Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Monday, October 31, 2011

PAGAR HIDUP

Pagar biasanya dibina sebagai sempadan mengelilingi keluasan sesebuah kawasan kediaman. Namun, pagar juga dibina bagi memisahkan satu ruang dengan beberapa ruang yang lain dalam kawasan rumah itu. Contohnya seperti memisahkan ruang laman atau taman dengan ruang lain seperti kolam renang, tempat meletak kereta dan sebagainya.


Pagar sering dibina menggunakan bahan seperti kayu, bata dan konkrit, buluh, besi dan sebagainya. Namun, pagar juga boleh dibina menggunakan pelbagai tanaman hiasan yang bersesuaian.

Sebahagian peminat seni taman akan memilih tanaman hiasan bersesuaian untuk dijadikan pagar kerana ia boleh memainkan peranan yang penting dalam membentuk struktur dan karektor kepada sesebuah taman itu. Ini kerana, tumbuhan mempunyai tekstur serta warna yang menarik dan boleh diubah suai atau diubah bentuknya seperti dikehendaki. Bagaimanapun, sebagai makhluk Allah yang hidup, pertumbuhannya akan mengambil masa untuk tumbuhmatang.

Istimewanya pagar jenis ini ialah terdapat beberapa lagi kegunaannya yang praktikal seperti berikut:
  1. Ia sesuai dijadikan penyerap bunyi bagi mengurangkan kebisingan dari aktiviti kota seperti lalu lintas kenderaan kerana dedaun pokoknya mampu menyerap kebisingan.
  2. Ia juga sesuai sebagai penghadang daripada habuk dan debu jalan raya dan kawasan pembinaan berdekatan kerana dedaun pokok terutamanya yang bertekstur halus boleh memerangkap habuk yang terapung di udara apabila di tiup angin.

Berikut adalah beberapa ciri pokok pagaran yang sesuai dipilih:
  1. Daunnya yang kecil dan senang di andam untuk membentuknya. Contohnya seperti pokok Acalypha siemensis atau pokok teh dan beberapa spesies pokok Ficus yang berdaun kecil.
  2. Cabang dan pucuk barunya cepat tumbuh bagi memadatkan ruang lalu terbentuk struktur pagar yang cantik dan menarik.
  3. Kebanyakan pokok yang digunakan perlulah dari jenis yang tahan lasak iaitu tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan dapat hidup bertahan lama.
  4. Pokok berkenaan mempamerkan ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri, seperti;  (i)Daun pokoknya yang berubah warna apabila meningkat dewasa: Contohnya seperti Kelat Paya (Syzygium campanulatum) sangat cantik dijadikan sebagai pokok pagaran kerana dedaunnya sentiasa bertukar warna mengikut usianya. Selepas di pangkas tumbuh pucuk daunnya yang baru berwarna merah muda kemudian bertukar menjadi merah tua. Seterusnya ia akan bertukar menjadi ungu, hijau muda dan di akhiri dengan hijau tua. (ii) Pokok berbunga: Contohnya seperti Ixora atau siantan yang berbunga cantik. Manakala pokok bunga raya yang berdaun cantik berwarna keputihan (Variegated) dan pokok bunga kertas juga sesuai untuk dijadikan pokok pagaran.
  5. Mudah Dibiakkan. Kebanyakan spesies pokok pagaran seperti di atas mudah dibiak atau ditanam menggunakan kaedah keratan batang.

Kaedah mudah pembinaan pagar:
  1. Potong beberapa keratan batang atau ranting pokok berukuran kira-kira 4 inci panjang dan letakkan hormon penggalak akar di bahagian keratan bawah bagi mempercepatkan pertumbuhan akarnya.
  2. Semai dalam polibeg dengan menggunakan medium tanaman untuk pokok berpasu dalam campuran 3:2:1 (Tanah peroi : Bahan organik : Pasir sungai).
  3. Siram dan letak di tempat teduh. Berikan penjagaan seperti siraman air dan pembajaan dengan menggunakan baja kimia atau organik seperti najis ayam.
  4. Apabila keratan batang atau ranting yang disemai tadi telah tumbuh membesar pokok berkenaan bolehlah dipindahkan untuk ditanam di tapak pagar yang ingin dibina dalam jarak lebih kurang 1 kaki di antara satu pokok dengan pokok lain.

Penghargaan buat Berita Minggu 30 Oktober 2011

Friday, October 28, 2011

BEKAS PENANAMAN YANG CANTIK DAN PRAKTIKAL MENAMBAH SERI PADA TAMAN

Bekas penanaman memainkan peranan yang penting untuk sesebuah taman.  Menanam tanaman hiasan dalam bekas, pasu atau tempayan adalah satu alternatif untuk mereka yang tidak ada masa untuk membuat kerja-kerja penyenggaraan dan kepada mereka yang tidak ada kawasan untuk membina taman. Selalunya mereka memilih bekas yang cantik dan praktikal bagi meningkatkan nilai tanaman hiasan atau tanaman sayur-sayuran. Pemilihan bekas yang bersesuaian dengan konsep taman yang ingin diketengahkan akan menampakkan suatu hasil yang cukup berjaya.

Sebenarnya untuk kelihatan cantik dan praktikal, kedua-dua jenis tanaman (tanaman hiasan dan tanaman sayur-sayuran) boleh disatukan dalam satu bekas penanaman. Kedua-duanya boleh dicampurkan dalam satu bekas yang menarik, cantik dan praktikal. Bekas-bekas ini bolehlah diletakkan di patio, balkoni, dek atau di mana-mana yang sesuai.


Kepada mereka yang mempunyai taman, buatlah pemilihan bekas penanaman yang pelbagai saiz, pelbagai corak dan pelbagai bentuk. Bekas-bekas ini boleh diletakkan dimana-mana yang sesuai. Kehadiran bekas penanaman hiasan berukiran indah, memberi cerita menarik yang tersendiri kepada ruang landskap berkenaan. Bekas dan pokok yang ditanam di dalamnya menjadi aksesori untuk ruang taman supaya lebih kelihatan hidup. Pilihlah bekas bercorak bunga untuk menanam sayuran supaya sayuran nampak cantik.


Apa juga bekas yang dipilih, stail keseluruhan reka bentuk haruslah secocok dengan latar belakang ruang taman berkenaan, sama ada formal atau tidak formal, kontemporari atau tradisional. Setiap bekas mempunyai karektor masing-masing yang dipengaruhi tidak hanya melalui bentuk tetapi juga saiz, bahan (material) dan tekstur buatannya. 

Pemilihan tumbuh-tumbuhan untuk sesuatu jenis bekas juga harus bertepatan agar bekas  tidak kelihatan terlalu besar ataupun terlalu kecil. Susun atur tumbuhan di dalam bekas-bekas juga harus dititikberatkan agar deko laman yang ditampilkan tidak kelihatan janggal dan salah.

Bekas penanaman di luar rumah menjadi satu penghubung secara visual dengan dalaman rumah dan kaedah ini lebih diminati. Bekas bunga juga menjadi satu elemen hiasan dan tarikan yang mudah alih untuk sesebuah taman tanpa mengira saiz pasu berkenaan. Menggunakan bekas juga mampu memecahkan kesan bosan sesuatu keadaan antara lantai berturap yang mendatar dan air dengan memberikan kesan menegak, tambahan warna dan daya tarikan. Pokok hijau berpasu di tepi kolam nampak cantik dan sedap mata memandang. 




Berikut adalah beberapa perkara menarik mengenai penggunaan bekas/pasu/tempayan dalam taman:
  1. Sikit tapi banyak (keringkasan) - Boleh tanam bebarapa sayuran bersama tanaman hiasan dalam satu bekas. Nampak macam 'crowded'. Untuk nampak cantik, tanam sayuran yang tinggi di tengah-tengah dikelilingi bunga yang kecil, atau sebaliknya. Menjimatkan ruang.
  2. Gunakan bekas yang menarik - Bekas yang cantik dan menarik boleh mengurangkan kesan tanaman dalam bekas yang bermasalah atau kurang subur.
  3. Gunakan bekas yang tahan lasak - Gunakanlah bekas yang tahan lasak supaya ia tidak mudah pecah atau rosak apabila terhentak semasa memindahkannya.
  4. Gunakan apa juga bekas yang di sukai - Boleh saja menggunakan apa juga bekas seperti pasu, tin, sabut kelapa, baldi, bakul atau bekas makanan yang besar atau yang kecil.
  5. Jangan lupa saliran pada bekas - Saliran di bawah bekas mesti ada. Kalau tiada boleh dibuat sendiri. Gunanya untuk mengalirkan keluar air siraman yang berlebihan. Ada sesetengah akar tanaman tidak tahan jika tergenang dalam air.
  6. Warnakan bekas dengan warna yang cantik tapi praktikal -Warna bekas boleh memikat pandangan mata. Namun, warna gelap akan menyerap haba yang boleh merosakkan akar. Cat bahagian tertentu.
  7. Tanaman hiasan nampak menarik jika ditanam bersama sayur-sayuran - Memang menarik. Adunkan tanaman hiasan bersama sayur-sayuran dalam satu bekas. Sesetengah tanaman hiasan memang cantik bersendirian. Cubalah adunkan dua jenis tanaman itu.
  8. Sesuaikan jenis tanaman dengan bentuk bekas - Jenis tanaman mesti bersesuaian dengan bentuk bekas. Tanaman bersaiz kecil ditanam dalam bekas kecil. Tanaman bersaiz besar tanam dalam bekas besar.
  9. Pemilihan saiz pasu bergantung kepada luas ruang taman dan spesies pokok yang ditanam - Pokok yang mempunyai akar dalam, memerlukan pasu tinggi, manakala pokok seperti bunga semusim tidak memerlukan pasu yang dalam mediumnya.
  10. Tentukan kedudukan bekas bersaiz besar - Bagi bekas bersaiz besar, menentukan kedudukan pasu terlebih dulu adalah penting kerana kedudukan pasu akan kekal kerana susah untuk dipindahkan apabila dipenuhi tanah.
  11. Bahan buatan bekas - Bekas boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu yang diperbuat daripada bahan semula jadi seperti tanah liat atau bahan sintetik seperti plastik atau gentian kaca. Pasu terracotta diperbuat daripada tanah liat lebih poros, corak halus dan warna yang hampir kepada warna tanah.
  12. Pasu yang berukiran dan bertekstur - Dengan menanam tanaman hiasan dalam pasu berukiran dan bertekstur, kita bukan saja membuat sesuatu pasu itu kelihatan “hidup” tetapi juga menjadikan dedaun atau pokok sesuatu yang wajar untuk difokuskan pandangan kita ke arahnya.
  13. Cara penampilan bekas - Bekas yang boleh tegak sendiri membawa penglihatan mata kita ke arah bahagian bawahnya, manakala bekas gantung dan bekas tinggi menjadikan pokok di dalamnya lebih diperhatikan dan dihargai bentuk terperinci pokok berkenaan.
  14. Bentuk bekas - Bekas berbentuk atau berukiran sesuai tempat menanam pokok dan boleh juga dijadikan sebagai tempat air pancutan kecil atau tempat pokok berair.
  15. Bekas terracotta - Menggunakan bekas terracotta sama ada yang tegak sendiri atau digantung di laluan atau pintu masuk adalah sangat ideal dan menambah warna serta daya tarikan kepada ruang suram atau kosong.
  16. Bekas formal/tak formal - Bekas berbentuk formal sesuai untuk laluan masuk formal dan bekas  bulat di laluan yang tidak formal akan lebih kelihatan “lembut”.
  17. Bekas daripada tanah liat - Bekas bunga terutama daripada tanah liat boleh didapati dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna serta sangat versatile. Ada kecil, besar, warna cerah dan gelap. Semuanya boleh disesuaikan dengan pelbagai situasi.
  18. Bekas mempunyai kebolehsesuaian - Menanam dan membesarkan pokok berbunga dalam bekas turut menawarkan satu skop atau kaedah taman yang mempunyai kebolehsesuaian walaupun ruang terlalu terhad atau sempit.
  19. Bekas boleh diletakkan di mana-mana - Kawasan taman seperti dek, patio, balkoni atau anjung rumah pasti kelihatan lebih cantik dengan kehadiran pasu bunga hiasan berukiran indah, memberi cerita menarik yang tersendiri kepada ruang landskap berkenaan.

Monday, October 24, 2011

HUTAN BANDAR MAJLIS PERBANDARAN JOHOR BAHRU TENGAH

Jangan silap faham mengenai hutan bandar ni... Hutan bandar di Johor bukanlah hutan sebagaimana yang kita tahu mengenai hutan di negara kita Malaysia. Hutan bandar adalah sebuah taman rekreasi yang dibina dan berada di kawasan bandar. Banyak tumbuh-tumbuhan saka ditanam dalam taman (hutan) ini.

Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang terletak di Taman Mutiara Rini ini berkeluasan 25 hektar dan mempunyai 3,200 pokok hutan tropika. Hutan bandar yang menghimpunkan pokok hutan tropika (arboretum), kini mempunyai 200 spesies berbeza kini menjadi tumpuan orang ramai apabila menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana untuk riadah.

Hutan di dalam bandar ini merupakan projek pembangunan landskap bertujuan menjadikan hutan bandar sebagai tempat beriadah serta tarikan pelancong. Pengunjung bukan sahaja boleh beriadah tetapi mengenali jenis pokok menerusi tanda nama tempatan dan nama botani yang diletakkan di pokok tersebut. Antara pokok yang ada adalah asam gelugur, keranji, tampoi, tongkat ali, jelutong, kempas, keruing bulu, bachang, johor, gelam, giam jantan, ipoh dan gaharu.

Komponen lain yang ada di situ seperti bangunan serbaguna, tempat letak kereta, wakaf, menara pandang, taman bunga dan taman herba.

Bagi memenuhi konsep hutan bandar seperti yang diharapkan oleh warga kota, antara kemudahan yang disediakan termasuk taman permainan kanak-kanak berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar yang boleh menampung 100 kanak-kanak pada satu-satu masa. Hutan bandar tersebut turut menyediakan tasik untuk aktiviti memancing dan bagi memenuhi minat golongan remaja, MPJBT kini sedang menyiapkan pembinaan tiga gelanggang futsal dan satu kawasan untuk sukan lasak.

Bagi jabatan dan agensi yang ingin mengadakan sesuatu acara, Hutan Bandar MPJBT ini turut membina Dataran Sekapur Sirih dengan kos RM24 juta yang sesuai untuk program keramaian termasuk sambutan Hari Kemerdekaan. Pembangunan landskap yang diterapkan di dataran itu mengenengahkan konsep gambir dan tepak sirih yang merupakan elemen penting dalam adat Melayu ketika meraikan sesuatu upacara keramaian seperti meminang, adat ketika bertandang dan sebagainya.

Pusat riadah tersebut juga diserikan dengan pembinaan 24 rumah limas yang menjadi identiti Johor bagi mewakili 24 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terdapat di negeri ini dan boleh digunakan bagi pihak yang ingin mengadakan seminar, kursus, bengkel ataupun majlis keramaian.

Reka bentuk dan konsep hutan bandar mesra alam itu mengutama dan menyediakan kemudahan sosial yang lengkap serta mengamalkan pengurusan mesra rakyat kepada warga dan penduduk negeri ini.

Hutan Bandar MPJBT itu dibuka pada 2009 yang mempunyai 3,027 jenis pokok, pelbagai herba dan bunga tropika sekali gus menjadikannya unik dengan daya tarikan tersendiri di tengah bandar. Usaha membangun, mengindah dan melengkapkan prasarana di hutan ini melibatkan peruntukan RM5.7 juta ditanggung oleh MBJBT sebanyak RM3.2 juta manakala bakinya oleh Jabatan Landskap Negara.

MPJBT komited dalam menguruskan hutan bandar ini dengan menempatkan Jabatan Landskap di bawah Unit Pengurusan Taman yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pengurusan yang sistematik. Sebagai menghargai khazanah alam, MPJBT memperuntukkan kos penyelenggaraan hutan bandar sebanyak RM200,000 kerana mahu hutan itu bukan untuk kegunaan hari ini sahaja malah diwarisi untuk generasi akan datang.

Di Johor selatan terdapat beberapa hutan bandar yang dibina di kawasan bandar.  Antara taman terlibat adalah 25 hektar di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) di Taman Mutiara Rini, 240 hektar di Nusajaya dan 36 hektar lagi di Kota Iskandar selain Taman Bunga Istana yang diwujudkan sekitar 1930-an seluas 52 hektar.  Kerajaan negeri juga sedang membangunkan kawasan hutan bandar di Kulaijaya bagi menampung keperluan penduduk kawasan tersebut termasuk Senai yang melibatkan kawasan seluas 80 hektar.
























Monday, October 10, 2011

TIP MEMILIH PASU (BEKAS) TANAMAN HIASAN

Adanya pasu (bekas) tanaman hiasan di mana-mana sudut laman kediaman dapat mencipta pelbagai visual lantaran pasu-pasu ini datang dalam pelbagai bentuk, saiz, warna, kemasan dan tekstur. Pasu dapat mengubah dan mencorak serta memberi kelainan dan impak serta merta di sesuatu sudut laman. Penggunaan variasi pasu yang berimaginasi dan kreatif dalam sesuatu taman akan menyerlahkan lagi gaya anggun taman itu.

Di sini lihatlah apa yang dimaksudkan dengan 'menyerlahkan gaya anggun' sesuatu sudut taman.
  





Tip memilih pasu (bekas) tanaman hiasan: 
  1. Kenal pasti pasu yang hendak di pilih sama ada daripada jenis simen, plastik, tanah liat, seramik atau daripada bahan terbuang.
  2. Pilih saiz pasu mengikut kemahuan sama ada memerlukan pasu yang bersaiz besar, kecil atau sederhana untuk menempatkan tanaman hiasan.
  3. Jika kita sering mengubah hiasan laman, eloklah sekiranya memilih pasu daripada bahan plastik atau beg politena. Ia lebih ringan berbanding pasu daripada jenis bahan yang lain.
  4.  Untuk mendapat sentuhan klasik, pilihlah tembikar bercorak kosong. Kita sendiri boleh menata tembikar mengikut rekaan yang kita mahukan disamping mewarnakan mengikut citarasa sendiri.
  5. Bagi memperlihatkan gaya kasual pada tembikar, pilihlah tanaman hiasan yang mempunyai ketinggian yang berbeza-beza tetapi daripada jenis yang sama. Tanamlah bersama secara kelompok dan lihatlah variasi daripada tema yang terhasil.
  6. Untuk menampakkan efek moden, padankan sekurang-kurangnya tiga saiz dan gaya tanaman bersama. Paduan warna dan gaya sederhana dapat dilihat dengan menjarakkan tanaman dalam pasu sepanjang tepi anjung atau tembok.
  7. Untuk tanaman yang mempunyai jangka hayat pendek, tidak memerlukan saiz pasu yang besar. Cukup dengan sia kecil dan sederhana.
  8. Pilih pasu yang mempunyai lubang kerana akar pokok begitu sensitif. Ia tidak boleh terendam dalam air dalam jangka masa yang lama.
  9. Pasu yang dipilih mestilah tahan lasak dan tidak mudah pecah.
  10. Pilih pasu yang mudah dibersihkan daripada segala kekotoran seperti lumut supaya pasu sentiasa nampak cantik.
  11. Elakkan memilih pasu dengan bukaan yang sempit.
  12. Jika memilih pasu daripada plastik, perlu lebih berhati-hati kerana cahaya matahari yang terik akan merosakkannya. Pasu daripada jenis seramik adalah pilihan terbaik tetapi perlu dibuat lubang supaya air dapat mengalir.
  13. Pasu daripada kayu lebih cepat mereput.
  14. Saiz pasu adalah terpulang kepada berapa jumlah tanaman yang kita tanam di dalam bekas tersebut.
  15. Letakkan pasu pada batu bata supaya air dapat disalirkan keluar dengan mudah.

Sumber rujukan: Laman Impiana

Saturday, October 8, 2011

MENGAPA TANAM RUMPUT?


Petani dan pekebun cukup tak suka akan rumput. Rumput adalah musuh tanaman mereka. Rumput menjadi pesaing tanaman untuk menyerap baja. Akhirnya tanaman mengalah dengan keagresifan rumput. Banyak kos dikeluarkan untuk membeli racun rumput dan mengupah pekerja untuk menyembur racun rumput.

Bertentangan pula dalam bidang landskap dan taman. Rumput menjadi salah satu elemen penting dalam pembinaan sesuatu taman. Taman menjadi muram tanpa rumput. Sehinggakan kini rumput sengaja ditanam dan dijual. Ia dah menjadi musuh tanaman yang ada harga. Ia menjadi perusahaan oleh usahawan penenaman rumput komersial.



Mengapa?


Mungkin ini jawapannya:
  1. Manusia (tuan punya taman) mahukan keliling halaman kediamannya cantik. Mereka inginkan kawasan kediaman seolah-olah dihamparkan dengan permaidani rumput yang menghijau, indah dan menyejukkan mata memandang.
  2. Tanam dan menjaga rumput lebih mudah. Rumput kan mudah hidup. Tak payah tanam pun ia boleh hidup subur. Apa lagi kalau rumput ini dibaja dan dijaga dengan teliti.
  3. Kawasan yang di tanam dengan rumput lebih mudah dijaga berbanding penjagaan tanaman hiasan yang lain lebih-lebih tanaman hiasan yang berbunga. Penyenggaraan pokok bunga banyak; membaja, memangkas, menyapu bunga dan daun yang berguguran, dan kawalan penyakit. Pokok bunga yang tak berbunga tentunya tak cantik.
  4. Kawasan yang ditanam rumput lebih bersih. Kumpulan kanak-kanak yang bermain di halaman rumah tentunya akan keluar masuk rumah. Kadangkala diorang tak pakai kasut semasa bersama-sama bermain di halaman. Lantai rumah taklah kotor.
  5. Halaman berumput sangat sesuai dan boleh digunakan sebagai kawasan berekreasi  dan bersukan bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa. 
  6. Rumput menjadi penampan kecederaan terutama bagi kanak-kanak yang berekreasi aktif dan bermain di halaman. Apabila terjatuh, anggota badan jatuh ke atas rumput yang lembut. Lutut taklah cedera.
  7. Rumput dapat meningkatkan nilai estetika kediaman. Kediaman yang cantik bertambah lebih cantik apabila rumput hijau yang cantik tumbuh indah di keliling rumah. Tentunya orang yang lalu lalang di hadapan rumah akan menoleh beberapa kali ke arah kediaman kita. Kembang dada kita....
  8. Kawasan yang berumput cantik boleh dijadikan tempat berehat dan bersantai bersama ahli keluarga, sahabat handai dan jiran-jiran. Letakkan satu set meja dan bangku simen ferro, tentunya ia menjadi lebih elegan. Kita boleh duduk atas rumput yang bersih tanpa menggunakan tikar atau pelapik. Kan santai gitu...
  9. Halaman rumah yang cantik dengan rumput yang terjaga rapi boleh menggambarkan sipakah tuan rumah tersebut. Ia dapat memberi gambaran yang baik tentang tuan rumah. Telahan orang adalah tuan rumah itu adalah seorang pengurus yang baik, pembersih dan sukakan kedamaian.
  10. Kawasan berumput cantik di halaman rumah boleh menjadi tempat untuk majlis-majlis eksklusif, kenduri, perjumpaan bersama keluarga dan bersarapan di pagi Ahad bersama keluarga. Bayangkanlah...
  11. Rumput membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida (CO2). Suhu di kawasan berumput lebih sejuk. Bukan sahaja menyejukkan kawasan sekeliling bahkan menyejukkan mata yang memandang.
  12. Hamparan rumput dapat mengelakkan hakisan dan larian permukaan tanah. Rumput dapat menampan dan mengurangkan pergerakkan air timpaan hujan lebat yang deras diatas permukaan tanah.
  13. Kucing kesayangan kita juga suka melepak (melepas?) di atas rumput...
  14. Tanamlah rumput hiasan (turf) di kawasan kediaman kita. Tingkatkan kualiti kawasan kediaman kita dengan menanam rumput. Bolehhhhh kan!