Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Thursday, April 26, 2012

PELAJAR-PELAJAR LANDSKAP MENERUSKAN USAHA MEMBINA TAMAN DI SMKTK

Hari ini, diorang meneruskan kerja-kerja membina taman yang telah dimulakan beberapa minggu yang lalu. Pembentukan taman berkonsepkan taman 1Malaysia belum kelihatan lagi... masih jauh lagi nak menjelma. Masing-masing dengan tugas yang telah ditetapkan. Pada masa ini diorang sedang menyiapkan Busut A iaitu busut yang paling besar. Ada yang menanam rumput, ada yang menanam pokok renek dan ada yang menanam pokok utama. Disamping itu ada yang menyusun batu-batu hiasan. Cuaca yang panas terik menjadikan permukaan tanah kering. Punca air paip untuk penyiraman pula jauh dari kawasan pembinaan ini... terpaksa menggunakan salur getah yang panjang untuk menyalurkan air yang diambil dari bilik katering.












Monday, April 16, 2012

AURA BONSAI

Bonsai atau dikenali sebagai pokok bantut di Malaysia dianggap tanaman unik berikutan memiliki karakter tersendiri, menarik dan kreatif. Berdasarkan 'fengshui' masyarakat Cina, tanaman Bonsai dikatakan simbol semangat positif yang memancarkan aura kehidupan baik bagi penanamnya.

Tidak hairanlah, kebanyakan kaum lain termasuk orang Melayu makin menunjukkan minat menanam pokok yang berasal daripada Dinasti Han, China itu.

Bonsai wujud lebih kurang 2,000 tahun dulu dan popular sebagai seni menanam pokok dalam bekas atau 'Pen Zai' dalam bahasa Mandarin. Ketika itu, hanya golongan elit menanam 'Pen Zai' untuk dijadikan antara hadiah mewah.

Ketika zaman Tokugawa, seni Pen Zai mula berkembang ke Jepun dan mencetuskan perkembangan kepelbagaian teknik seni bonsai kepada tanaman komersil.

Di Jepun, seni Pen Zai dikenali sebagai ‘Bon’ dan ‘Sai’ yang bermaksud pokok dalam bekas.

Pada asasnya, bonsai adalah himpunan teknik untuk tumbesaran, membentuk, memangkas dan menjaga pokok mengikut bentuk dikehendaki dalam saiz kecil serta mengekalkan keaslian dan tampak berusia atau lama.


Pada sekitar 1900, seni bonsai makin mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia sekali gus mula mendapat tempat di Malaysia.

Antara aktiviti terbaru, Pameran Keunikan Bonsai 2012 yang dijayakan bersama Persatuan Seniman Bonsai Malaysia (PSBM) dan Sanfong Bonsai & Art Garden di Muzium Alam Semula Jadi di Presint 15, Putrajaya, selama sebulan mulai 15 Mac lalu, menjadi antara platform memperkenalkan bonsai kepada masyarakat umum.

Keunikan bonsai berusia 80 tahun yang dikenali dengan nama saintifiknya ‘Buxus Harlandii', dimiliki Siew Yew Choon dari Semenyih, Selangor, yang ditanam dalam tanah selama 60 tahun sebelum dipindahkan ke dalam pasu, menjadi antara tarikan pengunjung di pameran itu.

Selain itu, kehadiran bonsai dari Kluang, Johor iaitu ‘Wrightia Religiosa’ berusia 40 tahun yang dimiliki Koh Nai Yong, turut mendapat perhatian. Tanaman itu dibentuk selama lebih 10 tahun sebagai bonsai ternyata memberi perspektif dan evolusi kepada teknik penanam baru.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail, berkata aspiriasi bonsai akan menarik masyarakat mendekati tumbuhan spesis renek itu selain mencetus fenomena baru dalam industri tanaman negara.

“Pengunjung berpeluang melihat lebih dekat pelbagai spesis bonsai unik seperti Santalia, Buxus dan Ficus yang jarang dipertonton secara umum. Malah, ada spesies yang mengeluarkan bunga serta berbau wangi. Kita juga membuka klinik bonsai setiap Sabtu sepanjang pameran bermula jam 11 pagi hingga 1 petang dan terbuka. Ia terbuka kepada sesiapa yang berminat mempelajari seni bonsai pada peringkat asas atau teknik membuat bonsai,” katanya kepada Laman.

Menariknya, pengunjung berpeluang mendapatkan produk berkaitan bonsai yang akan dijual di ruang legar muzium dengan tawaran harga menarik serta lelongan bonsai pada hari terakhir pameran.

Bagi Naib Presiden Persatuan Seniman Bonsai Malaysia, Noryadi Noruddin, seni bonsai diletakkan penanda aras nilai yang tinggi di kalangan peminat bonsai berikutann nilai istimewa tanaman itu.

Noryadi berkata, pesona bonsai terletak pada tekstur kerdil bonsai yang dihasilkan melalui ketelitian kaedah memotong akar dan rantingnya.

Bonsai dibentuk dengan bantuan dawai aluminium pada ranting dan tunas iaitu dawai aluminium harus sudah dibentuk sebelum menggores kulit ranting pokok berkenaan.

Bagi memenuhi kriteria ukuran tertentu, penanam perlu lakukan proses pengerdilan yang antara lain memotong hujung batang atau pucuk; ditanam pada medium terbatas (pot atau pasu kecil); pemangkasan akar secara berkala; terus menerus membuang tunas yang baru tumbuh (bud nipping) dan diletakkan pada tempat yang mendapat cahaya matahari penuh.

Umumnya, seni kreativiti dan minat terhadap tumbuhan dikaitkan dengan wanita berikutan penjagaan pokok memerlukan penelitian serta kesabaran tinggi. Namun, berbeza dalam konteks seni bonsai di Malaysia kerana ia dimonopoli peminat atau penanam lelaki.

Noryadi berkata, tanaman renek yang dibahagikan kepada enam jenis iaitu mini, kecil, sederhana, besar, sangat besar dan gergasi itu mendapat sambutan hangat di kalangan penanam lelaki setiap kali berlangsungnya acara atau pertandingan bonsai.

Noryadi berkata, minat sudah memadai untuk berjinak-jinak dalam hobi menanam bonsai. Ini kerana ia tidak membabitkan kos besar dan teknik memangkas mudah dipelajari berdasarkan pemerhatian pada sesi pertandingan saja.

“Cukup sekadar ada pokok dan air untuk berkecimpung menanam bonsai. Ini kerana ia penjagaan asas tanaman dan mudah. Tambahan elemen air (siram dua kali sehari) dan cahaya matahari penting untuk proses fotosintesis dan respirasi sekali gus memastikan bonsai kekal tumbuh ‘sihat’ dalam tempoh ditetapkan. Bonsai dikategorikan sebagai tanaman lasak dan tahan lama, justeru perlu dibaja dengan tanah berdasarkan Ph 1:1 dan memerlukan ketelitian penanam menjaga kesihatan akarnya. Bagi individu yang baru menceburi bidang tanaman bonsai, alat gunting dan dawai aluminium sudah memadai untuk proses membentuk dan memangkas dahan berbanding 500 peralatan bagi penanam profesional,” katanya. 

Uniknya, penanam boleh menyediakan pokok yang sesuai dijadikan bonsai, tanam dalam polibag dan jaga supaya 'sihat' di mana daun tidak kuning, dijaga tumbesaran daripada semasa ke semasa dan akar tidak serabut sebelum dipindahkan ke dalam pasu. Malah, segelintir penanam baru cenderung menggunakan pasu hanya selepas lima tahun berkecimpung dalam bidang penanaman bonsai.

Sejajar perkembangan semasa, minat dan ikutan seni bonsai berubah daripada pelbagai bentuk unik dan kreatif dari haiwan hingga manusia kepada fenomena alam seperti dahan patah dan pokok di lereng bukit.

"Seni bonsai adalah human cultivation (rekaan manusia) dan ia memerlukan bukan sekadar imaginasi. Apa yang diperlukan ialah kreativiti penanam untuk meniru fenomena alam. Lazimnya, peminat bonsai gemar gaya santai dan formal untuk menghasilkan seni ‘pokok bisu’ ini. Penanam perlu ‘bercakap’ dengan tanaman mereka seperti memberi perhatian, sentuhan dan meneliti pokok untuk melihat tumbesarannya. Tindakan itu berupaya mengasuh sifat sabar dan berpandangan jauh kerana penanam akan berfikir gaya rangka bonsai idaman dalam tempoh ditetapkan iaitu lima tahun sekali,” kata Noryadi. 


Beliau berkata, tumbesaran tunas bonsai amat perlahan kerana ia mengambil masa lima tahun untuk membesar mengikut saiz ibu jari. Sehubungan itu, penanam akan mereka bentuk bonsai yang diingini daripada penghasilan tunas melalui teknik lilitan dawai.

Dikelilingi peminat veteran, visi dan misi Bonsai di Malaysia berpotensi dikomersilkan menjadi tanaman punca pendapatan. Di China contohnya, industri bonsai melonjak tinggi sebagai antara penyumbang ekonomi negara itu.

Sehubungan itu, Noriyadi berhasrat memupuk minat masyarakat melalui penjanaan idea dan membentang prospek meluas dalam industri bonsai sebagai langkah menghidupkan sektor itu sebagai antara penyumbang ekonomi.

Sumber: Berita Minggu

Tuesday, April 3, 2012

MENUAI BUAH ROCKMELON

Projek fertigasi rockmelon musim pertama pada tahun 2012 ini dah sampai masanya untuk dituai. Hari ini beberapa pelajar ahli Kelab Landskap dan Taman membantu Cikgu Hasan Kasmuri menuai buah-buah rockmelon yang dah matang. Banyak juga yang dituai. Terdapat juga buah-buah yang belum cukup matang, jadi kami tak tuai. Selepas dituai, buah-buah itu kami gredkan. Semua buah yang dituai bergred A dan B. Tidak ada yang bergred C.  Buah-buah itu akan dipasarkan oleh FAMA. Ramai juga guru dan pelajar SMKTK yang membeli buah-buah itu. Maklumlah buah-buahan segar terus dari kebun... Selepas kerja menuai dan menggred selesai, Cikgu Hasan Kasmuri menjamu semua ahli-ahli Kelab Landskap dan Taman dengan buah rockmelon. Mmmmm sedap sekali...Syukur alhamdulillah...