Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Saturday, March 27, 2010

16 KREATIVITI MEMBENTUK LALUAN TAMAN

Sumber: Laman Impiana Edisi 25


Pembinaan laluan taman ada kalanya boleh dibentuk secara sepontan menerusi pembinaan kawasan penanaman yang memisahkannya daripada bahagian lain. Pada kebiasaannya laluan taman akan terbentuk daripada asas rekabentuk formal atau tidak formal.

1. Laluan atas air formal



2. Corak laluan mengikut praktikaliti ruang.


3. Integrasi antara ruang.

4. Laluan natural.

5. Bentuk linear geometri


6. Refleksologi


7. Pelbagaikan fungsi laluan


8. Bentuk organik untuk sentuhan moden.


9. Loose material sebagai pilihan.


10. Reka bentuk selesa dan praktikal.


13. Penuhi dengan karya kreatif suntik elemen sense of welcoming.


12. Bentuk curvilinear untuk motif organik.


11. Lantai pemijak.


14. Destinasi reka bentuk.


15. Laluan atas air tidak formal.


16. Selesa dan ringkas.

Thursday, March 25, 2010

POKOK SAKIT

Berita Minggu 21 Mac 2010
Kenali gejala penyakit pokok hiasan dalaman.


PADA keluaran lalu, ada diterangkan berkenaan dengan pokok hiasan dalaman yang bagi saya, amat baik untuk dipraktikkan pada setiap ruang kediaman mahupun ruang bekerja. Saya sendiri bekerja dengan agensi kerajaan dan ada beberapa pokok hiasan diletakkan di kawasan tertentu. Saya dapati, ada beberapa tanda pada pokok seperti kekuningan dan kering walaupun dijaga pihak pembekal pokok berkenaan. Apakah punca serta bagaimana cara mengatasinya?

ANTARA sebab utama berlaku keadaan pokok tidak sihat, berpenyakit adalah berpunca daripada persekitarannya yang tidak sempurna dari segi penerimaan cahaya, kelembapan dan sebagainya.

Berikutan gejala yang selalu dihadapi pokok hiasan dalaman:

1. Bahagian atas daun kekuningan.
Ini disebabkan kekurangan unsur nutrien pada tumbuhan. Penggunaan baja yang sesuai hendaklah diutamakan.

2. Permukaan daun berwarna hijau pudar, kusam dan tidak menarik.
Ia disebabkan banyak terdedah kepada cahaya matahari secara langsung. Kemungkinan juga diserang masalah Red Spider Mite selain permukaan terdedah kepada habuk dan debu (perlu dibersihkan menggunakan semburan halus atau sapu dengan kain lembap pada permukaan daun).

3. Tompok berwarna coklat keperangan.
Jika tompok berwarna perang dan rapuh ia dikenal pasti berpunca daripada kekurangan air. Andai berwarna perang gelap dan lembut, biasanya pokok terlebih siraman air. Jika tompok berwarna keputihan bermakna ia disebabkan percikan air pada bahagian permukaan daun, aerosol dan kerosakan akibat serangan penyakit/serangga. Juga kerosakan pada permukaan daun disebabkan serangan serangga perosak dan ulat pemakan daun.

4. Hujung daun keperangan.Disebabkan kelembapan rendah dan menyebabkannya kering. Hujung daun yang kerap terdedah kepada sentuhan seperti terkena dinding atau sentuhan manusia. Seandainya hujung daun berwarna kuning keperangan, ia mungkin disebabkan siraman air tidak sekata, pencahayaan tidak sesuai, suhu persekitaran dan lihat juga gejala yang wujud bersama.

5. Daun bergulung dan seterusnya gugur.Petanda keadaan sekitaran yang terlalu lembap dan siraman berlebihan.

6. Daun Layu.Ini disebabkan media yang keras dan kering (disebabkan kurang siraman) ataupun berlaku pengumpulan banyak air dalam media (disebabkan terlebih siram serta saliran yang tidak baik pada pasu). Juga mungkin disebabkan terlalu banyak pencahayaan (tanda dilihat kerap berlaku terutama pada waktu siang/tengah hari). Mungkin perlu lihat juga pada keadaan akar yang sudah padat dan disebabkan serangan makhluk perosak.

7. Daun gugur secara tiba-tiba.Pada kebiasaannya berlaku tanpa gejala seperti layu, kerinting daun dan sebagainya, mungkin disebabkan oleh kejutan persekitaran kepada sistem pokok. Kebanyakan isu utama adalah disebabkan perubahan ketara suhu dan pencahayaan. Daun pokok baru gugur Satu kebiasaan selepas pokok dipindah pasu, akan menyebabkan daunnya gugur sehingga beberapa helai daun. Maka, pastikan pergerakan pokok yang minimum terutama sewaktu berpindah lokasi, gunakan pasu yang lebih besar sedikit dari saiz polibeg. Jangan sesekali pindahkan pokok daripada kawasan teduh ke kawasan terang tanpa letakkan pokok berkenaan beberapa hari pada keadaan pencahayaan sederhana.

8. Daun bertukar kekuningan.Untuk daun matang bertukar kuning kemudian gugur adalah biasa, tetapi bila berlaku untuk beberapa helai daun dengan serentak, antara penyebab utama adalah terlebih air.

9. Daun kering.Disebabkan tiga punca utama, kurang pencahayaan, suhu panas serta kekurangan siram air.

10. Pertumbuhan pokok terbantut.Kekurangan nutrisi, pembajaan, kekurangan air, pencahayaan kurang. Kemungkinan juga akar padat pada media, teknik menukar pasu juga boleh digunakan.

11. Putik bunga gugur.Udara kering (kelembapan rendah), kekurangan air serta pencahayaan, terlalu kerap pindah pasu. Kemungkinan juga serangan serangga perosak

12. Daun, batang merekot.Disebabkan oleh serangan penyakit yang berpunca dari keadaan pembesaran pokok yang tidak baik seperti lebihan siraman air ataupun takungan/tompok air pada daun terutama di waktu malam.

13. Lumut pada pasu.Tanda yang nyata ialah lebihan siraman air atau lubang pengairan pada pasu yang tersumbat.

14. Daun berlubang.Punca disebabkan oleh dua sebab iaitu kerosakan fizikal dari manusia atau binatang dan serangan serangga perosak.

Berdasarkan gejala di atas, ada beberapa faktor yang perlu diambil kira seperti persekitaran selesa dan sesuai terutama dari segi lokasi serta pencahayaan, penyiraman air yang cukup mengikut keperluan serta penjagaan dari segi pembajaan dan kawalan racun perosak. Bagi penjagaan kawalan penyakit dan serangga perosak, saya lebih menekankan konsep mencegah lebih baik dari merawat.

INFO: Tip racun serangga organik

Bahan:

  • 1 liter Air
  • 1 Sudu Besar Minyak Masak / minyak sayur
  • 1 Sudu besar sabun basuh
  • 4 – 6 Ulas bawang putih ( ditumbuk )
Langkah
  1. Masukkan minyak masak atau minyak sayur dan sabun ke dalam 1 liter air
  2. Tumbuk 4 – 6 ulas bawang putih dan masukkan ke dalam larutan tadi.
  3. Setelah dikacau , tapiskan
  4. Untuk penyemburan : campurkan 1 bahagian Larutan Stok dengan 4 bahagian air.

Wednesday, March 10, 2010

MODUL 6: PENANAMAN DAN PENYENGGARAAN TUMBUHAN - MEMASU ANAK BENIH DARI POLIBEG KE PASU

MODUL 6

PENANAMAN DAN PENYENGGARAAN TUMBUHAN - MEMASU ANAK BENIH DARI POLIBEG KE PASU

Biasanya tanaman hiasan dalaman dan di perkarangan rumah ditanam dalam pasu. Anak benih dipindahkan ke dalam pasu apabila sudah mula membesar. 

Kelebihan menanam di dalam pasu:

  1. Pokok boleh diangkat dan diubah.
  2. Pokok boleh diletak dimana-mana.
  3. Pokok semusim lebih baik dipasu kerana ia mudah diganti atau disenggara.
  4. Keperluan tumbuhan seperti cahaya, air dan sebagainya dapat dikawal.
  5. Saiz dan bentuk tanaman mudah dikawal.
  6. Pengeluaran bunga boleh ditentukan.
  7. Kerja membaja, merumput dan kawalan perosak dapat dilakukan dengan mudah.

Masalah menanam pokok hiasan di dalam pasu:


  1. Ruang yang terhad untuk akar berkembang.
  2. Simpanan air yang terhad menyebabkan tanaman kekeringan.
  3. Sumber nutrien terhad.
  4. Medium dalam pasu mudah kering.
  5. Tanaman dalam bangunan menghadapi kekurangan cahaya.
  6. Pertumbuhan pokok dalam bilik berhawa dingin boleh terencat.
  7. Kelembapan medium yang rendah boleh mengurangkan pertumbuhan pokok. Manakala kelembapan yang tinggi menggalakkan jangkitan penyakit.

Cara Memasu Anak Benih Dari Polibeg Ke Pasu:
  1. Sediakan bahan dan peralatan seperti pasu, anak benih, sudip tangan, medium campuran dan tong penyiram. Pilih pasu yang sesuai dengan anak benih.
  2. Tutup lubang saliran dengan batu kecil atau serpihan pasu bagi tujuan pengaliran air dan pengudaraan. Jika pasu terlalu kecil gunakan jarring hijau untuk menutup lubang saliran pasu.
  3. Masukkan medium penanaman (7:3:2 atau 3:2:1) ke dalam pasu sehingga separuh penuh.
  4. Siram kotak semaian dahulu dan keluarkan anak pokok atau anak benih daripada kotak semaian dengan cermat.
  5. Masukkan anak benih dan letakkan anak benih di tengah-tengah pasu.
  6. Tambah medium campuran di sekeliling pokok sehingga 2 cm daripada permukaan pasu. Pastikan anak pokok tidak ditanam lebih dalam dari paras asalnya. Padatkan tanah di sekeliling anak pokok.
  7. Siram anak pokok sehingga medium cukup basah.
  8. Letakkan pasu di tempat teduh selama 4 hingga 10 hari bergantung kepada jenis tanaman dan keadaan pokok.




Tuesday, March 9, 2010

MODUL 4: PEMBIAKAN TUMBUHAN SECARA ASEKS - PEMBIAKAN MENGGUNAKAN KERATAN DAUN

MODUL 4
PEMBIAKAN TUMBUHAN SECARA ASEKS - PEMBIAKAN MENGGUNAKAN KERATAN DAUN



Menyemai Keratan Daun



  1. Sediakan peralatan seperti sekateur, bekas semaian, sudip tangan, pisau dan lain-lain.
  2. Sediakan bahan seperti keratan daun yang sihat, pasir atau medium campuran dan lain-lain.
  3. Masukkan dan ratakan campuran medium semaian 2:1:1 (tanah loam, pasir dan bahan organik) ke dalam bekas semaian yang telah disediakan.
  4. Lai daun dipotong sepanjang 3 cm atau 4 cm dengan menggunakan pisau.
  5. Semai secara menegak atau mendatar dalam medium semaian.
  6. Siram secukupnya.
  7. Letakkan di bawah teduhan (50% naungan).
  8. Rekodkan perkara berikut:
  • Tarikh menyemai
  • Tarikh benih tumbuh
  • Bilangan keratan daun yang mengeluarkan tunas per minggu.
  • Ketinggian anak pokok setiap minggu.
Pindahkan anak pokok yang berakar serta mempunyai 5 – 6 helai daun ke dalam beg politena atau pasu.

Monday, March 8, 2010

MENDAMAIKAN KEDIAMAN

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu 7 Mac 2010




MEWUJUDKAN suasana damai dan sejuk di laman kediaman bukan hanya bergantung kepada reka bentuk landskap yang hebat hasil sentuhan perundingan laman dengan kos yang mahal saja. Sebaliknya, ia boleh dihasilkan sendiri menggunakan tip rekaan dan pembangunan laman dengan bahan yang murah dan mudah diperoleh seperti di sekitar kediaman dan kawasan kejiranan sekeliling.

Perunding Landskap, Nordin Md Salleh, berkata cara paling mudah mewujudkan suasana damai dan sejuk ialah dengan menanam pokok besar atau tanaman berdaun besar yang memberi bayang kepada laman. Selain itu, katanya, warna binaan landskap seperti siar kaki menggunakan warna yang gelap kerana ia mampu menyerap kehangatan panas matahari serta haba panas sekeliling.

“Penggunaan batu dan binaan konkrit dengan warna-warna tanah juga mempunyai nilai estetika yang mampu mewujudkan suasana sejuk, damai serta menghijaukan lagi laman kediaman. Ini kerana batu dan konkrit secara semula jadinya akan mengeluarkan haba panas apabila matahari terbenam atau waktu malam,” katanya.

Nordin juga menasihatkan mereka yang mahu menyejukkan laman kediaman menyediakan sungkupan dan sengkuap serta memastikan pokok ditanam mengikut hierarki yang besar di belakang dan pokok lebih kecil di hadapan. Seeloknya, pesanan beliau pastikan 70 peratus daripada kawasan laman dinaungi pokok jika mahu mewujudkan suasana yang damai. Katanya, langkah seterusnya pilih pokok yang memberi impak bayang seperti pokok sukun kerana mempunyai daun lebar, kelapa dan beberapa jenis palma yang lain. Namun, jelasnya pastikan arah matahari turun naik sebelum menanam pokok bagi memastikan bayang tanaman berkenaan boleh melindungi laman kediaman seterusnya mewujudkan suasana damai dan sejuk yang dikehendaki.


Beliau berkata, langkah keempat ialah dengan membina binaan seperti wakaf, gazebo, pergola, junjungan atau pintu gerbang yang mana dijadikan asas untuk tumbuhan menumpang hidup terutama pokok jenis menjalar, pokok gantung dan memanjat.

“Pokok memanjat adalah seperti kerak nasim manakala menjalar seperti kembang pagi, dan pokok gantung seperti petunia serta violet. Untuk menghasilkan suasana lebih asli, binaan berkenaan direka bentuk dengan hiasan dekoratif sesuai dengan konsep laman atau menggunakan fabrik ringan sebagai langsir atau tirai. Fabrik lain yang boleh digunakan adalah seperti kusyen, pelapik kaki, bantal, kerusi serta ambal, namun gunakan warna sejuk seperti putih, hijau dan biru lembut” katanya.


Selain itu, katanya mereka yang mahu mewujudkan suasana sejuk dan damai perlu menggunakan cahaya lampu yang malap atau samar-samar serta pastikan warna binaan dalam laman lembut, warna-warna kayu serta cat yang menyerap haba dan cahaya bukannya jenis yang berkilat dan memantul cahaya. Letakkan binaan air seperti kolam dan pancuran air kerana sifat air sememangnya sejuk selain bunyi air yang mewujudkan suasana damai, dingin dan menyegarkan yang secara holistik boleh menyejukkan laman kediaman. Kemudian, letakkan kipas siling atau dinding di dalam gazebo atau tepi wakaf kerana peredaran angin dapat mewujudkan suasana yang menyegarkan selain mampu mendinginkan kawasan. Kini, katanya sudah ada kipas dengan percikan air dan alat penyembur wap sejuk yang boleh menyejukkan lagi laman kediaman. Ini banyak digunakan penganjur majlis keraian ketika majlis bertemakan suasana dalam taman. Bagi alat ini, pemilik kediaman perlu mengeluarkan belanja yang besar sedikit kerana kosnya mahal.

“Namun, yang pasti jika pemilik kediaman dapat menyediakan laman dan kawasan sekitar yang sejuk dan mendamaikan, maka kos untuk membayar bil tenaga elektrik dapat dikurangkan dan dalam masa yang sama secara tidak langsung mengajar kita menghijaukan bumi dan mengurangkan kesan perubahan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini,” katanya.

Wednesday, March 3, 2010

KEINDAHAN ORKID







Ramai orang yang suka dan menggemari bunga orkid (anggerik). Bunganya berwarna-warni dan berbagai bentuk. Sungguh cantik, menarik dan indah. Namun ramai juga yang mengatakan tanam orkid susah. Orkid banyak karenah. Saya juga suka orkid sebab bunganya yang cantik tetapi saya belum berminat untuk menanamnya. Buat masa ini saya hanya suka melihat dan menghayatinya.




Sebenarnya orkid tergolong dalam keluarga Orchidaceae iaitu famili yang mempunyai banyak perbezaan dari segi bentuk bunga dan pokok bagi menentukan genus dan spesies. Terdapat lebih daripada 111 genus dan 880 spesies orkid di Malaysia. Pokok orkid boleh dikenali melalui bentuk bunga, akar, daun dan batangnya. Bunga adalah bahagian pokok yang paling sesuai digunakan untuk mengenalpasti genus tanaman orkid.



Jangkamasa berbunga atau matang bagi setiap orkid berbeza-beza antara genus, spesis, hibrid dan jenis bahan tanaman yang digunakan. Ia bergantung kepada sifat-sifat semulajadi bahan genetik yang terdapat dalam setiap jenis dan varieti. Pada kebiasaanya pokok-pokok yang dihasilkan dari biji benih mengambil masa 1-3 tahun untuk matang, manakala pokok-pokok yang dihasilkan dari bahan keratan tampang mengambil masa antara 4-12 bulan bergantung kepada saiz dan pokok induk dari mana keratan tersebut di ambil.




Orkid dikelaskan kepada dua jenis kumpulan yang besar:
  1. Kumpulan orkid simpodium. Orkid simpodium boleh tumbuh sama ada di atas pokok (epifit) atau di atas tanah (terestrial) dan ia mengeluarkan bunga. Genus-genus orkid jenis simpodium ialah Oncidium, Cattleya dan Dendrobium.
  2. Kumpulan orkid monopodium. Orkid monopodium tidak berakhir dengan pengeluaran bunga. Genus-genus orkid kumpulan monopodium ialah Venda, Arachnis, Renanthera, Aranda dan Mokara.

Info Orkid

  • Ada 880 jenis dengan 22,000 spesies.
  • Pokok orkid atau orchidaceae ialah keluarga bunga yang memiliki banyak perbezaan pada bentuk serta rupa pokok.
  • Antara paling popular ialah Dendrobium, Onci­dium, Cattleya, Arachnis, Vanda, Renanthera dan Phalaenopis manakala gen kacukan yang dihasilkan menerusi kaedah teknologi botani ialah Aeridovanda, Aeridanchis, Aranda, Arachnopsis, Burkillara, Christieara dan Doritaenopsis.
  • Baka lain hasil kacukan ialah Doritaenopsis, Holtumara, Kagawa, Laycockara, Limara, Mokara, Renantanda, Renanstylis, Renanthopsis,Rhyncovanda, Teohara, Vandaenopis, Vandachnis dan Vascostylis.
  • Antara jenis gen hibrid yang popular ialah Aranda Chark Kuan dengan bunganya berwarna magenta, Aranda Chritie (bintik merah jambu), Aranda Iskandar (ku­ning), Aranda Kooi Choo (biru) dan Aranda Lum Chin (kuning).
  • Bunga orkid berasal daripada sepal, petal (kelopak), stamen dan pistil yang mempunyai daun urat selari. Gabungan stamen dan pistil dinamakan kolum. Di bahagian luar sepusar bunga ada tiga kelopak sepal manakala di sebelah dalamnya pula ada kelopak.
  • Petal ketiga berubah bentuk menjadi labelum atau bibir kolum.
  • Debunga terletak dalam pundi yang dipanggil polinia yang dalam bilangan genap, iaitu dua hingga 12, Ovari terletak di bawah sepal dan berfungsi sebagai tangkai bunga atau pedisel. Selepas persenyawaan, ovari akan membesar menjadi buah orkid yang mengandungi biji benih.
  • Umumnya, orkid boleh dibahagikan mengikut ciri pertumbuhannya iaitu simpodium dan monopodium. Orkid simpodium boleh tumbuh di atas pokok secara epifit atau atas tanah yang dipanggil terrestrial.
  • Orkid jenis ini mempu­­nyai rizom atau batang yang tumbuh rapat di permukaan pasu dan beberapa pucuk baru akan tumbuh dari bahagian ini, selain tangkai bunga akan keluar di hujung pucuknya. Contoh orkid Simpodium ialah Oncidium, Dendrobium dan Catteleya.





















SENI SUSUN ATUR TUMBUHAN HIASAN DI RUMAH TUMBUHAN

Bermacam cara pengusaha atau peniaga bunga-bungaan atau pengusaha nurseri untuk menarik hati pengunjung berhenti, melihat dan membeli produk mereka. Manusia secara psikologinya suka akan sesuatu yang cantik dan menarik.



Salah satu caranya ialah seni menyusun atur pasu-pasu bunga dan tumbuhan hiasan yang cantik dan menarik. Seolah-olah ia sudah menjadi satu hiasan bunga-bungaan. Sebenarnya usaha begini boleh menghidupkan lagi suasana dinurseri. Pada permulaannya, pengunjung akan melihat-lihat terlebih dahulu keindahan seni susun atur tersebut. Apabila hati dah terpikat, kebarangkalian untuk membeli dua atau tiga pasu tumbuhan hiasan bertambah tinggi.



Psikologi begini memang patut diterapkan di kalangan pengusaha nurseri dan kepada pelajar-pelajar landskap dan nurseri. Foto-foto ini saya ambil di sebuah nurseri di Cameron Highland. Ideanya cukup bagus. Selamat mencuba.




TAMAN REKREASI AWAM RAMBAH


Taman Rekreasi Awam Rambah terletak di kuala Sungai Rambah, Kampung Rambah, di daerah Pontian. Tak jauh dari rumah saya dan tak jauh dari SMK Telok Kerang. Jaraknya adalah lebih kurang 3 kilometer sahaja.



Di barat taman ini ialah Selat Melaka, di selatannya ialah Kampung Parit Bilal Laut, dan di utaranya pula ialah Kampung Rambah. Ia terletak di kuala Sungai Rambah di tepi laut Selat Melaka. Sungai Rambah membelah dan membahagi Kampung Rambah. Jarak taman ini dari bandar Pontian hanya lebih kurang 10 km arah ke selatan (Kukup). Apabila sampai di jambatan Sungai Rambah, belok ke kanan menghala ke barat. Taman ini terletak lebih kurang 500 meter dari jalan besar Pontian-Kukup.




Dulu kawasan ini hanya hutan paya bakau dan hutan nipah. Pantainya tidak ada pasir langsung, yang ada adalah selut kelodak kukup liat. Yang banyak di sini ketam dan belangkas. Sungainya bengkang-bengkok dan sempit. Sungai lurus yang ada sekarang adalah projek Pembangunan Saliran Rancangan Johor Barat pada tahun 1974 dulu.



Tak sangka kawasan yang dulunya belantara kini dah jadi taman yang cantik dan menarik di tepi laut mengalahkan Taman Rekreasi Bandar Pontian yang juga terletak di tepi laut. Penanaman pokok-pokok hiasannya tersusun kemas. Ada beberapa buah pondok rehat didirikan di sini. Satu jambatan gantung menjadi titik fokus. Terdapat juga gerai-gerai menjual makanan di bangunan yang cantik. Tak lupa juga dibina taman permainan kanak-kanak. Kuala sungai yang dulu comot kini dah bersih. Di tepi pantainya dibentengkan dengan batu-batu.


Apa yang istimewanya di taman ini?


Yang pertama ialah taman ini sememangnya cantik! Yang keduanya ialah pemandangan matahari terbenam waktu senja. Ia boleh dilihat ke arah barat di kaki langit di laut yang terbentang luas. Yang ketiganya, apabila pandangan kita dilayangkan ke arah barat daya, nun di tengah samudera terlihat Pulau Karimun milik Indonesia. Yang keempat ialah di kawasan kuala dan pantai taman ini banyak ikan sembilang. Kaki-kaki pancing selalu memancing di taman ini. Yang kelima ialah terdapat jeti di sini. Bolehlah memancing di jeti ini.Yang seterusnya ialah melihat nelayan-nelayan pantai keluar masuk ke pengkalan melalui kuala sungai di taman ini.


TAMAN ORKID TERBALIK


Gubahan unik Laman Johor raih anugerah emas Floria 2009 GUBAHAN orkid yang digantung terbalik di atas para di dalam pondok kayu terbukti menjadi kelainan ditonjolkan Laman Kerajaan Negeri Johor, sehingga membolehkannya meraih anugerah Emas Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2009 (Floria 2009) yang berlangsung dari 1 hingga 9 Ogos lalu.
Teknik gantungan yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini bukan setakat menawan hati juri, malah pengunjung turut terpikat dengan keunikan berkenaan setiap kali melalui ruang yang menempatkan pameran laman jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Floria.


Lebih unik lagi, laman itu menggunakan hampir 80 peratus orkid yang didatangkan khusus dari Johor yang merangkumi pelbagai spesies orkid tempatan dan hibrid. Bagaimanakah teknik gubahan itu dihasilkan? Orkid yang digantung ditanam dalam pasu kecil yang kemudian dibungkus dengan plastik hitam bagi mengelakkan tanah dalam pasu jatuh. Bunga berkenaan pula disusun rapat dan digantung terbalik di atas para khas dengan pelbagai warna seakan taman tergantung di tengah laman.

Bagaimanapun, orkid yang ditanam di atas tanah saja se­suai untuk menjadi hiasan gantung terbalik kerana ia tumbuh menegak manakala orkid liar yang suka me­­numpang pada dahan pokok tidak sesuai untuk penataan gaya sedemikian.


Pondok kayu dengan tiang empat di tengah-tengah nampak ringkas tetapi praktikal untuk kawasan laman yang sederhana besarnya sesuai menjadi tempat istirahat sekeluarga pada waktu petang atau ruang bermain anak kecil, juga tempat membaca di waktu petang.
Bagi melengkapkan pondok serta melindungi cahaya matahari, bidai buluh diletak­kan di sisi pondok, manakala di sebelah kiri dan kanan pondok diletakkan bangku kayu serta terendak lampu kayu untuk menerangkan lampu pada waktu malam.


Ketua Juri Laman Floria 2009, Noriah Mat, berkata laman berkenaan dipilih menerima anugerah emas bukan hanya kerana keunikan orkid yang digantung terbalik semata-mata tetapi ia menepati ciri-ciri laman yang baik seperti mempunyai landskap menarik serta penca­hayaan yang sesuai. Ciri-ciri mapan juga jelas pada reka bentuk laman ber­kenaan dan kreativiti reka bentuk laman juga menyebabkan ia layak menerima anugerah emas.


Selain orkid, laman berke­naan dilengkapi tumbuhan seperti paku pakis, tanduk rusa, paku pandan, palas, pokok kelapa dan beberapa spesies palma. Ciri-ciri landskap kejur termasuk batu kerikil dan sungai yang dihias berselang seli dengan pokok renek manakala landskap lembut terdiri daripada pelbagai pokok memanjat termasuk paku pakis ditanam di tepi tembok.

TAMAN ORKID

Taman Orkid ini sebenarnya boleh dibuat di mana-mana. Ia boleh dibuat di kawasan yang besar atau kawasan yang kecil. Tentunya taman ini berwarna-warni hasil daripada bunga orkid yang berwarna-warni. Lebih cantik jika taman ini menggunakan pelbagai spesies orkid yang pelbagai agar kesannya cukup menarik dan memberangsangkan. Taman ini boleh digabungkan dengan elemen-elemen landskap yang lain agar tata susun atur dan tata hiasnya menimbulkan suasana taman yang ceria. Untuk taman individu biasanya ia dibuat dalam kawasan yang kecil sebab orkid memerlukan penjagaan yang rapi.