan.


2.  Pam air
  •  Pam air digunakan untuk mengalirkan air, memancutkan air dan juga untuk memberi buih-buih pengudaraan untuk ikan. 
  • Kapasiti pam air hendaklah bersesuaian dengan saiz kolam.

3.  Menanam tumbuhan akuatik
  •  Tanam hanya beberapa spesies tumbuhan akuatik untuk memelihara keadaan kolam. 
  • Bentuk daun berbeza boleh menghasilkan komposisi menarik visual kolam. 
  • Tumbuhan akuatik ini boleh ditanam di dalam pasu sebelum dimasukkan didalam kolam hiasan ataupun dibiarkan terapung. 
  • Pasu ini boleh diatur dengan ketinggian yang berbeza menggunakan bata yang dialas di bawahnya. 
  • Tumbuhan akuatik yang terapung boleh dimasukkan kemudian setelah air diisi ke dalam kolam.

4.  Keperluan filter untuk kolam
  •  Filter (penapis) pam air dan pam air dapat mengekalkan kelangsungan kondisi kolam yang cemerlang. 
  • Pam dan penapis perlu untuk menghasilkan air yang bersih dan sentiasa bergerak supaya tumbuh-tumbuhan atau ikan dapat hidup dengan baik. 
  • Hidupkan pam dan biarkan ia menjana proses kitaran air selama 24 jam sebelum memasukkan tumbuhan akuatik atau ikan hiasan.


5.  Penjagaan dan penyenggaraan air kolam hiasan
  •  Mengekalkan rutin penjagaan kolam secara konsisten lebih susah berbanding membinanya. 
  • Kolam akan mula hilang daya menariknya apabila kita mengabaikan penjagaannya. 
  • Pantau kualiti air setiap bulan. 
  • Jenis bahan yang telah masuk ke dalam kolam akan member kesan yang besar kepada kekerapan kita mencuci kolam. 
  • Terlalu banyak tumbuhan yang rosak atau sisa perkumuhan ikan di dasar kolam, akan mengganggu habitat ikan peliharaan dan kualiti air. 
  • Kualiti air akan menentukan tahap kesihatan ikan dan tumbuh-tumbuhan akuatik di dalamnya. 
  • Memastikan tahap pH air yang bersesuaian untuk menentukan keasidan air sesuatu kolam. 
  • Cuba pastikan nilai bacaan nilai pH air di antara 6.8 hingga 9.0 iaitu nilai yang sesuai untuk ikan dan tumbuh-tumbuhan akuatik. 
  • Hadkan jumlah makanan yang diberikan kepada ikan kerana makanan ikan yang berlebihan di dalam air mempengaruhi kehadiran jumlah nitrat. 
  • Nitrat sangat bertoksik kepada ikan dan ia boleh dikawal dengan menukar air serta mencuci sistem filter. 
  • Penyenggaraan kolam secara berkala perlu dilakukan supaya kolam sentiasa jernih dan ikan dapat hidup selesa dalam habitatnya. 
  • Penyakit yang boleh merosakkan tumbuhan dan ikan akan tersebar melalui air yang mana tidak dapat dilihat oleh mata kasar serta tidak akan menunjukkan kesan secara mendadak. Ia akan mengurangkan imuniti ikan dan tumbuhan secara perlahan lalu menyebabkannya lemah dan mati.

Monday, August 3, 2015

TEMA HARI KEMERDEKAAN TAHUN 2015




 
Sambutan Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan pada tahun 2015 lebih menekankan kepada semangat kejiwaan dan bersatu hati rakyat Malaysia apabila Sehati Sejiwa dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun 2015. Pemilihan tema #sehatisejiwa telah diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

#sehatisejiwa mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini selain melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh semua rakyat tidak kira di mana mereka berada. Sehati dan sejiwa pada perpaduan di antara kaum dan bangsa di negara kita Malaysia yang unik tersendiri.

Sebagai makluman, mulai tahun 2015 sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lagi disebut berdasarkan ulang tahun, sebaliknya mengikut tahun. Melambangkan perpaduan antara Sabah, Sarawak dan Semenangjung, walaupun terpisah diantara laut china selatan gitu kita adalah satu negara yang sentiasa memerlukan diantara satu sama lain. Sehati sejiwa turut membawa maksud bersama membantu antara satu sama lain jika sesebuah negeri mengalami malapetaka.

TIP BINA EDIBLE GARDEN


1.  Kenal pasti tempat yang sesuai untuk membina edible garden. Tidak semestinya ruang yang diperuntukkan untuk membinanya perlu besar. Yang penting ia mudah untuk dicapai dan berhampiran dengan punca air untuk penyiraman.
 
2.  Tempat yang bakal dipilih perlulah mempunyai pengamatan cahaya sekurang-kurangnya lapan jam untuk tanaman jenis berbuah dan empat jam untuk yang berdaun.
 
3.  Lakar sebuah plan reka bentuk untuk mudah mengenal pasti jenis kuantiti tanaman yang boleh ditanam. Ini penting untuk memastikan tanaman dapat membesar dengan sempurna dan sihat. Jika tanaman yang disemai terlalu rapat, ia akan menyebabkan tanaman tersebut bantut.
 
4.  Tanamlah tanaman bercampur untuk memberi kepelbagaian terhadap edible garden. Kawal penanaman tanaman yang cepat untuk dituai seperti bayam, kangkung, sawi dan sebagainya untuk mengelak daripada berlakunya perlambakan. 

5.  Pastikan tumbuhanan kegemaran ditanam terlebih dahulu. Ada di antara pemilik gemar menanam tanaman yang kelihatan menarik dan cantik. Ini akan menyebabkan lambakan tanaman yang tidak dimakan hingga memberi masalah untuk melakukan penyemaian benih tanaman lain. 

6.  Untuk ruang sempit, pilih bekas atau pasu yang ringan untuk meudahkan penyenggaraan. Bahan terbuang seperti botol plastik, kotak kayu dan sebagainya boleh digunakan sebagai bekas tanaman. 

7.  Edibe garden perlukan penyenggaraan yang kerap untuk mendapatkan hasil yang memberangsangkan. Ia perlu dilakukan setiap hari untuk memastikan tiada serangan penyakit atau serangga yang terdapat di dalam kebun. 

8.  Tanaman perlu disiram pada awal pagi dan lewat petang. Untuk mereka yang tidak ada masa terluang untuk melakukannya, sediakan satu sistem penyiraman automatik untuk memastikan tanaman sentiasa mendapat keperluannya. 

9.  Siraman perlu dilakukan terus kepermukaan medium. Jika disiram di permukaan daun, ini akan menyebabkan air bertakung dan boleh melemahkan daun serta mengundang penyakit. 

10.  Gunakan semua sisa dapur seperti kulit telur, sayuran yang telah rosak, serbuk kopi atau teh yang telah digunakan dan sebagainya sebagai baja organik. 

Sumber artikel:  Laman Impiana