Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Thursday, July 14, 2011

MELAWAT KE CAMERON HIGHLANDS DAN FLORIA PUTRAJAYA

Pada 9 hingga 12 Julai 2011 adalah tarikh yang ditunggu-tunggu oleh ahli-ahli Persatuan Landskap SMK Telok Kerang.  Selama tiga hari itu seramai 35 ahli persatuan pergi melawat sambil belajar ke Cameron Highlands dan Putrajaya. Di Putrajaya mereka lebih menumpukan lawatan ke Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya). Sepanjang lawatan itu mereka diiringi oleh Cikgu Hasan, Cikgu Norhaizan, Cikgu Syuhada dan Cikgu Maherunnisak.

Di Cameron Highlands mereka menginap selama dua malam. Dapatlah mereka merasai kedinginan dan kesegaran terutama pada waktu malam di kawasan pelancongan dan peranginan tanah tinggi itu. Tumpuan lawatan mereka di Cameron Highlands ialah beberapa buah nurseri tanaman hiasan, ladang teh dan pusat penanaman buah strawberi. Selain itu mereka juga membeli-belah buah-buahan segar terutama buah strawberi, kaktus dan juga barang-barang cenderahati.


Pada hari ketiga seawal jam 8.00 pagi mereka bertolak ke Putrajaya. Keadaan yang biasa apabila beberapa murid yang mabuk disebabkan perjalanan bas yang beroleng melalui jalan berliku menuruni bukit yang curam. 

Di Putrajaya selepas melawat  Seri Perdana dan Masjid Putra, mereka melawat pula Floria Putraja yang berlangsung di Precinct 2. Di sini dipenuhi dengan hamparan bunga berwarna-warni, pembinaan landskap yang menarik, pameran tertutup floral pavillion, jualan produk tanaman hiasan di Garden Bazaar dan lain-lain. Yang menariknya, bunga mawar pelbagai warna menjadi daya penarik di setiap sudut pameran, bertepatan dengan tema pada tahun ini iaitu 'Mawar Untuk Selamanya'.










































Sunday, July 3, 2011

RATU FLORIA 2011

Berita Minggu, 3 Julai 2011

SESIAPA saja pasti mengiyakan keindahan dan keharuman bunga mawar. Bukan saja warnanya yang pelbagai, kelopaknya yang indah serta baunya yang boleh menggamit tarikan, sebaliknya populariti bunga yang turut dikenali ros ini juga sudah sinonim sebagai simbol kasih sayang baik dalam kalangan pasangan kekasih, tanda ingatan seorang suami kepada isteri atau anak kepada ibu bapa serta sesama teman. Malah, senyuman pasti tidak lekang daripada bibir penerima mawar tidak kiralah sekuntum atau jambangan indah dan menawan ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar,
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin merasmikan
prapelancaran Floria 2011 di Putrajaya, dua minggu lalu.

Dan bagi tempoh sembilan hari bermula 9 hingga 17 Julai nanti, pusat pentadbiran negara, Putrajaya juga akan ‘tersenyum’ dengan keindahan mawar yang menjadi penghias utama Festival Bunga dan Taman Putrajaya (FLORIA) yang akan berlangsung di Persisiran Tasik, Presint 2.

Namun, apa kisah di sebalik pemilihan bunga mawar berkenaan? Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pemilihan mawar sebagai tema FLORIA kali ini sesuai dengan hasrat menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Dalam Taman serta peneraju pameran hortikultur dan landskap di Asia Tenggara.

Bertemakan ‘Mawar Selamanya,’ bunga itu dipilih kerana menerapkan elemen kasih sayang yang boleh diterjemahkan sebagai usaha murni kerajaan memupuk dan menyuburkan kasih sayang antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Selain itu, mawar pun kaya nilai komersial dan sesuai digunakan dalam reka bentuk landskap, gubahan bunga dan sebagai hadiah kepada yang tersayang,” katanya yang mahu menjadikan FLORIA sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan negara serta destinasi terbaru festival bunga dan hortikultur antarabangsa di dunia seperti di Eropah, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat.

Selain mempamerkan bunga-bungaan, landskap dan hortikultur, pameran berkenaan juga boleh dijadikan medan mendidik masyarakat supaya lebih menghargai alam sekitar dan memastikan landskap yang dibangunkan pihak berkuasa tempatan dijaga dan dihargai.

“Festival ini juga mencetuskan peluang dan potensi dalam bidang berkaitan ekonomi, perniagaan serta keusahawanan seperti perusahaan semaian, perniagaan tanaman bunga dan hiasan, perkhidmatan landskap, khidmat rundingan pembangunan dan pengurusan taman, bekalan bahan tanaman, peralatan perkebunan moden,” katanya.

Sejak sejak empat tahun diperkenalkan bukan jumlah pengunjung saja bertambah malah peserta pameran dan nilai jualan sepanjang 10 hari penganjurannya turut meningkat.

Penganjur menjangkakan kutipan hasil jualan untuk festival kali ini dijangka meningkat 100 peratus berdasarkan prestasi jualan tahun sebelumnya. Pada 2009, nilai jualan dicatatkan sebanyak RM767,949 manakala tahun lalu meningkat 118 peratus dengan hasil kutipan berjumlah RM1.67 juta.

Jumlah pengunjung kali ini turut dijangka meningkat kepada 800,000 pengunjung berbanding 700,000 pada tahun lalu. Pengunjung yang datang juga disediakan pengangkutan transit percuma.

Sesuai temanya, FLORIA kali ini akan mempamerkan kira-kira 12,000 pokok bunga mawar pelbagai spesies dan lebih 400,000 tumbuhan berbunga dan berwarna-warni akan dipamerkan. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan produk komersial dari industri hortikultur dan landskap, pertunjukan taman, demonstrasi pereka taman dan pameran gubahan bunga.

Sebanyak 13 taman dan gubahan bunga penyertaan antarabangsa termasuk United Kingdom, Kanada, Taiwan, Korea, Jepun, Pakistan, Kenya, Indonesia, Macao dan Thailand turut mengambil bahagian.

Lebih menarik lagi, kemeriahan Floria Putrajaya 2011 bakal diserikan acara perarakan bot yang direka bentuk dan dihias indah dengan pelbagai jenis flora yang akan belayar di Tasik Putrajaya. Acara yang julung kali diadakan di Putrajaya ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia menerusi ‘1Malaysia International Tourism Night Floral Parade 2011.'

Bagi memeriahkan majlis, festival tahun ini turut disertai tiga agensi korporat dan swasta, enam jabatan dan agensi kerajaan, lapan persatuan, 13 sekolah rendah, sembilan sekolah menengah, 10 institusi pengajian tinggi serta pengusaha bunga.

Pelbagai gerai disediakan memenuhi keunikan festival kali ini iaitu 55 gerai usahawan kraftangan, 50 gerai jualan bunga, tanaman hiasan, produk untuk taman, hortikultur di 'Garden Bazaar & Hortmart', 40 gerai makanan dan minuman manakala bunga-bungaan taman hidup dipamerkan di lebih 80 lot.

Selain daripada itu, pengunjung berpeluang menyertai lebih 200 aktiviti harian, hiburan berunsur pendidikan, bengkel dan demonstrasi perkebunan antaranya astaka bunga-bungaan, bazar kebun, laman seni, pertandingan fotografi dan lukisan cat air.

Pameran di kawasan seluas 6.07 hektar juga membolehkan pengunjung mendekati dan menyelami keindahan landskap dan bunga-bungaan. Apa yang pasti, pada waktu malam, landskap dan kawasan pameran menampilkan keindahan taman dengan cahaya lampu yang memukau. Maklumat lanjut di laman sesawang www.ppj.gov.my/putrajayafloria/floria.html